Arjuna digambarkan sebagai individu yang memiliki kemampuan
memberi tumpuan (fokus) kepada hal penting, sekali gus tidak membazir masa
dengan memberi perhatian kepada hal-hal sampingan yang mungkin akan mengganggu titik
fokus.
Misalnya, semasa kanak-kanak, Drona mengadakan latihan
memahan. Patung burung diletak di atas pokok. Kebanyakan pelajar — Kaurava dan
Pandava — melihat pokok, dahan, daun, dan burung itu semasa memanah. Akibatnya,
mereka gagal memanah patung burung berkenaan.
Kehebatan Arjuna dalam memfokuskan minda dapat juga
diperhatikan sewaktu menyertai swayamvara
(pertandingan) memanah anjuran Drupada, raja di Panchala. Peserta perlu memanah
mata seekor ikan dengan hanya berpandukan bayang-bayang pada permukaan air.
Arjuna yang memiliki kemampuan memfokus minda berjaya
melakukannya dengan amat mudah. Maka, dia berjaya “memiliki” Draupadi, anak Drupada.
Kisah ini dapat juga ditonton dalam filem animasi Arjun: The Warrior
Prince (2012).
Semasa berada di medan perang, Arjuna gagal memfokuskan
minda kepada tugas menewaskan pihak lawan. Sebaliknya, dia melihat dan
menyaksikan saudara mara yang berada di pihak Kaurava. Dilema Arjuna dalam Mahabharata
merupakan titik penting dalam cerita.
Semasa kanak-kanak, Arjuna berjaya fokus pada mata burung
dan tidak melihat langsung pokok, dahan, daun, burung, dan kepala burung.
Begitu juga semasa menyertai swayamvara
di Panchala, Arjuna tidak membenarkan hal-hal lain mengganggu tumpuan dan misi.
Malangnya, apabila berdepan perang besar yang melibatkan soal
harta, hak, dharma, dan maruah,
Arjuna gagal memfokus minda pada “mata burung”. Sebaliknya, dia melihat kepala
burung, badan burung, dahan, daun, dan pokok besar.
Dalam situasi inilah Krishna yang menjadi pemandu rata (pedati) memberi nasihat. Bagaimanakah
Krishna berjaya mengembalikan fokus Arjuna yang tersasar? Apakah hal-hal yang
diperkatakan dan dinasihati oleh Krishna sehingga Arjuna akhirnya bersetuju dan
bersedia untuk berperang?
Jawapannya terkandung dalam Bhagavad Gita yang memuatkan dialog antara Arjuna dan Krishna. Saya
sedang mengusahakan penceritaan semula (retelling) Bhagavad Gita dalam Bahasa Malaysia
supaya boleh dinikmati, difahami, dan dihayati oleh masyarakat pelbagai kaum,
agama, dan budaya di Malaysia.
Atau tidak menjadi pelupa seperti Arjuna dan Krishna!
Sebagaimana diketahui umum, Bhagavad Gita terkandung dalam bahagian “Bhishma Parva” iaitu Buku
Ke-6 dalam epik Mahabharata. Buku Ke-14
pula dinamakan “Ashvamedhika Parva”.
Arjuna memberitahu Krishna bahawa dia sudah lupa hal-hal
yang dibincangkan sebelum perang bermula — iaitu kandungan Bhagavad Gita. Krishna turut
mengaku sudah tidak ingat dengan alasan situasi dan keperluan sudah berubah.
Sebagai ganti, Krishna menyampaikan Anu Gita kepada Arjuna.
Penceritaan semula yang sedang saya usahakan pula menumpukan
kepada Bhagavad Gita yang mendapat
pujian seluruh dunia, tetapi kandungannya sudah tidak diingat oleh Arjuna dan
Krishna sendiri.
____________________