Hanya sewaktu berumur dua belas tahun, saya diberitahu bahawa saya sebenarnya anak bunian.
Pada waktu itu, saya baru bersunat. Ada beberapa orang
yang menghadiri majlis berkhatan mengatakan wajah saya seiras Apak. Opah kurang
selesa mendengar kata-kata itu.
“Awak sebenarnya anak bunian,” Opah mendedahkan pada
keesokan hari.
“Bunian?”
Kisah-kisah yang saya dengar tentang bunian dan jin
sebelum itu hanya daripada guru agama. Makhluk halus turut dipanggil siluman
kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia.
“Bunian juga sejenis jin tetapi tidak mengganggu
manusia. Mereka tinggal di hutan dan hidup bermasyarakat seperti kita juga. Kalau
ada bunian lelaki tertarik dengan gadis manusia, maka akan dikahwini secara
sembunyi tanpa pengetahuan orang ramai,” Opah menceritakan.
“Orang bunian sangat berkuasa. Kita tidak boleh lawan
mereka. Apa-apa yang mereka buat, kita perlu terima sahaja tanpa cuba melawan,”
guru agama pernah bercerita semasa kelas
mengaji.
Menurut Opah pula, Emak mengandung pada usia lima
belas tahun. Kemudian, diketahui bahawa Emak dikahwini lelaki halimunan.
Apabila perut Emak mula membuncit, Emak tiba-tiba hilang.
Rupa-rupanya, Emak dibawa ke alam bunian dan dijaga
dengan penuh rapi. Hanya Opah dibenarkan pergi ke dalam hutan dan melawat Emak di
alam ghaib itu.
Saya lahir pada Jun 1962. Selepas sebulan berada di
alam bunian, Opah berjaya membawa Emak dan saya pulang.
“Bapa awak memang tergila-gilakan emak awak sejak
dulu. Sebab itu bapa awak setuju untuk berkahwin dengan emak awak. Dia tak
sanggup tengok penduduk kampung bercakap hal bukan-bukan tentang emak awak,”
kata Opah lagi sementara saya terbaring sambil berehat, beberapa hari selepas
bersunat.
“Awak kena rajin mengaji. Jangan jadi macam bapa awak
yang berkahwin pada umur sembilan belas tahun dan sampai sekarang hanya jadi
buruh ladang,” pesan Opah.
Opah mahu saya ikut jejak langkah guru agama di kampung
kami. Beliau sangat dihormati dan rajin menjalankan kelas mengaji di pelbagai
tempat. Saya pula antara murid kesukaannya. Sayangnya, beliau sudah berpindah
ke negeri lain dan mengajar di sana.
Apak pula langsung tidak bersetuju dengan saranan Opah.
Apak lebih rela saya menjadi buruh ladang berbanding mengikut jejak guru agama
itu. Perbezaan pendapat sentiasa mewujudkan suasana tegang antara Opah, Apak,
dan Emak.
Akan tetapi, saya percaya Apak masih sayang Emak. Kalau
tidak, masakan Emak terus mengandung dua tahun sekali.
Cuma, pada tahun 1976, bayi dalam kandungan Emak
tiba-tiba ghaib. Sehari sebelum itu, Emak hilang dari rumah. Dua hari kemudian,
Opah berjaya membawa Emak pulang.
Pada waktu itulah saya mula membaca tentang alam
bunian. Saya tidak pernah merasakan diri saya berbeza berbanding orang lain. Maka,
saya ingin tahu secara lebih lanjut tentang komuniti asal saya.
Saya juga mula rajin bertanya kepada orang tua-tua di
kampung. Nampaknya memang ada banyak kejadian lelaki manusia berkahwin dengan
wanita bunian di alam ghaib. Selepas beberapa tahun, lelaki itu akan dibenarkan
pulang ke alam manusia.
Umur bunian sebenarnya ratusan tahun tetapi mereka
sentiasa kekal muda. Mungkin itulah juga sebab mengapa saya kelihatan lebih
muda berbanding umur sebenar.
“Bunian wujud hasil manusia pada zaman dahulu berkahwin
dengan jin,” kata seorang penduduk. “Sebab itulah bunian menyerupai manusia
tapi ada kuasa mistik dan boleh ghaib.”
Khabarnya, wanita bunian amat cantik. Sebab itulah
tidak ramai wanita dari alam manusia diculik untuk dikahwini lelaki bunian. Emak
pula pasti individu terpilih kerana disukai lelaki bunian.
Tonton/dengar di YouTube - [di sini]
Baca reaksi pembaca beta — [Komen M. Mahendran] – [Komen Anuradha Chelliah] – [Komen Murali Mohan] – [Komen VK Ezhilarasi] – [Komen Rushida Abdul Wahid] – [Komen Rupa Subramaniam] – [Komen Malini Lakshmi Bai] – [Komen Razlina Razali]
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak
tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca,
projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku
terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Sila klik di sini untuk membaca tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan.]