Merentas Masa

Dalam masa sebulan lagi kita akan melangkah ke tahun 2026. Tahun 2025 seperti baru sahaja bermula dan sekarang kita sudah pun berada di penghujungnya. Hari demi hari bergerak seperti roket dengan begitu pantas tanpa sedar.

Ramai saudara mara dan rakan taulan telah meninggalkan kita manakala bayi-bayi juga sentiasa dilahirkan, menjadikan keadaan seimbang. Mereka yang pergi diratapi, mereka yang datang disambut dengan tangan terbuka.

Selama berada di sini, kita menerima segala perubahan yang menjelma dan menghilang. Ia mudah diadaptasi dalam kehidupan seharian. Walaupun banyak perubahan berlaku sepanjang hidup, apa yang diperlukan sahaja diguna pakai; yang lain ditinggalkan.

Dalam masa mengadaptasi perkara-perkara baharu, yang lama tidak dilupakan begitu sahaja. Segala yang direntasi pasti akan diimbau sebagai kenangan abadi dalam sanubari. Tidak kira baik atau buruk, pasti akan diingati hingga ke akhir hayat.

Saya masih boleh mengingati banyak perkara yang berlaku sejak umur tiga atau empat tahun. Ia sentiasa bermain dalam fikiran sebagai alat perakam yang menayangkan filem tanpa suntingan. Kadang-kadang ia disiarkan dalam warna-warni dan kadang-kadang dalam hitam putih sahaja. Sungguh menakjubkan, bukan?

Untuk visual yang kukuh, gambar-gambar pegun yang diambil sejak lebih tujuh puluh tahun membantu saya untuk memperingati insiden-insiden lampau. Ia adalah pengalaman saya sendiri dan juga pengalaman kaum keluarga.

Di dalam album gambar milik bapa saya dari tahun 1950-an, banyak gambar diambil di persekitaran tempat kelahirannya di Segamat, Johor. Begitu juga dengan gambar-gambar milik ibu saya, kebanyakannya diambil di Johore Labis Estate.

Gambar-gambar pertunangan dan perkahwinan ibu bapa membantu saya untuk seolah-olah berdiri di tengah-tengah majlis ketika itu. Saya boleh berimaginasi merentasi masa dari tempat duduk sahaja. Walaupun imaginasi itu tidak beraudio, ia tetap mempersonakan.

Selain daripada mengimbau sesuatu peristiwa melalui gambar, saya juga banyak bertanya kepada kedua orang tua saya serta saudara-mara tentang kehidupan mereka pada tahun-tahun tertentu. Kadang-kadang mereka sendiri menceritakan beberapa insiden. Ada yang lucu dan ada juga yang menyayat hati.

Saya dapat tahu periappa (abang sulung kepada bapa saya) ditembak mati pada hari Deepavali oleh pengganas komunis kerana dia enggan memberikan basikalnya. Kejadian ini ada saya abadikan dalam bentuk cerpen yang bertajuk “Meera” di dalam antologi Lakaran Diri (2022). Kejadian ini sentiasa bermain dalam fikiran.

Ketika berumur empat tahun, saya sering tinggal di rumah nenek sebelah ibu di Johore Labis Estate. Di situlah saya menonton wayang gambar pacak di tengah-tengah padang. Begitu juga dengan ketiadaan kemudahan elektrik; lampu gaslin menerangi segenap rumah papan dua tingkat di situ. Hingga sekarang saya masih boleh ingat bau lampu gaslin.

Sebelum  tahun 1980, kebanyakan rumah di Bentong, Pahang  tidak memiliki tandas di dalam rumah. Kami perlu ke luar rumah untuk membuang air. Tandas dahulu tidak ada kemudahan pam. Setiap subuh, seorang ah pek akan datang mengangkut najis. Najis itu akan digunakan sebagai baja untuk kebun sayurnya. Saya masih teringat situasi itu setiap pagi semasa ke tandas.

Satu lagi perkara yang pasti tidak dapat dilupakan adalah alam persekolahan. Walaupun ketika itu saya rasa ia seperti membebankan, kini ia adalah suatu nostalgia yang indah. Saya berasa hairan melihat murid-murid sekarang kurang berjalan ke sekolah. Suasana berjalan ke sekolah secara beramai-ramai adalah satu pengalaman yang indah.

Dahulu di bandar Bentong terdapat tiga pawagam yang menghiburkan warganya. Cathay, Lido dan Lyceum tetap terpahat di hati. Tiket pun cuma 65 sen. Kini kesemua pawagam tersebut telah dijadikan gedung membeli-belah. Saya sedih melihat perubahan ini. Namun, ia harus diterima kerana kita tidak dapat mengelakkan perubahan.

Banyak perkara atau barang kegunaan harian yang dirasakan baharu pada suatu ketika dahulu, kini sudah menjadi outdated (ketinggalan). Telefon rumah, basikal, mancis api, mesin taip, kaset, cakera padat (CD), radio dan pelbagai jenis barangan – walaupun sudah boleh diletakkan di muzium, ia tetap perlu dihargai.

Saya selalu impikan akan terciptanya mesin merentas masa pada suatu hari nanti. Dengan adanya mesin seperti itu, bolehlah saya kembali ke masa lampau dan membetulkan segala kesilapan yang dilakukan. Walaupun ia adalah mustahil, tidak salah bukan untuk berimaginasi.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan,  Eksentrika, mahendran28.blogspot, Cukaria serta di majalah Thendral dan Vanampadi.]

Ulasan