Esei: Kebiadaban di Jalan Raya

Baru-baru ini kita telah menyaksikan suatu kemalangan jalan raya di bandar Klang menyayat hati yang telah meragut nyawa seorang insan tidak bersalah. Pemandu yang dikenalpasti memandu kenderaan dari arah bertentangan dalam keadaan mabuk/khayal telah menyebabkan kematian seorang penunggang motorsikal yang sedang menunggu anaknya di tepi jalan.

Ini bukan kali pertama kes seperti ini berlaku di negara kita. Sudah banyak kali kemalangan jalan raya yang membabitkan pemandu memandu dalam keadaan mabuk/khayal mengakibatkan kecederaan dan kematian. Ini adalah salah satu sikap  manusia yang langsung tidak mempedulikan keselamatan pengguna lain di jalan raya.

Selain daripada memandu dalam keadaan mabuk, banyak juga kemalangan jalan raya berlaku atas sikap manusia yang tidak tahu beradab di jalan raya. Mereka yang tidak tahu adab adalah biadab namanya.

Sebagai manusia, kita bukan sahaja perlu beradab di dalam rumah orang, kita juga harus tahu beradab di jalan raya. Di mana, semua orang bergabung di suatu tempat menuju ke destinasi masing-masing. Sudah tentulah para pengguna perlu tahu akan undang-undang  jalan raya sebelum menggunakannya.

Memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di jalan arah bertentangan, membrek secara tiba-tiba, tidak memakai topi/tali pinggang keledar, menjadikan jalan raya sebagai tempat perlumbaan dan memandu dengan sungguh membahaya sudah menjadi lumrah sekarang.

Mereka yang suka memandu kenderaan tanpa mengendahkan keselamatan diri sendiri dan keselamatan orang lain  adalah jenis manusia yang sungguh pelik. Mereka seolah-olah tidak layak untuk hidup di muka bumi ini. Merekalah punca utama untuk semua kemalangan di jalan raya.

Pada pandangan saya, sebab utama wujudnya pengguna-pengguna jalan raya tidak berhemah adalah kerana mereka tidak mendapat didikan sebaiknya dari rumah dan di sekolah. Dalam hal ini, ibu bapa dan kerajaanlah harus dipersalahkan.

Sejak kecil lagi anak-anak tidak dididik secara efisyen. Mereka gagal untuk menghormati orang lain. Ibu bapa yang membesarkan anak mereka dengan tidak teratur  sudah tentu akan menghasilkan manusia yang tidak teratur adabnya kelak baik berada di jalan raya atau di mana-mana.

Apabila setiap kesalahan kecil dibiarkan sahaja tanpa teguran dan sering dimanjakan akan dipinta untuk dimanjakan selama-lamanya. Sebab itu mereka berkepala besar ketika menggunakan jalan raya. Seolah-olah jalan raya itu bapa mereka yang punya. Tidak mustahil bukan?

Untuk mengelakkan gejala ini berulang, suatu tindakan pantas dan tegas perlu diambil oleh setiap individu dan kerajaan. Tanpa gabungan ini amatlah sukar untuk melihat jalan raya di negara kita bebas kemalangan.

Sejak di awal tadika lagi kanak-kanak perlu diajar cara penggunaan jalan raya secara betul. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam perkara ini.

Kesedaran sivik adalah amat penting pada usia kecil. Inilah akan dibawa hingga ke hari tua nanti. Sikap hormat-menghormati harus dipupuk. Hukuman perlu diberikan apabila anak-anak ingkar. Tanpa hukuman, mereka akan berasa boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki.

Selain itu, didikan agama juga perlu diutamakan. Tidak ada gunanya bersembahyang sahaja tanpa mengaplikasikan apa yang dipelajari daripada didikan agama.

Sebagai contoh, semua agama menegah umatnya menyentuh arak; tetapi tidak ada orang yang mengendahkannya. Ini bermasksud didikan agama perlu dipupuk dengan cara yang betul dan benar. Di sini juga ibu bapa memainkan peranan penting. Mereka perlu memberi teladan yang baik kepada anak-anak mereka dalam hal ini.

Disebabkan banyak berlaku kemalangan yang melibatkan pemandu memandu dalam keadaan mabuk, kerajaan perlu menghadkan penjualan arak di negara ini. Kini didapati banyak kedai-kedai kecil di merata tempat menjual arak dengan harga mampu beli.

Setiap pelanggan harus dihadkan pembelian arak. Pusat-pusat  hiburan tidak harus beroperasi selepas 11 malam. Ini dapat mengurangkan para pelanggan memperoleh arak dengan banyak dalam satu masa.

Setiap kesalahan jalan raya baik kecil mahu pun besar perlulah diberi hukuman berat yang boleh mengisafkan pesalah. Setakat bayar saman sahaja tidak akan mengubah apa-apa pun.

 Akhir sekali, sebagai manusia bertamadun, kita diberi akal dan fikiran untuk bertindak secara rasional. Kita tahu yang mana satu baik dan mana satu buruk. Segala tindakan menggunakan emosi pasti akan menjahanamkan semua. 

Untuk itu, marilah bersama-sama kita patuhi undang-undang jalan raya. Hormatilah mereka yang lain di atas jalan raya sebagai ahli keluarga sendiri. Berhati-hatilah di jalan raya.  

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].


[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera KavyanEksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]