Cerpen: Undur—Bahagian 2

(Sambungan daripada Bahagian Satu) “Dua hari sahaja lagi. Awak tunggu. Awak akan dapat apa yang awak nak,” Sami berkata sambil tapak tangannya diletak pada kepala aku.

Sami memberikan limau yang dibacakan mantera dan sedikit vibhuti untuk diletakkan di rumah. Selepas itu, aku dan Siva beredar dari tempat tersebut.

Aku tidak menceritakan apa-apa kepada Janani. Aku cuma memberitahunya yang Sara membawa aku berjumpa seseorang berkenaan urusan kerja.

Pada hari keempat selepat berjumpa dengan Sami itu, aku menerima panggilan telefon daripada klien lama aku yang menawarkan kerja. Aku segera menerima kerja tersebut kerana kerja itu sesuatu yang aku minat dan berkaitan dengan pengalaman kerja lama.

Selepas sebulan, Sara mengajak aku ke tempat itu lagi. Dia kata aku perlu ke sana untuk membuat pooja dan berterima kasih. Aku pun setuju. Petang itu, aku dan Sara membeli bunga maalai, buah-buahan dan barang-barang lain yang di perlukan untuk pooja.

“Kau sediakan wang dalam RM 800 ye,” kata Sara sebelum kami bergerak.

“Ya, aku ada bawa duitnya. Kau jangan risau. Aku sangat berterima kasih.”

Kami sampai di lokasi tersebut pada jam sembilan malam. Macam hari yang sebelum ini, pembantu Sami mula membuat persiapan dan menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk pooja.

Kali pertama aku berikan RM 500. Itu pun didesak oleh Sara. Masa itu aku agak waswas. Sekarang, aku mula berkeyakinan. Aku rasa hendak datang sini setiap bulan.

“Sara, elok juga kalau aku ke sini sebulan sekali. Berdoa dan meminta berkat. Pasti akan dapat apa yang diminta.”

Sara hanya senyum. Dia tidak berkata apa-apa.

“Terpulang pada kau. Sebenarnya, bisnes aku pun berkembang selepas aku berjumpa dengan Sami. Tak banyak pun aku beri kepadanya. Apa yang ada. Itu sahaja”

“Betullah tu …”

“Bagaimana dengan Pavethra? Adakah dia tahu yang kau datang ke sini untuk berdoa?”

“Mula-mula aku merahsiakan perkara ini daripada Pavethra. Aku risau dia ketakutan melihat perkara-perkara di sini. Tapi, ada sekali tu Sami suruh saya bawa dia untuk upacara sembayang. Masa itu aku beri makanan kepada mereka yang hadir untuk pooja di sini. Jadi, Pavethra dan anak-anak turut serta.”

“Dia tak bertanya apa-apa?”

“Aku beritahu dia yang kita buat ini untuk kebaikan keluarga kita. Itu sahaja,” jelas Sara.

Aku mengangguk. Selepas sembayang pada malam itu aku berasa tenang. Aku tidak meminta apa-apa pada Sami. Aku hanya sujud pada kakinya dan beredar dari situ.

Semuanya kembali seperti sedia kala. Aku mula bersemangat dan melakukan tugasan harian dengan dedikasi. Janani juga sedar perubahan yang berlaku pada diriku. Sudah setahun aku ke tempat Sami. Tiga bulan sekali aku ke sana bersama Sara walaupun pada awalnya aku ingin pergi setiap bulan.

Selepas setahun, aku meminta Sami memberikan cadangan untuk menukar kereta. Sami kata aku memang boleh membeli kereta yang aku nak dan Sami memberikan nombor yang sesuai untuk kereta baharu aku.

Kereta baharu yang dibeli dipandu ke lokasi kuil untuk diberkati. Janani juga sudah mula mengenali Sami. Anak-anak aku juga turut mengikut kami. Setiap kali ada perayaan atau upacara keagamaan kami sekeluarga akan ke kuil Sami untuk mendapatkan restu. Kali ini aku terpaksa memberi dua ribu lima ratus. Aku ikut sahaja.

Banyak juga barang yang diminta oleh Sami sepanjang aku mengenalinya. Aku pernah membuat upacara sembelih kambing untuk kesyukuran kerana Sami menyuruh aku berbuat demikian. Sami meyakinku dengan kata-katanya.

Ada sekali Sara dan aku bersama-sama memberi makan besar di kuil Sami. Semuanya kerana perniagaan baharu aku terus berkembang. Sami banyak membantu aku kembali menjalani hidup seperti individu biasa. Malah, aku lebih berkemampuan sekarang.

Aku juga sudah memulakan dua lagi pusat jagaan kanak-kanak, Aku mula memberikan peluang pekerjaan kepada orang lain. Semuanya berjalan dengan lancar.

Aku berasa sangat sukar untuk mengundurkan diri daripada Sami. Janani pula sentiasa ingin ke sana. Setiap kali dia ingin membuat atau memulakan sesuatu, Janani akan meminta aku menghubungi Sami. Aku pun akan mendapatkan pendapat Sami. Semuanya berjalan dengan mudah dengan restu Sami.

Anak-anak kami juga cepat sembuh apabila terkena demam atau selsema sekiranya mereka direstui oleh Sami. Sami juga selalu memberi nasihat untuk menjauhi perkara yang tidak diingini sebelum musibah menimpa. Semua ini memberikan keyakian untuk aku menjadi pengikutnya seperti Sara.

Pada pagi itu, aku bertekad untuk tidak lagi berjumpa dengan Sami. Aku sudah mula bertikam lidah dengan Janani. Sepuluh ribu. Nombor itu mula tertera dalam kepala. Berapa agaknya bilangan wang kertas RM 100 yang diperlukan? Aku sudah tahu. Mesti tebal kalau diikat mengunakan getah. Boleh sahaja aku pindahkan secara dalam talian.

Aku mula berkira-kira. Ada sesuatu yang tidak kena. Aku hanya bertanya mengenai pelajaran anak aku. Itu pun kerana Janani yang paksa aku. Apa sudah jadi dengan aku? Kenapa aku begitu mudah menyerah kepada Sami?

“Dei, kau tak jumpa Sami kah? Aku rasa kita dah lama tak ke sana.”

Mesej WhatsApp daripada Sara masuk. Aku cuba untuk tidak menjawab. Tapi aku terpaksa. Aku ingin meletakkan noktah. Aku rasa aku tidak akan kehilangan apa-apa.

“TAK”.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor dan merupakan jurulatih yoga terlatih dan mendapat pengiktirafan daripada Sakthi School of Yoga, Malaysia. Karya beliau termuat dalam Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024). Puisi bahasa Inggeris terbaharu beliau termuat dalam ALS NaPoWriMo (2025). Karya-karya Anuradha juga boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Baca: Biodata penuh]