Aku mula merungut. Janani sudah berpaling muka. Dari pagi kami masih belum dapat mencari penyelesaian. Aku bukan tidak mahu menurut kehendaknya. Semakin lama wang yang diminta semakin tinggi. Bukan lagi diberi mengikut kemampuan tetapi terpaksa bayar mengikut nilai yang diminta. Banyak sudah aku belanjakan.
Lima tahun lepas, Sara memperkenalkan aku kepada
seorang individu yang dapat memberikan penyelesaian kepada masalah yang aku
hadapi. Masa itu memang aku memerlukan bantuan. Aku kebuntuan.
Sara atau nama sebenarnya Saravanan merupakan
kenalan aku sejak di universiti. Kami berdua belajar dalam jurusan pentadibiran
perniagaan. Sara berasal dari Batu Pahat, Johor manakala aku berasal dari
Rembau. Negeri Sembilan. Sara juga menjadi rakan sebilik sepanjang zaman
pengajian di universiti
Tahun pertama, kami bersama. Tahun kedua, juga
begitu. Tahun ketiga, kami tidak lagi tinggal di kediaman universiti. Kami
berdua bersama dua orang rakan lain menyewa rumah berhampiran dengan universiti.
Rumah yang kami sewa dekat dengan fakulti dan tempat makan serta kedai-kedai
serbaneka. Ini memudahkan banyak urusan untuk kami.
Semasa belajar di tahun ketiga, Appa membelikan
motosikal. Aku dan Sara ke kuliah dengan motosikal. Kami juga bermotosikal ke
pekan Kajang pada hujung minggu untuk menonton wayang jika ada kelapangan. Biasanya,
begitulah hidup kami. Kadang-kadang, kami cuma ke sana untuk makan sate Kajang
yang popular.
Aku masih ingat lagi. Sara dan aku pernah
berebut untuk menonton tayangan pertama filem Varnam Ayiram (2008) lakonan
Surya. Filem yang menceritakan keakraban seorang ayah dan anak. Memang aku
terkenang Appa semasa menonton filem ini. Appa juga sentiasa memberi sokongan
dan semangat kepada aku. Appa tidak pernah memaksa aku untuk membuat sesuatu.
Malah, Appa pernah mengingatkanku untuk memilih kerjaya yang akan memberi
kegembiraan kepadaku.
‘Buat apa yang kamu minat.’
‘Jangan ambil duit orang.’
‘Jangan menipu.’
Ini tiga pesanan yang Appa berikan kepada aku semasa
aku mula-mula berjauhan daripadanya pada tahun pertama pengajian dan aku masih berpegang
kepada kata-katanya.
Tahun keempat, tahun akhir kami di universiti.
Kami masih duduk serumah berhampiran Pekan Bangi. Masing-masing sibuk dengan
projek tahun akhir namun kami tidak ketinggalan untuk melakukan aktiviti yang
akan menjadi kenangan zaman universiti.
Aku dan rakan-rakan pernah menyertai ekspedisi
pendakian dan juga membuat pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti menolong di
kuil semasa perayaan Thiruvizha di kuil berdekatan universiti.
Selepas tamat pengajian aku bekerja sebagai
tutor kerana pensyarah aku memberi peluang kepada aku untuk melanjutkan
pelajaran ke peringkat sarjana. Sara pula menyertai pak ciknya dan menjadi
seorang ejen insurans. Sara memang pandai berkata-kata dan dia segera dapat
menyakinkan individu lain. Mungkin itulah taktik yang digunakan untuk menjadi
rakan saya. Walau apapun, Sara tetap seorang rakan yang baik yang banyak
menolong aku.
Persahabatan kami masih kukuh walaupun kami
berdua sudah berumah tangga. Isteri kami juga saling berkenalan. Perhubungan
Janani dan Pavethra juga mula erat kerana kami sentiasa berjumpa.
Sekurang-kurangnya sebulan sekali kami mengadakan potluck – mengimbau kembali
kenangan di universiti.
Semua ini mula berkurangan lima tahun yang lalu
apabila aku kehilangan kerja. Aku masih dapat menanggung Janani dan anak-anak.
Appa juga banyak membantu pada masa itu. Cuma aku mula mati akal. Aku tidak
dapat mencari jalan untuk melakukan aktiviti harian. Aku sudah biasa bangun
pagi dan pergi kerja. Aku tidak boleh duduk di rumah tanpa membuat apa-apa.
Hujung minggu pun aku biasanya bangun awal pagi
dan beridah bersama keluarga. Satu-satunya masa yang dapat diluangkan bersama
keluarga tanpa banyak berfikir. Kemudian, Janani dan anak-anakku bersarapan di
luar. Aktiviti pagi bersama alam. Begitulah duniaku. Tetapi semuanya terhenti
dengan tiba-tiba.
“Apa yang kamu fikirkan?”
Itulah yang selalu ditanya oleh Janani dan aku
akan berdiam tanpa memberikan jawapan. Aku pasti dia pun hairan dengan
perubahan yang berlaku dalam diriku walaupun dia sedia maklum yang aku risau
mengenai tanggung jawab aku sebagai suami dan ayah.
Aku mula mengasingkan diri. Dengan anak-anak,
aku hanya bercakap sepatah dua atau menjawab pertanyaan mereka. Aku jarang duduk
bersama anak-anak. Kebanyakan masa aku bersama telefon pintar atau komputer
riba.
Pada masa itulah, Sara membawa aku berjumpa
dengan seorang individu. Individu itu meminta aku hadir ke satu lokasi yang
terletak di kawasan pedalaman. Dia berjanji dapat membantu aku. Pada malam itu,
Sara membawa aku ke tempat tersebut.
Aku sebenarnya tidak berminat dengan semua ini.
Aku juga tidak mempercayainya. Tapi, aku terdesak. Aku tidak tahu macam mana
Sara boleh menjadi pengikut setia individu berkenaan. Mengikut Sara setiap
bulan dia akan ke sana tetapi Sara tidak pernah menceritakan mengenainya kepada
aku. Mungkin dia sedia maklum yang akau tidak berminat tetapi sekarang aku
terdesak.
Apabila sampai di tempat tersebut, aku dapat
lihat satu patung yang tingginya lebih kurang sembilan kaki. Seorang lelaki
sedang menyiapkan barang-barang yang dibawa oleh beberapa orang lain yang ingin
berjumpa dengan individu penuh misteri ini. Setiap orang yang datang dipanggil
mengikut giliran.
Sebelum panggilan dibuat, satu upacara pooja
dijalankan dengan menunjukkan sambrani dan suudam. Mantera juga
dibaca seperti di kuil tetapi dengan sedikit kelainan.
Tiba giliran aku. Sara pun ikut bersama.
“Sollunge Sami,” kata Sara.
“Saya sudah faham kehendak dia. Cakap dengan dia
jangan risau. Semuanya akan berjalan seperti yang dirancang. Semua baik.”
“Baik Sami,” ujar Sara. (Bersambung pada 19 Mei
2026)
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

