Ketika saya di sekolah
rendah, saya tidak tahu tentang apa-apa tentang hobi. Sedangkan saya sudah
mempraktikkannya sebelum menjejakkan kaki ke sekolah lagi. Aktiviti harian
ketika usia kecil memang dipenuhi dengan pelbagai kegiatan untuk jangka masa
panjang, manakala aktiviti pembelajaran akan kelihatan sebagai hobi kerana ia
dilaksanakan pada waktu-waktu tertentu sahaja.
Lama-kelamaan baru
diketahui aktiviti hobi hanya perlu dilakukan pada masa lapang sahaja. Iaitu,
kita hanya perlu memberi tumpuan kepada pembelajaran di sekolah dan di rumah,
membuat kerja-kerja rumah seperti menolong ibu bapa menyapu rumah, membasuh
pinggan mangkuk, pergi ke kedai dan lain-lain. Cuma pada masa yang terluang
sahaja perlu diperuntukkan untuk hobi.
Bagi saya pula, pada
tahun 1970-an, kebanyakan masa diluangkan untuk hobi dan yang selebihnya sahaja
diperuntukkan untuk pembelajaran dan menolong ibu bapa. Ini tidak termasuk pembelajaran
di sekolah. Cuma, apabila sudah bekerja, saya benar-benar menikmati waktu
senggang. Ini adalah kerana masa 12 hingga 14 jam akan dihabiskan di tempat
kerja sahaja.
Hobi saya sejak dahulu
hingga sekarang tidak banyaklah yang berubah. Ketika di sekolah rendah, saya
suka mendengar radio, menonton televisyen, menonton wayang gambar, membaca buku
cerita dan menyanyi dengan suara lantang.
Ketika di sekolah
menengah, saya masih mengulangi kegemaran yang sama ditambah dengan kegemaran
merakam lagu dari radio ke kaset, membaca akhbar, menulis surat (sahabat pena)
dan menulis surat-surat pembaca ke akhbar dan majalah.
Sejak mula bekerja,
beberapa aktiviti lampau terpaksa dikurangkan dan digantikan dengan aktiviti
lain seperti membaca cerpen, novel dan biografi. Saya juga berjinak-jinak
menulis cerpen ke akhbar dan majalah. Aktiviti mengambil gambar dan video juga
telah mengekalkan saya bahagia dan menikmati kehidupan ketika itu.
Mengapa kita perlukan
hobi? Kajian sains di jurnal akademik Taylor and Francis menyatakan bahawa hobi
membawa banyak manfaat besar kepada kesihatan mental dan fizikal, iaitu ia
mengurangkan stres dengan membantu menurunkan kerisauan dan kemurungan.
Hobi juga dapat memberi
rasa gembira dan ketenangan apabila melakukan aktiviti secara santai.
Lebih-lebih lagi jika kita mempunyai rakan yang memiliki hobi yang sama, ia
akan menguatkan sokongan komuniti.
Jika dibandingkan
dengan generasi dahulu dan sekarang, kita dapati generasi terkini tidak
memiliki suatu hobi yang khusus bagi mengisi masa lapang mereka. Mereka tidak
memiliki hobi yang boleh menonjolkan daya kreativiti untuk menceriakan dan
mengaktifkan minda mereka dan orang lain. Masing-masing lebih gemar
menghabiskan masa menatal telefon pintar sahaja tidak kira siang atau malam.
Ini bukan sahaja membazir masa, malah boleh merosakkan kesihatan.
Walaupun begitu, ada
juga ramai anak-anak generasi kini melibatkan diri dalam aktiviti seperti
bermain muzik, bersukan, menghasilkan video di media sosial dan sebagainya. Ini
tidak cukup. Kita perlu mengembalikan semula hobi-hobi lama yang pernah
diamalkan pada suatu ketika dahulu bagi mewujudkan masyarakat yang mempunyai
daya pemikiran yang cergas, cerdas dan kritis.
Apabila saya membaca
tentang hobi-hobi yang dimiliki oleh penulis-penulis terkenal dunia, saya
menjadi terpesona kerana mereka memiliki hobi lain daripada yang lain.
J.R.R. Tolkien suka mencipta
bahasa baharu (konlang) yang kemudiannya dimasukkan ke dalam dunia fantasi dalam karyanya.
Agatha Christie suka menyertai
penggalian arkeologi di Timur Tengah bersama suaminya.
Penulis novel dan
penyair Vladmir Nabokov yang berasal dari Rusia pula merupakan seorang
pakar kupu-kupu (lepidopterist) yang aktif memburu dan mengkaji pelbagai spesis
serangga.
Mark Twain dari Amerika selain melibatkan diri sebagai
jurumudi kapal , juga berminat untuk membuat buku skrap dan juga mencipta serta
mematen produk skrap melekat sendiri.
Victor Hugo sasterawan
Perancis pula aktif melukis dan menghasilkan ribuan karya seni visual sepanjang
hayatnya. Manakala Emily Dickinson seorang penyair dari Amerika gemar
membuat kek dan roti, malah menulis draf puisi pada kertas pembungkus makanan.
Di sini, kita dapati
hobi mereka bukan sahaja berguna untuk diri mereka tetapi ia juga bermanfaat
kepada semua pada generasi pada masa itu, sekarang dan akan datang.
Kita tidak boleh tunggu
orang lain untuk mencipta hobi untuk kita. Kita sendirilah yang harus mencari
dan meneroka. Dunia ini terbentang luas. Apa sahaja yang terdapat di luar sana
boleh diaplikasikan sebagai hobi.
Melukis, membaca,
memasak, berkebun, mengumpul stem, mengumpul wang lama, bersukan, bermain
layang-layang, hiking, fotografi, belajar bahasa baharu, bermain alat muzik,
catur, memancing, kraftangan, mengedit video, menulis untuk blog dan
bermacam-macam hobi boleh mengaktifkan diri dan minda seseorang agar kehidupan
ini dilangsungkan dengan penuh bermakna.
* * * * *
Mahu
mengirim karya ke portal Sastera Kavyan?
Baca panduan dan syarat [di sini].
[Mahendran dilahirkan di Bentong,
Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan
Tamil sejak tahun 1987. Karupaya
(2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya
Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan, Eksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi,
serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.