Meenakshi sedang mengira duit syiling
apabila lelaki tua itu datang. Dia tidak terus bercakap. Sebaliknya, dia
berdiri di hadapan gerai, memandang talam-talam laddu di atas meja
seperti seorang pegawai pemeriksa yang baru menemukan kesalahan besar.
Matahari petang memantul pada plastik lutsinar yang
menutupi setiap talam. Di bawahnya, boondi laddu, motichoor laddu,
besan laddu, rava laddu, dan thengai laddu tersusun dalam
bulatan-bulatan kecil yang hampir sempurna.
“Mahu beli laddu, ayya?” Meena
mengangkat muka dan bertanya dengan sopan.
Lelaki tua itu tidak menjawab. Sebaliknya, dia
membongkok sedikit dan mengetuk permukaan plastik lutsinar dengan hujung jari.
“Kenapa tidak dibungkus?”
Meena memandang talam, kemudian memandang plastik yang
menutupnya.
“Sudah ditutup.”
Lelaki itu menggeleng. Jarinya mengetuk plastik lutsinar
sekali lagi.
Di bawah permukaan plastik lutsinar, boondi laddu
tersusun seperti buah-buah kecil berwarna kuning. Motichoor lebih halus
dan rapuh. Besan laddu berwarna keemasan gelap. Rava laddu
bertabur kacang, manakala thengai laddu putih seperti ketulan kapas
bersalji.
Meena sudah menjual semuanya sejak pagi. Bau minyak
sapi masih melekat pada rambut dan hujung jari. Di bawah kuku yang sentiasa
memakai sarung sewaktu mengambil makanan, masih ada sedikit warna kuning
daripada adunan boondi.
“Pembungkus,” kata lelaki itu akhirnya.
“Ini plastik khas yang diluluskan sebagai penutup
makanan,” gadis itu cuba menjelaskan.
“Bukan!”
Meena hampir-hampir mahu bertanya apa yang dimaksudkan
oleh lelaki tua itu, namun dia menahan diri kerana tidak mahu menyinggung
perasaan bakal pelanggan.
Orang pertama yang lalu di depan kuil berhenti kerana
ingin tahu apa yang sedang berlaku di gerai berkenaan. Kemudian, orang kedua
berhenti untuk turut menyaksikan apa yang sedang berlaku. Dalam beberapa minit,
gerai kecil sudah berubah menjadi seperti sebuah pentas persembahan.
Lelaki tua itu dikenali sebagai Mani Ayya. Dia
selalu datang pada waktu petang. Veshti putih, rambut disikat kemas ke
belakang, dan misai nipis seperti garis pensel. Pada pergelangan tangan
terdapat beberapa benang suci.
Sejak menyertai kelompok pengikut kultus Maharishi Prashamsaneeji, dia semakin
gemar menggunakan perkataan seperti dharma, maryada, dan shuddham;
kadang-kadang tanpa mempedulikan maksud sebenar dan konteks penggunaan.
Pada petang ini pula, dia memandang laddu di
gerai Meena seperti seorang pegawai kesihatan melakukan pemeriksaan mengejut.
“Semut,” komennya.
“Tak masuk.” Meena menarik nafas.
“Belum,” dia membalas begitu dengan tenang.
Kata-kata itu yang membuatkan Meena berasa tidak sedap
hati.
“Penutup plastik sudah mencukupi,” kata Meena, masih
tenang.
Mani Ayya memandangnya. Kemudian matanya bergerak
kepada pakaian Meena. Pavadai thavani hijau tua. Pandangan itu hanya
mengambil masa beberapa saat tetapi Meena menyedarinya.
Dia selalu menyedarinya. Malah, sejak kecil. Ada
pandangan yang sekadar melihat. Ada pandangan yang membuat seseorang sedar
bahawa tubuhnya telah menjadi sebahagian daripada ruang awam.
Meena membetulkan hujung thavani secara
spontan. Mani Ayya pula kembali tergesa-gesa memandang laddu.
“Kalau terbuka, semut datang,” ulasnya.
Seseorang di hadapan gerai ketawa kecil. Meena tidak
ketawa kerana dia sudah tahu ke mana perbandingan itu bakal bergerak
seterusnya.
Dan ketika lelaki tua itu akhirnya menyebut tentang tubuh
perempuan, Meena terpaksa bersikap tegas.
“Laddu ialah makanan,” katanya, “bukan wanita.”
Mani Ayya tidak menjawab. Sebaliknya, dia mengangkat
satu jari dan mengetuk plastik lutsinar sekali lagi.
Meena teringat akan ammamma iaitu neneknya. Dulu,
setiap kali mereka membuat laddu, nenek tidak pernah menggunakan
penimbang. Tepung besan masuk ke dalam mangkuk besar berdasarkan rasa tangan
dan naluri hati. Gula diukur dengan mata. Minyak sapi dituangkan sedikit demi
sedikit.
“Jangan percaya sangat sukatan cara moden,” kata ammamma.
“Kenapa?”
“Tangan orang berbeza.”
Kemudian, ammamma akan mengambil sedikit adunan
dan menggosoknya di antara ibu jari dengan jari telunjuk.
“Cuba rasa.”
Meena akan rasa dan memberi komen: Terlalu manis, terlalu
berminyak. Kadang-kadang terlalu keras. Ammamma tidak pernah marah atau
kecewa mendengar komen itu.
“Esok kita cuba lagi.”
Begitulah warisan keluarga mereka. Tidak ada buku
resipi yang lengkap. Apa yang diwarisi ialah tangan, hidung, telinga, lidah,
dan ingatan. ... bersambung
*
* * * *
Mahu mengirim karya ke portal Sastera
Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK
Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward VII, Taiping sebelum
mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya.
Beliau terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Tulisannya boleh
dibaca di portal Sastera Kavyan dan blog peribadi. Baca biodata penuh]


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.