Perevenia Angkat Realiti Golongan Miskin Bandar


Perevenia Shanmuganathan lahir dan membesar di Kuala Lumpur. Beliau menceburi pelbagai jurusan pelajaran mengikut personaliti yang diakuinya berubah mengikut masa. Antaranya, Diploma Perakaunan, Diploma Lanjutan Kaunseling dan Psikologi, Sijil Pengajaran Phonics & Phonetics, serta kini sedang melanjutkan pelajaran dalam talian (online) Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris (Bahasa dan Kesusasteraan). Apabila menjadi guru tuisyen sepenuh masa, Perevenia gemar berinteraksi dengan kanak-kanak. Uthaya Sankar SB mewawancara beliau untuk membantu orang ramai lebih mengenali penulis generasi baharu ini.

Apakah faktor yang menarik minat anda menulis karya Bahasa Malaysia?

Sejak bangku sekolah, saya sentiasa menunjukkan minat dalam penulisan. Namun, saya tidak menjangkakan bahawa saya akan menjadi penulis cerpen suatu hari nanti. Walau bagaimanapun, lawatan saya ke beberapa gedung ilmu dan minat yang membawa saya ke arah mengenali beberapa sasterawan yang kemudian membuka peluang untuk saya menulis secara lebih profesional dan konsisten.

Cerpen-cerpen anda mengangkat masalah golongan miskin bandar (urban poor). Adakah tema dan isu ini sengaja menjadi pilihan anda?

Memang cerpen-cerpen yang mengangkat isu golongan miskin bandar menjadi pilihan saya. Hal ini kerana sebahagian besar zaman kanak-kanak dan remaja saya habiskan dengan tinggal serumpun bersama golongan B40 yang mengerumuni rumah pangsa kerajaan tempatan. Pengalaman dan peristiwa yang saya serap dari kecil, termasuk daripada ahli keluarga, pernah menggerunkan naluri dan tidur saya. 

Wawancara penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

____________________

Uthaya Sankar SB
lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak, serta kini tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Beliau terlibat secara aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Uthaya mengasaskan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan program bahasa, sastera, kebajikan, seni, dan budaya di seluruh negara sejak tahun 1999.