Penulis kaum India di Malaysia mempunyai satu
kelebihan yang kadangkala tidak disedari: Kita hidup di persimpangan.
Di rumah mungkin ada bahasa Tamil, Telugu, Malayalam,
atau Punjabi; di sekolah dan ruang awam ada Bahasa Malaysia; di televisyen,
telefon, dan buku pula datang bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain.
Di meja makan ada tosai, idli, nasi daun
pisang, atau kari, tetapi di luar rumah pula kedengaran bunyi motosikal, loceng
kuil, gereja, gurdwara, dan pasar malam bercampur menjadi satu bunyi yang hanya
dikenali sebagai “Malaysia”.
Semua ini bukan sekadar latar, sebaliknya bahan mentah
sastera. Persoalannya, bagaimana bahan mentah itu boleh diubah menjadi cerpen
yang hidup; bukan sekadar cerita yang memakai pakaian budaya?
Pandangan Jhumpa Lahiri amat berguna di sini.
Lahiri, penulis berketurunan Bengali yang membesar dalam lingkungan bahasa dan
budaya berlapis, pernah menyifatkan penterjemahan karya yang dicintai sebagai
bentuk perantisan sastera yang sangat berkesan.
Baginya, apabila seseorang menterjemah karya, dia
terpaksa masuk ke dalam kepala penulis asal, memahami pilihan kata, rentak dan
struktur, kemudian mencipta semula semuanya dalam bahasanya sendiri. Lahiri
juga menekankan bahawa negara India sendiri merupakan alam yang sangat majmuk
dari segi bahasa. [sumber]
Bagi penulis kaum India di Malaysia, panduan itu boleh
dipanjangkan sedikit: Terjemahkan (paparkan) dunia sendiri ke dalam Bahasa
Malaysia. Jangan sekadar memasukkan perkataan Tamil ke dalam ayat Bahasa
Malaysia lalu menganggap budaya sudah hadir.
Sebaliknya, terjemahkan cara seorang ibu
memanggil anaknya ketika marah. Terjemahkan bunyi doa sebelum makan. Terjemahkan
rasa malu seorang anak apabila tidak tahu nama sesuatu upacara dikendalikan neneknya.
Terjemahkan bau minyak rambut, bunyi sudip berlaga dengan kuali, atau rasa
pahit kopi yang diminum selepas kematian seseorang.
Jangan Ikut Telunjuk DBP dan Kamus Dewan
Budaya tidak hidup dalam kamus. Sebaliknya, ia hidup
dalam gerak tubuh, makanan, pantang, diam, dan hubungan manusia. Semua itulah
yang perlu kita sajikan—terjemahkan—dalam bentuk karya.
Lahiri juga memberikan satu pelajaran yang lebih
mencabar: Jangan menganggap identiti sebagai sesuatu yang beku. Pengalamannya
menulis dalam bahasa Itali menunjukkan bahawa bahasa baharu boleh mengubah cara
seseorang melihat dirinya dan dunia. Lahiri menyatakan bahawa setiap bahasa memiliki
bunyi, rasa, dan sifat tersendiri. [sumber]
Maka, penulis kaum India di Malaysia—Sasterawan Kavyan—tidak perlu takut memikirkan
kemungkinan menulis dalam Bahasa Malaysia akan menyebabkan identiti dan jati
diri mereka hilang. Sebaliknya, Bahasa Malaysia boleh menjadi alat atau
vahana (wahana) untuk menemui bentuk baharu bagi mengungkapkan pengalaman
kaum India di negara ini.
Arundhati Roy turut
menawarkan satu pelajaran yang sangat penting: Jangan terlalu sibuk menjadi
“jurubahasa” budaya kepada pembaca. Ketika membicarakan novel The God of
Small Things, Roy menegaskan bahawa beliau tidak mahu mengubah bahasanya semata-mata
supaya sesuai dengan format tertentu yang dikehendaki pembaca Barat. Sebaliknya,
beliau mahu menulis berdasarkan tempat, pengalaman, dan isu yang dekat
dengannya. [sumber]
Prinsip ini amat sesuai untuk Sasterawan Kavyan.
Jangan menulis seolah-olah setiap pembaca memerlukan nota kaki untuk memahami
seorang nenek yang menyimpan berhal kecil Dewa Murugan di dalam almari, seorang
ayah yang masih berpegang kepada amalan membawa kavadi, atau seorang
anak yang enggan mewarisi kepercayaan keluarga.
Biarkan pembaca memasuki dunia itu melalui cerita.
Jika watak pergi ke kuil, jangan hentikan cerpen daripada menerangkan upacara pooja
di sana. Jika seorang lelaki memakai veshti, jangan menjadikannya
seperti objek pameran muzium.
Jika seorang ibu menyediakan muruku menjelang Deepavali, biarkan
makanan itu melakukan kerja sasteranya. Bau minyak panas mungkin lebih berkesan
daripada satu perenggan penerangan tentang “budaya masyarakat India”. Penulis
yang terlalu rajin menerangkan budaya akhirnya boleh membunuh budaya itu
sendiri.
Amitav Ghosh pula
mengingatkan bahawa penulisan ialah bentuk penerokaan yang sunyi kerana penulis
duduk bersama fikiran, ketakutan, dan gema masa lalu sebelum memberinya bentuk
sebagai sebuah karya. [sumber]
Bagi cerpen Bahasa Malaysia oleh Sasterawan Kavyan, karya
Sastera Kebangsaan membuka ruang kepada sejarah kecil yang jarang dicatat.
Jangan hanya mengulang cerita derita tentang estet, pekerja ladang, atau
kemiskinan kerana kisah itu sudah menjadi gambaran lazim.
Keluarlah dari Ladang dan Estet!
Selidiklah pula apa yang berlaku selepas
generasi pekerja ladang berpindah ke bandar. Selidik realiti keluarga yang
kehilangan bahasa nenek (bahasa ibunda). Selidik kisah anak yang menjadi doktor
pakar tetapi masih diminta mengurus upacara keluarga yang kurang dipercayainya.
Selidiklah kisah rumah kedai milik keluarga yang
berubah menjadi restoran moden diurus pekerja asing. Selidik kisah fiksyen si
lelaki tua yang masih menyimpan surat-surat dalam bahasa Tamil tetapi cucunya
tidak mampu membaca. Sesungguhnya, sejarah besar boleh bersembunyi di dalam
laci kecil di dapur.
Daripada Alice Munro, cerpenis yang sangat
tekun menulis kisah kehidupan biasa, kita boleh mengambil satu disiplin
penting: Jangan takut untuk mengangkat bahan atau cerita yang kecil. Munro
menjelaskan bahawa bahan cerita sentiasa muncul, dan cerita yang sedang
dikarang boleh sahaja berubah ketika proses penulisan berlangsung. [sumber]
Ertinya, cerpen tidak semestinya memerlukan peristiwa
besar. Sepasang gelang emas yang hilang, sehelai sari yang tidak diwariskan,
sebuah nama yang sengaja ditukar ketika mendaftar di sekolah, atau sebuah rumah
yang hendak dijual boleh menjadi pusat konflik yang jauh lebih tajam daripada
kisah “besar” yang dipaksa-paksa dengan emmasukkan watak pelbagai kaum.
Toni Morrison pula memberikan
kita pelajaran berguna tentang bahasa. Beliau menerangkan bahawa dalam proses menyemak
atau rivision, beliau berusaha menghilangkan sifat “terlalu penulis”
daripada teks dan mencari gabungan bahasa lirik, bahasa standard, dan bahasa
percakapan supaya karya menjadi lebih hidup. [sumber]
Nasihat ini amat penting dalam uhasa Sasterawan Kavyan
menghasilkan cerpen Bahasa Malaysia yang mengangkat kisah kehidupan kaum India
di Malaysia. Jangan menjadikan semua watak bercakap seperti anda (penulis).
Watak seorang nenek keturunan Tamil yang hanya belajar
sekolah rendah tentulah tidak bercakap seperti seorang pensyarah di Jabatan
Pengajian India, Universiti Malaya. Seorang budak lelaki yang menghadapi
masalah pembelajaran dan berdepan isu ibu bapa bercerai tidak perlu digambarkan
mampu menyusun ayat pertuturan seperti esei akademik. Dialog perlu membawa
kelas sosial, umur, pendidikan, tempat, dan sejarah seseorang.
Chimamanda Ngozi Adichie pula
mengingatkan para penulis supaya membaca secara luas dan tidak takut untuk
benar-benar mengambil berat terhadap subjek yang mahu ditulis. [sumber]
Kisah Kaum India, Nilai Sejagat
Bagi Sasterawan Kavyan, membaca tidak boleh berhenti
pada karya penulis Malaysia atau karya tentang masyarakat India sahaja. Bacalah
juga karya pelbagai bahasa (termasuk dalam terjemahan) oleh penulis pelbagai
negara. Dengan demikian, kita mampu menjadi penulis yang berfikiran luas dan
pada masa sama, mampu meletakkan budaya dan kisah komuniti India dalam kerangka
Sastera Kebangsaan yang bermutu; tidak seperti sebahagian novel Melayu yang
sering dikritik kerana merosakkan minda pembaca. [contoh] [contoh]
Saya sentiasa mengingatkan hakikat Sasterawan
Kavyan—penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia—tidak perlu
meminta izin sesiapa untuk menjadi individu kaum India serta memaparkan watak
dan budaya komunitinya dalam karya Sastera Kebangsaan.
Namun begitu, bukan bererti kita sekadar menimbunkan
nama makanan, dewa-dewi, pakaian, dan perayaan dalam karya. Langkah itu masih
boleh dilakukan tetapi itu baru lapis permukaan.
Kita sepatutnya mampu meneroka lebih jauh ke dalam isu
manusiawi melibatkan budaya dan komuniti India. Misalnya, kisah seorang anak
yang malu terhadap pekerjaan tradisi bapanya; seorang ibu yang takut anak-anak kehilangan
bahasa ibunda; seorang lelaki yang mempertikaikan penggunaan nama suami oleh
wanita Hindu; seorang wanita yang memilih untuk hidup berdikari selepas keluar
daripada perkahwinan toksik; seorang warga emas yang menyedari bahawa cucu-cicitnya
tidak lagi tahu cara menyapa pak cik dan mak cik dengan gelaran yang sepatutnya.
Di situlah cerpen bukan sekadar esei tetapi menjadi karya
sastera. Aspek budaya tidak lagi dipamerkan seperti barang pameran, sebaliknya
bernafas melalui watak dalam cerita. Bahasa Malaysia tidak menjadi alasan untuk
terpaksa menanggalkan identiti dan jati diri kaum India kerana mahu menjaga
hati pembaca kaum tertentu, sebaliknya Bahasa Malaysia menjadi lautan yang
boleh menerima kepelbagaian daripada sungai-sungai dari pelbagai penjuru.
Dan apabila pembaca pelbagai kaum, agama, budaya, dan
latar belakang membaca cerita itu serta mampu menghayati kisah yang disajikan
tanpa prejudis, maka mereka akan menyedari bahawa kisah komuniti India yang
disajikan menerusi karya Sasterawan Kavyan sebenarnya mengangkat nilai
kemanusian dan berunsur sejagat.
Maka, teruskanlah menulis cerpen Bahasa Malaysia
dengan mengangkat budaya, pemikiran, persoalan, watak, dan kehidupan kaum India
kerana anda berada di landasan yang betul bagi memperkaya khazanah Sastera
Kebangsaan.
Baca juga: [Kalau Pengarang Bukan Melayu Tak Minat]
– [Terus Melakar Sejarah] – [Terus Hidupkan Sastera Kebangsaan]
– [Merakam Caritra Sastera Kebangsaan]
*
* * * *
Mahu mengirim karya ke portal Sastera
Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK
Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward VII, Taiping sebelum
mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya.
Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991.
Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan blog peribadi. Baca biodata penuh]







Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.