Cerpen: Malam Pertama (Bahagian 2)



(Sambungan Bahagian Satu) Dia tidak begitu banyak bercakap denganku. Dia hanya duduk terperap di dalam bilik, membaca buku dan menulis. Ibu dan adiknya pula membantu aku melakukan segala kerja rumah.

Aku berasa sangat takut apabila memikirkan kerja yang diberikannya kepadaku. Semasa bersekolah dahulu pun, aku tidak begitu mengambil berat tentang pelajaran. Kini, apabila memikirkan bahawa selepas berkahwin aku akan menyambung pelajaran semula, seluruh tubuhku terasa menggigil ketakutan.

“Untuk inikah aku berkahwin dengannya?”

Di rumah, akulah anak sulung. Selepas aku, ada dua orang adik perempuan dan tiga orang adik lelaki. Bentong Estet adalah tempat kami dilahirkan dan dibesarkan.

Kedua-dua ibu bapaku bekerja sebagai buruh estet. Ketika berusia sepuluh tahun, aku berhenti sekolah dan mula bekerja untuk membantu ibu bapa. Selepas itu, aku juga menjaga adik-adikku.

Aku memang tidak begitu berminat dengan pelajaran.

Oleh sebab sebahagian besar hidupku dihabiskan untuk menjaga adik-adikku, perkahwinanku hanya berlangsung agak lewat. Malah, kedua-dua adik perempuanku sudah berkahwin lebih dahulu daripadaku.

Aku tidak secantik dan tidak memiliki kulit secerah adik-adikku.

Segala kegembiraan dalam hidupku hanyalah wayang gambar dan lagu. Setiap bulan, aku begitu gembira apabila dapat menonton wayang gambar pacak bersama adik-adikku di padang, sambil duduk beralaskan tikar yang dibentangkan di atas tanah.

M.G.R., Sivaji, Gemini, Savitri, Saroja Devi — semuanya kelihatan di depan mataku seperti dewa-dewi kayangan yang turun dari syurga.

Banyak kali juga kami pergi menonton wayang gambar sempena Deepavali di bandar Bentong, bersama pakcik dan makcikku.

Aku juga mempunyai keinginan untuk berkahwin seperti orang lain. Tetapi bagaimana hendak aku meluahkannya? Aku tidak cantik dan tidak bijak seperti adik-adikku.

Ibu bapaku banyak bergantung kepadaku untuk menjaga adik-beradikku. Aku tidak boleh menyalahkan mereka juga. Itulah takdir yang diberikan Tuhan kepadaku, dan aku tidak mampu menolaknya.

Anak perempuan memang dilahirkan oleh Tuhan untuk melakukan kerja-kerja rumah.

Sekarang, nama lelaki yang aku kahwin ini ialah Kannappan. Dia bukanlah orang lain, kerana dia sebenarnya ada hubungan kekeluargaan denganku, dalam panggilan kekeluargaan dia ialah pakcikku (mama), walaupun kami hanya saudara jauh.

Dia bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah di Mentakab. Aku mendengar khabar, dia memang tidak pernah terfikir untuk berkahwin. Kalau setiap masa hanya dengan buku di tangan, bagaimana hendak timbul keinginan untuk berkahwin?

Usianya tiga puluh lima tahun. Oleh sebab perbezaan usia kami dan beberapa perkara lain yang berkaitan dengan keserasian lebih kurang sepadan, akhirnya kami pun berkahwin.

Malam kedua aku di dalam bilik, sekali lagi membawa susu dalam cawan keluli.

Dia hanya berbaring di atas katil. Kelambu pula dipasang separuh sahaja. Hiasan yang ada pada malam sebelumnya juga sudah berkurangan.

Aku hanya masuk ke bilik apabila hendak mandi dan menukar pakaian. Entah bila masa dia melakukan semua itu, aku sendiri tidak tahu.

Semalam tidak berlaku apa-apa antara kami. Aku sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku malam ini. Hari ini, dia tidak memegang buku. Ini petanda yang baik.

Hari ini aku mesti bercakap dengannya dengan baik. Aku harus memberitahunya bahawa aku tidak mampu membaca buku-buku seperti yang diharapkannya. Aku hanya pandai melakukan kerja-kerja kebun, memasak dan kerja-kerja rumah yang lain. Tetapi bagaimana hendak aku katakan kepadanya dengan cara yang paling lembut?

Sebaik sahaja melihatku, dia bangun, berdiri. Aku mengunci pintu. Hari ini layanan dan sikapnya terhadapku nampak agak berbeza. Adakah perkara yang tidak berlaku semalam akan berlaku malam ini? Aku mula berasa malu. Dalam masa yang sama, perasaan takut turut menyelubungiku.

“Mari sini,” katanya sambil memegang tanganku.

Barulah sekarang dia menyentuh semula tanganku, selepas kali terakhir memegangnya ketika hari perkahwinan. Aku meletakkan cawan susu di atas meja berhampiran rak buku.

Dia memegang tanganku dan membawaku ke arah rak buku.

“Alamak!”

“Semua ini adalah harta kesayanganku. Semua tulisan Mu. Varatharasan. Semua ini adalah buku-buku yang ditulis oleh beliau. Cukuplah kalau awak membaca buku-buku beliau. Awak akan mendapat pelajaran hidup seolah-olah awak telah melalui sendiri pengalaman hidup itu.”

Dia mengambil sebuah buku dari rak itu lalu menghulurkannya kepadaku.

“Baca tajuk buku ini.”

Jantungku berdegup kencang. Bukankah kerja sebagai guru sepatutnya sudah selesai di sekolah? Di sini, aku ini isterinya atau muridnya?

“Pe... t... ra …Petra, Ma...na…m,” kataku sambil mengeja tajuk buku itu. Rasanya aku sudah menyebut dengan betul.

“Baik. Sekarang cuba baca tanpa mengeja.”

Dia mengangkat buku itu dan menunjukkannya betul-betul di hadapan mukaku. Seluruh tubuhku mula menggigil.

“Pe... t... ra...”

“Baca tanpa mengeja!” Wajahnya berubah. Nada suaranya juga berubah.

“Pe... t... ra...”

“Simpan huruf-huruf itu dalam fikiran. Sebut sahaja tajuk buku itu dengan terus, tanpa mengeja!”

Bukannya perkataan yang keluar dari mulutku, tetapi air mata yang mengalir dari mataku. Aku menangis teresak-esak. Aku terlalu takut untuk memandang wajahnya.

Dia mengangkat buku yang berada di tangannya seolah-olah hendak memukulku. Aku terus menutup muka dengan kedua belah tangan. Tangisanku tidak juga berhenti.

Nasib baik dia tidak memukulku. Entahlah, mungkin dia tidak sanggup memukulku kerana bimbang buku yang di tangannya akan rosak.

Pada saat itu juga, aku terasa hendak terus menaiki bas dan pulang ke Bentong Estet. Tetapi, malam-malam begini, mana ada bas?

Dia memegang bahuku lalu menggoncangkannya. Dia mengangkat wajahku yang tertunduk dan membuatku memandang wajahnya. Aku membuka mata sambil terus menangis lalu memandangnya.

“Dengar sini, Sunthari. Menangis pun tidak ada gunanya. Semua yang saya katakan ini adalah demi kebaikan awak. Kalau awak tahu membaca dan menulis, saya sebagai seorang guru dan penulis akan berasa bangga, dan awak juga akan berasa bangga dengan diri sendiri. Bayangkan betapa gembiranya saya kalau awak membaca cerita-cerita saya yang disiarkan dalam akhbar dan memberikan pendapat tentang cerita-cerita itu.”

Tangisanku masih belum berhenti. Pada ketika itu, pelbagai fikiran berlegar-legar dalam fikiranku. Aku berasa begitu benci kepadanya.

“Lihatlah buku-buku yang ada di sini. Awak mesti membaca dan menikmati buku-buku yang ditulis oleh Kalki Krishnamurthy, Akilan, Mu. Varatharasan dan Na. Parthasarathy. Kalau awak tahu membaca dalam bahasa Inggeris, awak juga boleh membaca karya-karya mereka, lalu menikmati keindahan karya-karya mereka,” katanya sambil mencampakkan beberapa buah buku di atas meja.

“Kita berdua boleh berbincang tentang buku-buku ini. Betapa seronoknya pengalaman itu. awak hanya akan memahaminya apabila kau sendiri mengalaminya, Sunthari,” sambungnya lagi.

Sambil mengangkat kedua-dua tangannya, dia bercakap seolah-olah sedang berucap di atas pentas.

Aku sendiri sudah terkial-kial hendak membaca bahasa Tamil, dia pula sudah melompat kepada bahasa Inggeris. Semakin aku memikirkan apa pula yang bakal aku hadapi selepas ini, semakin kuat rasa takut dalam diriku.

Aku masih menundukkan kepala ke lantai sambil terus menangis. Nampaknya, hidupku selepas ini memang akan menjadi semakin teruk.

Dengan pelbagai angan-angan dan harapan, aku melangkah masuk ke rumah ini. Tetapi semuanya sudah musnah!

Tiba-tiba lampu terpadam. Aku membuka mata dan memandang. Rupanya dialah yang memadamkan lampu. Nasib baik dia tidak menyuruhku terus membaca buku. Entah-entah dia sudah mengantuk melihat aku menangis?

Tanpa pergi ke katil, dia berjalan perlahan-lahan menghampiriku. Dia mencium ubun-ubunku, kemudian memelukku dengan sungguh erat.

Bahasa Tamil, bahasa Inggeris, huruf-huruf dan buku-buku semuanya lenyap.

* * * * *

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].


[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan, Eksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]

Ulasan