Rupasree Menjalin Kreativiti dalam Seni


Rupasree a/p Ganesan merupakan graduan ijazah sarjana muda sastera (seni halus) dari Universiti Sains Malaysia (USM). Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian sarjana sastera (seni visual) dan pengajian sarjana pendidikan di dua universiti yang berbeza. Pada masa sama, Rupasree berkhidmat sebagai guru subjek Seni dan Bahasa Malaysia di sebuah sekolah swasta. Artis bebas dalam bidang seni henna dan kolem ini juga sering melibatkan diri dalam pameran seni, sama ada sebagai penganjur atau peserta. Rupasree sering melakukan pelbagai perkara sekali gus (multitasking) walaupun masa kadang-kala tidak begitu mengizinkan. Uthaya Sankar SB mewawancara beliau untuk membantu orang ramai mengenalinya secara lebih mendalam.

Anda tidak belajar penulisan kreatif secara formal. Jadi, bagaimana timbul minat menulis karya Bahasa Malaysia?

Saya sememangnya tidak belajar penulisan kreatif secara formal. Namun, minat menulis karya Bahasa Malaysia timbul sejak di bangku sekolah. Saya merupakan bekas pelajar tadika KEMAS. Saya bersekolah dikelilingi majoriti kaum Melayu. Saya mulai menulis karya kreatif seperti cerpen, sajak, seloka kelas, pantun dan yang berkaitan untuk disiarkan di majalah sekolah. Saya sering menerima pujian daripada guru-guru sekolah kerana karya yang dihasilkan mudah untuk dibaca dengan kurangnya kesalahan tatabahasa. Minat dalam bidang penulisan meningkat lagi sewaktu saya menyambung pelajaran Tingkatan Enam di SMK St. John, Kuala lumur. Saya mengambil subjek Bahasa Malaysia dan Kesusasteraan Melayu sebagai pilihan utama dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan mempelajari pelbagai karya Sastera Melayu Moden serta cara penulisannya. Tambahan, saya mendapat A dalam kedua-dua subjek tersebut.  

Wawancara penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

____________________

Uthaya Sankar SB
lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak, serta kini tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Beliau terlibat secara aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Uthaya mengasaskan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan program bahasa, sastera, kebajikan, seni, dan budaya di seluruh negara sejak tahun 1999.