“Kalau kau cakap Telugu lagi, jangan harap aku nak kawan dengan kau. Serius!”
Nada
suara itu tidak kuat tetapi cukup untuk membuatkan Suman Nair membeku di
tengah-tengah koridor. Bunyi loceng rehat yang baru berbunyi seolah-olah ditenggelami
suara amaran itu.
Dia
tidak menoleh. Hanya berdiri, tangan menggenggam buku teks Sejarah dengan lebih kuat daripada biasa. Dalam kepala, satu soalan
berulang-ulang: Sejak bila bercakap bahasa sendiri menjadi satu kesalahan?
Hari
itu berlalu seperti kabus yang meliputi Bukit Larut. Di kelas, suara guru hanya
seperti gema dari gua yang jauh. Di kantin, dia memilih untuk duduk di hujung,
jauh daripada kumpulan biasa.
Apabila
rakan Melayu bertanya sesuatu, dia menjawab dengan senyuman nipis. Apabila
rakan Cina menyapa dalam dialek Hokkien, dia hanya mengangguk. Dan apabila
sekumpulan pelajar India berbual menggunakan bahasa Tamil, dia sengaja tidak
mendekati mereka.
Petang
itu, di rumah dua tingkat di Kampung Benggali, suasana seperti biasa. Bau daun
kari, santan, dan masakan kari ayam memenuhi dapur. Lakshmi Devi sedang memasak;
tangan bergerak pantas tetapi wajah tenang.
Gopinathan
Nair duduk di ruang tamu dengan fail-fail terbuka, menyusun dokumen dengan
ketelitian seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang sudah
bertahun-tahun berkhidmat di beberapa cawangan. Televisyen memaparkan berita
tetapi suara sengaja diperlahankan.
Kavya Devi
berada di bilik, menulis sesuatu di dalam buku nota bergaris, sesekali berhenti
dan memandang keluar tingkap. Kiran Nair pula di ruang tamu, bermain permainan
video tetapi kali ini tanpa suara riang yang biasanya mengiringi.
Segala-galanya
kelihatan normal. Tetapi tidak benar-benar normal. Seolah-olah kabus di puncak
Bukit Larut bakal turun meliputi rumah ini.
Gopinathan
seorang yang mempercayai bahawa dunia boleh difahami melalui struktur. Dia
menyusun bukan sahaja dokumen tetapi juga hidupnya: Jadual harian, perbelanjaan
bulanan, bahkan perbualan.
Namun,
ada satu perkara yang tidak pernah dia cuba kategorikan secara kaku: Identiti.
Baginya, identiti dan jati diri adalah sesuatu yang hidup, berkembang, dan
harus dijaga dengan kesedaran; dengan consciousness.
Dia
dilahirkan dalam keluarga Malayali, dibesarkan dengan bahasa Malayalam sebagai
nadi kehidupan. Lagu-lagu lama filem Mollywood masih menjadi pengiring sunyi
malam.
Dia
boleh berbual dalam bahasa Tamil dengan lancar, menggunakan Bahasa Malaysia
dengan formal dan tepat, serta berbahasa Inggeris dengan yakin. Sedikit bahasa
Telugu dipelajari sejak bercinta dengan Lakshmi di universiti.
Tetapi
jauh di sudut hati, Gopinathan tahu bahawa setiap bahasa bukan sekadar alat
komunikasi. Sebaliknya, ia adalah warisan dan budaya yang wajar dan wajib
dipelihara serta dipertahankan.
Lakshmi
pula sedikit berbeza. Dia tidak menyusun hidup secara sistematik tetapi dibiarkan
mengalir seperti air. Sebagai jururawat, dia terbiasa dengan
ketidaktentuan—pesakit datang dan pergi, emosi naik dan turun. Dia belajar
membaca bahasa tubuh, memahami kesunyian, dan mendengar apa yang tidak
diucapkan orang.
Bahasa
Telugu adalah ruang dia berasa paling selesa. Dengan bahasa ibundanya itu, dia
boleh menjadi dirinya yang sebenar, tanpa perlu menapis emosi. Dia gemar
menonton filem Telugu lama dan baharu, menghafaz dialog, dan kadang-kadang
mengulanginya sambil memasak.
Namun
begitu, sejak beberapa minggu belakangan ini, dia sedar sesuatu yang
mengganggu: Anak-anaknya semakin jarang menggunakan bahasa Malayalam dan Telugu
di rumah.
Suman
adalah harapan dan sekali gus juga kebimbangan mereka. Sebagai anak sulung, dia
memikul banyak tanggungjawab yang tidak pernah disebut secara langsung.
Dia
cemerlang di sekolah, aktif dalam debat, dan dikenali sebagai pelajar yang versatile. Dia boleh berbual dalam
pelbagai bahasa, sekali gus mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai kelompok
sejak kecil.
Tetapi
keupayaan itu kini seolah-olah menjadi beban dan punca kepada dilema. Dia mula
merasakan dirinya terlalu banyak versi. Dengan rakan-rakan Melayu, dia menjadi Suman.
Dengan rakan-rakan Cina, dia menambah loghat Hokkien untuk kelihatan mesra.
Dengan
rakan-rakan India pula, dia cuba menyesuaikan diri dengan bahasa Tamil,
walaupun hatinya lebih dekat dengan bahasa Telugu yang diwarisi daripada ibu
dan bahasa Malayalam yang diwarisi daripada bapa.
Dan kini, pada usia 17 tahun, dia mula tertanya-tanya: Siapakah dirinya yang sebenar? (cerpen penuh boleh dibaca dalam antologi Caritra)
Mahu mengirim karya ke portal Sastera
Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

