(Sambungan Bahagian Satu) Mula-mula, Appa
pergi jauh untuk mencari nafkah hidup. Dia bukannya meninggalkan aku dan Amma
serta Ram dan Priya. Dia bekerja di luar untuk memberikan yang terbaik
untuk anak-anak. Appa sangat baik. Dia pulang setiap bulan menziarahi
kami sekeluarga. Appa juga menelefon saya, Ram dan Priya setiap hari. Appa
tidak pernah tidak bercakap dengan kami. Appa sayangkan saya dan adik
beradik.
“Kamu harus memberitahu doktor perkara sebenar.
Luahkan isi hati kamu.” Cikgu Aru mengingatkan saya semasa dalam perjalanan ke
hospital pagi tadi.
Aku yang duduk disebelahnya hanya mengangguk.
Aku sebenarnya tiada masalah.
“Cuba terangkan keadaan di rumah kamu sebelum
apa yang sudah berlaku.”
Aku tidak berkata-kata. Aku diam. Hati aku mula
bergelora. Aku tidak suka orang memberi arahan kepada aku. Aku okey. Aku budak
sekolah biasa. Aku pelajar yang bagus.
Beberapa bulan yang lalu
Aku pulang ke rumah selepas sesi tuisyen
berakhir. Aku biasanya berbasikal ke sekolah dan juga ke kelas tuisyen. Seperti
biasa, aku masuk ke dalam rumah selepas membuka pintu pagar dan terus memeluk Amma
yang sedang duduk di sofa.
“Apa kamu buat ini?” soal Amma. Suaranya
tidak seperti biasa. Raut wajahnya berubah. Sudah beberapa kali perkara
sebegini berulang tetapi pada malam itu ia mula membara.
“Apa yang terjadi kepada Amma?” Aku
bermonolog dalam kepala.
Aku terkejut dan mula berasa janggal. Aku
hampir menangis. Amma jarang berbual dengan aku. Aku tahu Amma
sibuk dengan kerjaya. Jadi, aku hanya memeluk Amma setiap pagi dan
sebelum tidur. Kadang-kadang kami tidak bercakap. Aku lebih mudah bercakap
dengan Appa walaupun dia duduk jauh.
“Kenapa Amma? Amma penat kah?”
“Sudah berapa kali saya cakap jangan datang
dekat!”
“Tapi … Amma …”
“Apa?”
“Saya tidak mahukan kamu! Kerana kamu saya
tidak boleh keluar untuk urusan tugasan di luar. Sudahlah Appa kamu pun
tidak ada di sini. Saya sudah penat menjaga kamu!”
Amma terus bangun dari sofa
dan masuk ke dalam bilik. Aku berasa sedih dan sangat kecewa. Amma jarang
meninggikan suara tetapi pada hari ini nadanya sangat berbeza. Ada
kebencian. Ada kemarahan.
“Saya tidak mahukan kamu!”
“Saya tidak mahukan kamu!”
“Saya tidak mahukan kamu!”
Ahhhh ... Ayat Amma menyakitkan aku.
Kepala aku terasa sakit.
Aku masih sayangkan Amma. Mungkin Amma
penat pada hari itu. Amma tidak keluar dari bilik selepas itu. Mungkin
dia sudah tidur.
Keesokan hari, aku ke sekolah seperti biasa.
Hanya aku seorang sahaja di rumah. Ram Anne dan Priya belajar di luar.
Ram Anne sedang belajar di sebuah kolej swasta di Johor Bahru manakala
Priya melanjutkan pelajarannya di sebuah univeristi di Kuala Lumpur. Jadi,
hanya aku seorang sahaja di rumah bersama Amma.
Biasanya, Amma akan memeluk aku sebelum
ke sekolah. Hari itu, Amma tidak keluar dari bilik. Aku hanya ketuk
pintu dan memaklumkannya sebelum ke sekolah. Tapi, tiada jawapan dari dalam
bilik. Itulah hari yang paling sedih dalam hidup aku. Hari yang terasa sangat
panjang.
Kata-kata Amma yang tidak disangka itu menusuk
jiwaku.
“Saya tidak mahukan kamu!”
Betulkah Amm tidak mahukan saya lagi?
Aku tahu Amma tidak merasakan aku ini
sebagai bebanan. Tapi, kata-katanya malam tadi seolah-olah aku adalah anak yang
menghalang kerjayanya. Aku tidak bercakap dengan sesiapa pada hari itu. Aku
juga tidak ke kantin sekolah.
Aku masuk ke tandas. Aku keluarkan pisau. Darah
mula mengalir di atas lantai.
Sesi Kedua
“Aku perlukan kasih sayang. Aku tidak perlukan
terapi dan sesi kaunseling.”
Aku bangun dan melangkah keluar dari bilik
doktor psikatri itu. Aku hanya perlukan dakapan insan-insan tersayang.
* * * * *
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan?
Baca panduan dan syarat [di sini].
[Anuradha
Chelliah berasal dari
Banting, Selangor dan merupakan jurulatih yoga terlatih dan mendapat
pengiktirafan daripada Sakthi School of
Yoga, Malaysia. Karya beliau termuat dalam Busana Bahasa (2019), Landasan
Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling
Malam (2024). Puisi bahasa Inggeris terbaharu beliau termuat dalam ALS NaPoWriMo (2025). Karya-karya
Anuradha juga boleh dibaca di Eksentrika
dan Sastera Kavyan. Baca: Biodata penuh]


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.