Kebelakangan ini, semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana rakyat sibuk dengan pekerjaan sendiri dan menganggap semangat patriotik dan sambutan kemerdekaan sebagai perkara yang tidak penting. Oleh itu, kita perlulah memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat. Persoalannya, apakah langkah yang boleh dipraktikkan bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam diri generasi muda kini?
Sebagai lontaran idea
yang pertama, ibu bapa mestilah mengajak anak-anak melawat ke tempat
bersejarah. Apabila berbuat demikian, generasi muda akan sedar terhadap
tokoh-tokoh yang pernah berjuang demi tanah air yang tercinta. Misalnya, ibu
bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke tempat yang bersejarah seperti Kota
A’ Famosa di Melaka yang merupakan tinggalan penjajahan Portugis.
Impaknya, lawatan ke
tempat bersejarah dapat membuka minda mereka akan keperitan pejuang terdahulu
untuk membangunkan dan membebaskan negara ini daripada penjajah. Maka nyatalah
di sini bahawa peranan ibu bapa dalam mengajak anak-anak melawat tempat
bersejarah merupakan antara langkah menyemarakkan semangat patriotik dalam jiwa
generasi anak-anak muda kini.
Jika ditinjau dari sudut
yang lain pula, peranan pihak sekolah dalam menyemarakkan semangat patriotisme
dalam diri generasi muda kini berkesan apabila pihak sekolah menganjurkan
sambutan bulan kemerdekaan. Hal ini dikatakan demikian dek semangat cinta akan
tanah air dapat dipupuk dalam diri para pelajar.
Sebagai contoh, sekolah
boleh mengadakan pelbagai pertandingan bertemakan kemerdekaan seperti pidato,
koir dan kuiz. Selanjutnya, pihak sekolah boleh mengadakan ceramah berkaitan
sejarah tanah air bagi semua pelajar serta tayangan filem yang bertemakan
patriotik. Justeru, kita dapat simpulkan bahawa pihak sekolah hendaklah
menganjurkan sambutan bulan kemerdekaan bagi menyemarakkan semangat patriotik
dalam diri generasi muda kini.
Melihat kepada aspek
yang berbeza, langkah menyemarakkan semangat patriotik dalam diri generasi muda
kini ialah televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program
yang dapat meningkatkan semangat patriotik. Hal ini dikatakan demikian kerana
generasi muda akan mendapat ilmu dan pengetahuan tentang kemerdekaan apabila
menonton atau mendengar rancangan tersebut.
Tamsilnya, pihak media
massa boleh menyiarkan filem-filem yang dapat membangkitkan semangat patriotik,
mengadakan rancangan khas pada sambutan bulan kemerdekaan dan mengadakan temu
bual bersama tokoh-tokoh negara yang mengharumkan nama negara. Natijahnya,
generasi muda akan bertekad untuk memastikan negara yang tercinta mampu duduk
sama rendah dan berdiri sama tinggi seperti negara-negara maju dunia. Sudah
terang lagi bersuluh bahawa televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan
atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik sebagai langkah
menyemarakkan semangat patriotik dalam diri generasi muda kini.
Konklusinya, semangat
patriotik sangat penting bagi melahirkan insan yang akan berbakti kepada
negara. Insan inilah yang akan menjadi pemimpin yang berwibawa dan akan
mengharumkan nama negara pada masa akan dating. Justeru, semua pihak haruslah
berganding bahu untuk memupuk semangat patriotik dalam diri generasi muda.