Apabila nama Kerala disebut, antara
pemandangan pertama yang muncul adalah deretan pohon kelapa yang menghijau di
sepanjang sungai berhampiran kawasan kediaman. Gambaran ini bukan sekadar imej
pelancongan yang unik, tetapi kisah tentang hubungan erat antara manusia dengan
alam. Di Kerala, kelapa wujud sebagai sebahagian daripada kehidupan, bukan
sekadar tumbuhan yang memenuhi ruangan landskap.
Pokok kelapa tumbuh subur di tanah
Kerala kerana negeri itu mempunyai iklim tropika yang panas, lembap dan
menerima hujan yang banyak. Lokasinya di pesisir lautan Arab serta jaringan
sungai dan kawasan air pedalaman turut mewujudkan persekitaran yang sesuai.
Walau bagaimanapun, faktor alam sahaja tidak mencukupi untuk menjelaskan
mengapa pohon kelapa begitu dekat dengan masyarakat di Kerala.
Kelapa juga hidup hampir dengan rumah
dan dapur masyarakat di negeri itu. Isinya diparut, santan pula diperah, minyak
digunakan dalam masakan dan juga untuk rambut yang sihat, manakala airnya
diminum sebagai minuman semula jadi. Hampir setiap hari, masyarakat keturunan
Malayali di Kerala menikmati juadah yang dimasak dengan santan kelapa dan ia
perlahan – lahan menjadi sebahagian daripada ingatan dan identiti masyarakat
itu.
Dalam masakan Kerala, kelapa bukan
sekadar bahan tambahan untuk menambah rasa. Ia membentuk watak banyak hidangan
tradisional dan menjadi penghubung antara rasa, keluarga dan warisan.
Kadangkala, sejarah dan tradisi sesuatu masyarakat lebih mudah difaham melalui
dapur daripada melalui monumen atau catatan rasmi.
Selain itu, kelapa juga mempunyai nilai
ekonomi yang tinggi. Sabut kelapa diproses menjadi tali, tikar, serat dan
pelbagai produk lain, lalu menghasilkan industri tradisional yang telah pun
menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat. Di sebalik sebiji kelapa yang
kelihatan biasa, terdapat rangkaian tenaga manusia, kemahiran dan sumber
pendapatan.
Menariknya, industri sabut kelapa di
Kerala turut fokus pada sumbangan besar wanita. Banyak pekerjaan berkaitan
pemprosesan sabut secara tradisional dilakukan oleh kaum wanita yang
kemudiannya menjadi sebahagian penting daripada ekonomi keluarga. Kisah ini turut
mengingatkan kita bahawa sejarah ekonomi tidak hanya dibina oleh pedagang dan firma
besar, tetapi juga oleh tangan rakyat marhaen.
Hampir setiap bahagian pokok kelapa ada
manfaatnya. Buah, sabut, tempurung, daun dan batang mempunyai kegunaan tersendiri
dalam makanan, kraftangan, pembinaan dan kehidupan harian. Keupayaan sebuah
pokok memenuhi begitu banyak keperluan menjelaskan mengapa kelapa memperoleh
kedudukan istimewa dalam masyarakat negara tropika.
Namun, hubungan Kerala dengan kelapa
juga makin berubah. Urbanisasi, perubahan penggunaan tanah, kos buruh dan
perubahan ekonomi memberi cabaran kepada pertanian tradisional. Sesuatu yang
kuat dalam identiti budaya tidak semestinya kekal sama dari sudut ekonomi.
Di sinilah kelapa menjadi lebih daripada
sekadar sebuah pokok. Pada buahnya terdapat makanan, pada sabutnya pula ada peluang
pekerjaan, pada daunnya ada warisan dan pada landskapnya ada memori sesebuah
tempat. Sebatang pohon akhirnya boleh menjadi sebuah arkib kehidupan.
Kerala terkenal dengan kelapa bukan
hanya disebabkan kuantiti pokok kelapa yang tumbuh merata di negeri itu. Kelapa
menjadi terkenal kerana ia telah memasuki begitu banyak lapisan kehidupan
masyarakat sehingga sukar memisahkan pohon itu daripada kisah berkaitan Kerala
sendiri. Akhirnya, kita belajar bahawa manusia bukan sahaja hidup di tengah
alam, tetapi turut membina identiti daripada apa yang berada di sekeliling
mereka.
* * * * *
Mahu mengirim karya ke
portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan
syarat [di sini].
[Malini Lakshmi Bai dilahirkan di Kuala Lumpur
pada 31 Julai 1992. Minat beliau terhadap bahasa dan kesusasteraan bermula
sejak persekolahan dan pernah meraih johan serta naib johan dalam pertandingan
debat, syarahan, dan forum pelajar. Malini terlibat secara aktif dalam bidang
penulisan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sejak tahun 2021. Karya-karyanya boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Kini, beliau berkhidmat sebagai
editor pengurusan di My Aviation Magazine.
Baca: Biodata penuh]


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.