Cerpen: Tusukan Kata-kata (Bahagian 1)



Sesi Kedua

Lelaki yang duduk di sebelah aku masih mengoyangkan kakinya. Tidak berhenti dari tadi. Dia seorang sahaja. Tiada sesiapa dengannya. Dia nampak agak berusia. Mungkin lewat empat puluhan. Agak pelik kerana dia tidak mengeluarkan atau melihat telefon seperti yang biasa dilakukan oleh kebanyakan individu yang bersendirian.

Mungkin masa janji temunya belum tiba ataupun sesinya sudah tamat. Sekarang dia cuba duduk bersilang kaki. Tapi rasanya dia kurang selesa. Dia duduk balik seperti biasa. Dia kelihatan cemas. Kakinya masih bergerak tanpa henti.

Pintu bilik doktor pakar psikatri dibuka. Nama aku disebut. Aku bangun dengan perlahan dan melangkah masuk ke dalam bilik itu. Seorang doktor berpakaian kemas duduk di kerusi sofa. Biliknya tidak seperti bilik doktor-doktor lain yang biasa kita kunjungi untuk rawatan selsema atau deman. Sesi yang lepas pun aku berjumpa dengan doktor yang sama. Aku datang hari ini pun untuk melihat wajahnya yang manis. Senyuman yang menyejukkan hati.

“Apa khabar hari ini?”

“Okey.”

“Sudah sarapan?”

“Sudah.”

“Apa yang kamu makan pagi tadi?”

“Roti, butter dan kopi ‘O’.”

“Kenyang?”

“Ya.”

Aku yang suatu ketika dahulu dikatakan mulut murai, kini terus hilang kata-kata untuk meneruskan perbualan. Aku selalu ditegur oleh guru-guru kerana aku suka bercakap. Aku suka melontarkan idea dan memberi pendapat. Aku pernah dipuji kerana membuat pembentangan dengan suara yang lantang berserta hujah-hujah yang bernas.

Hari ini, aku hanya menjawab soalan yang ditanya dengan sepatah atau dua patah sahaja. Aku kehilangan kata-kata sejak aku dibawa ke sini. Kebelakangan ini, aku tidak banyak bercakap. Lebih tepat lagi sejak enam bulan yang lalu. Aku lebih suka bercakap dengan siling, katil dan teddy bear yang sedia mendengar isi hati aku walaupun mereka tidak pernah memberi maklum balas.

“Saya tidak mahukan kamu!”

Ayat itu mula menekan dan memeritkan jiwaku. Hati yang riang ini sudah tidak ceria lagi selepas mendengar kata-kata itu.

Sesi pertama

Bulan lepas aku dibawa ke sini oleh Cikgu Arumugam, guru kaunseling di sekolah. Hari ini pun dia juga yang mengikut aku. Tiada siapa yang nakkan aku. Sebelum ini, aku pernah bercerita dengan Cikgu Aru. Itu nama singkatannya di sekolah. Ramai pelajar suka berdamping dengan Cikgu Aru kerana dia mudah bermesra. Dia tahu segala-galanya mengenai aku kerana dia suka mendengar. Dia jarang memberi nasihat. Dia hanya mendengar. Kadang-kadang, Cikgu Aru akan makan bersama pelajar-pelajar di kantin sekolah.

Dia juga tidak pernah memarahi pelajar-pelajar di sekolah. Dia bukan seperti Cikgu Rahmat, guru disiplin yang sangat tegas. Guru disiplin yang sentiasa memegang rotan. Aku sangat menghormatinya. Walaupun tegas, Cikgu Rahmat seorang guru Bahasa Malaysia yang bagus. Dia juga pandai bergaul dengan pelajar-pelajar kerana dia pun mengikuti trend Gen Alpha.

Guru kelas aku, Puan Aznah juga sangat garang. Mungkin dia sudah tidak suka dengan aku seperti Amma. Semua sudah tidak suka dengan aku. Kawan-kawan di dalam kelas. Kawan-kawan yang belajar di kelas lain. Semua. Semua sudah tidak menyukai aku. Aku menjadi bahan bualan di sekolah. Aku memburukkan nama aku sendiri.

Kalau dulu aku menjadi buah mulut kerana kejayaan aku dalam pertandingan syarahan dan pengucapan awam. Kini, aku masih menjadi topik panas tetapi bukan kerana kecemerlangan. Aku menjadi penambah kes di sekolah. Kes yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Aku rasa aku sudah lama memendam perasaan sehingga aku terpaksa melepaskannya seperti air gas yang keluar daripada tin minuman gas yang dibuka selepas digoncang berkali-kali. Beberapa kali, aku menjerit tanpa sebab di dalam kelas selepas insiden di rumah pada malam itu. Aku mencampakkan buku-buku kawan. Aku mula marah dengan diri aku sendiri. (Bersambung pada 23 Oktober 2026)

* * * * *

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor dan merupakan jurulatih yoga terlatih dan mendapat pengiktirafan daripada Sakthi School of Yoga, Malaysia. Karya beliau termuat dalam Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024). Puisi bahasa Inggeris terbaharu beliau termuat dalam ALS NaPoWriMo (2025). Karya-karya Anuradha juga boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Baca: Biodata penuh]

Ulasan