Bunga


Penungguan untukmu mekar sentiasa dinanti

di pagi hari selepas terbitnya sang suria

laman berwarna-warni menyejukkan hati

tiga, lima, tujuh kelopakmu berkembang

redanya kemarahan dengan kembangnya kelopakmu

dilihat, dihidu, disentuh, dipetik

kau tetap mekar tanpa berkata-kata

kau juga hiasan wanita anggun

kau juga pengubah wajah

kau juga pemberi semangat

jambanganmu hantaran kelahiran

juga hiasan majlis kesyukuran

pilihan pelbagai jenis-pemberi restu

restu panjang umur, restu kejayaan

mekar menawan, senyuman melebar

juga hantaran kejutan hari lahir dan ulang tahun

mungkin hanya suka-suka, mungkin untuk debaran

kau jugalah yang hadir semasa pooja di kuil

kau jugalah yang mengikut semasa perjalanan terakhir

kau sahajalah sentiasa bersamaku tanpa kusedari.

 

Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Banting sebelum meneruskan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan seterusnya Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Anuradha aktif menulis sejak 2016 dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. Karya beliau termuat dalam pelbagai antologi seperti Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), dan Lakaran Diri (2022).  Anuradha merupakan bendahari Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.