Pancawarna

Di bandar Chennai, Tamil Nadu yang begitu sibuk dan bising, seorang pemuda bernama Ramanathan sangat menantikan ketibaan Holi. Holi adalah perayaan yang tidak biasa dirayakan di India Selatan. Ramanathan yang dibesarkan dalam sebuah keluarga tradisional di Chennai, sentiasa inginkan pengalaman menyambut perayaan yang disambut di bahagian utara negara itu.

Ramanathan, pemuda yang berusia dua puluh lima tahun, bertekad untuk memperkenalkan perayaan India Utara itu kepada komuniti Tamil di kawasan perumahannya. Ramanathan menggalas tanggungjawab untuk memperkenalkan Holi kepada keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga. Dengan semangat yang tidak terhingga, dia menerangkan tradisi dan kepentingan perayaan itu. Dia menjemput semua orang untuk memberikan sokongan padu untuk merayakan perayaan Holi di kawasan perumahan mereka.

Pada hari Holi, seluruh kejiranan Ramanathan telah berubah menjadi sebuah India Utara mini. Serbuk warna yang berwarna-warni berterbangan di udara. Ramanathan berasa sungguh gembira dan seronok melihat keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga turut menyertai pesta bermain serbuk warna itu. Muka dan tangan masing-masing dipenuhi dengan pelbagai warna. 

Ramanathan berasa sungguh gembira melihat seluruh kawasan kejiranannya dipenuhi dengan gelak ketawa, keseronokkan keseronokan dan senyuman yang terukir pada wajah setiap orang yang bermain dengan serbuk beraneka warna. Kepuasan yang mendalam menakluki dirinya. Dia faham bahawa perayaan tanpa mengira puak, bangsa dan agama pasti akan mencurahkan perpaduan dan mengeratkan lagi ikatan sesama manusia.

[Malini Lakshmi Bai lahir dan membesar di Kuala Lumpur. Pada tahun 2012, beliau menyambung pengajian tinggi dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak bangku sekolah. Pada tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar, pertandingan debat, dan syarahan. Kini, beliau berkerjaya sebagai guru bahasa Inggeris dan penyelia di sebuah pusat pembelajaran bahasa. Malini juga menggalas jawatan penolong setiausaha dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Hasil karya beliau termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022) dan di portal Sastera Kavyan. Karya bahasa Inggeris pula diterbitkan di laman Eksentrika. Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]