Malam itu sunyi
sekali,
Hanya bunyi mesin
di sisi katil nenek,
Dan nafas tua yang
semakin turun naik,
Ibarat samudera
terakhir di lautan kehidupan.
Seorang nenek
terlantar lemah,
Di katil hospital
yang dingin,
Dengan tubuh kurus
dipenuhi dawai,
Dan mata yang
semakin jauh memandang dunia.
Anak cucu ziarah
dan pergi,
Doktor dan
jururawat silih berganti,
Tetapi hati nenek
tiada lagi di bumi,
Jiwanya sudah
berdiri di ambang langit abadi.
Di celah bibir
yang kering,
Dia masih menyebut
perlahan,
“Muruga…Muruga…”
Meski suaranya
hampir tenggelam bersama waktu.
Tangan nenek
menggigil mencari sesuatu,
Lalu menggenggam
gambar Dewa Muruga,
Yang sudah lusuh
dimamah waktu dan usia,
Tetapi tetap dekat
di hati.
Lampu wad samar
menyala,
Malam makin sunyi
dan sepi,
Penghuni wad sudah
terlena,
Tetapi nenek masih
menunggu dengan setia.
Bukan menunggu untuk
fajar,
Bukan menunggu
ubat-ubatan,
Bukan menunggu
ketibaan doktor,
Bukan menunggu
keajaiban dunia.
Angin lembut menyapa
langsir hijau,
Ruang wad 7B
bertukar dingin,
Dipenuhi cahaya
keemasan yang berkilau,
Menandakan
ketibaan Dewa Muruga dengan meraknya.
Kelihatan seekor
merak berdiri megah,
Dengan bulu
bersinar umpama kayangan,
Vel suci di tangan
Dewa Muruga bercahaya indah,
Membelah sunyi
malam penuh ketenangan.
Dewa Muruga
melangkah perlahan,
Menghampiri katil
nenek yang nazak,
Wajahnya tenang
penuh belas kasihan,
Seolah syurga
sendiri datang memujuk nenek.
Air mata nenek
mengalir perlahan,
Jatuh membasahi
pipi yang berkedut usia,
Bukan kerana takut
akan kematian,
Tetapi rindu yang
lama akhirnya terubat jua.
Mesin di sisi
katil berbunyi perlahan,
Seperti mengiringi
doa terakhir kehidupan,
Nafas nenek
semakin pendek dan perlahan,
Namun wajahnya
dipenuhi ketenangan abadi.
Dengan tenaga yang
masih bersisa,
Nenek menggenggam
tangan Dewa Muruga erat,
Lalu bibirnya
mengukir senyuman paling bahagia,
Seperti segala
derita dunia sudah pun terangkat.
Saat subuh mula
menyentuh langit,
Nafas terakhir
nenek pergi tanpa suara,
Dewa Muruga
membawa jiwanya bangkit,
Menuju alam cahaya
yang kekal selamanya.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera
Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Malini Lakshmi
Bai dilahirkan di Kuala Lumpur pada 31 Julai 1992. Minat beliau
terhadap bahasa dan kesusasteraan bermula sejak persekolahan dan pernah meraih
johan serta naib johan dalam pertandingan debat, syarahan, dan forum pelajar.
Malini terlibat secara aktif dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Bahasa
Inggeris sejak tahun 2021. Karya-karyanya
boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Kini, beliau berkhidmat sebagai
editor pengurusan di My Aviation Magazine.
Baca: Biodata penuh]

