Siapa Bunuh Mukundan?

“Mukundan menderita selama empat bulan sebelum mati. Saya tak pernah lihat sesiapa menderita seteruk ini.”

Demikian diceritakan Anita, gundik berumur 19 tahun, kepada wartawan yang mahu mendapatkan sedikit maklumat eksklusif untuk dilaporkan.

Semalam, media melaporkan berita ringkas tentang ketua gengster bernama Mukundan yang mati selepas muntah-muntah dan mengadu sakit dada berpanjangan sejak empat bulan lalu.

“Dia asyik mengadu bahawa dia merasakan seolah-olah saluran besar dalam sistem salur nadi yang menyalurkan darah dari bilik jantung sebelah kiri ke salur nadi seluruh anggota sedang disiat-siat,” Anita mengulangi kisah yang sudah diceritakan kepada sesiapa yang bertanya tentang punca kematian Mukundan.

Wartawan itu pula tidak mencatatkan maklumat terperinci berkenaan kerana perkara itu sudah sedia diketahui umum sejak semalam. Beberapa pengikut Mukundan yang ditemuinya juga sudah menceritakan bagaimana ketua mereka mengadu kena mandram (sihir) atau ada orang telah memasukkan santau iaitu racun ke dalam makanan yang diberi kepadanya.

Pengumuman rasmi tentang kematian ketua gengster yang terlibat dalam jenayah pengedaran dadah, penyeludupan, dan pembunuh upahan itu hanya dibuat sekitar dua puluh empat jam selepas mayatnya ditemui telentang di atas permaidani di rumah Anita di tingkat tujuh.

Anita, Saradah, Indumathi, dan Ramyah selaku gundik sah Mukundan telah meminta Satees menelefon ambulans. Pemuda berumur 23 tahun itu ialah anak angkat Mukundan dan juga kekasih Anita.

“Jadi, memang sah bahawa dia meninggal dunia akibat keracunan?” Si wartawan cuba mendapatkan pengesahan dan maklumat tambahan.

Dia dihantar oleh ketua meja wartawan untuk cuba mendapatkan apa-apa kisah menarik yang boleh digunakan bagi menulis berita susulan berkaitan kematian Mukundan.

Sebaik diberi tugasan yang dianggapnya mencabar, wartawan muda itu segera membaca buku Triad and Tabut: A Survey of the Origin and Diffusion of Chinese and Mohamedan Secret Societies in the Malay Penansula (1941) oleh Mervyn Llewelyn Wynne.

Mukundan sudah terlibat dalam segala bentuk jenayah sebelum mencapai umur 15 tahun. Pada usia 25 tahun, dia sudah menjadi ketua gengster, pengedar dadah, dan pembunuh upahan yang digeruni orang ramai dan pihak berkuasa.

Dia bermula sebagai macai dalam kumpulan gengster Cina. Kemudian, berjaya membina empayar sendiri yang direstui dan tidak lagi diganggu mana-mana kongsi gelap Cina.

Namun begitu, Mukundan sentiasa mengatakan bahawa dia dilindungi serta mendapat petunjuk dan arahan secara langsung daripada Kapitan. (bersambung

[Cerpen penuh boleh dibaca dalam buku Sebelas Amanat Swamiji]

Reaksi pembaca beta untuk cerpen ini: [Baca di sini]

Reaksi pembaca beta untuk cerpen lain: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta]

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca, projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah Dewi Pertiwi (2024) dan Cerpen (2024). Tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]