Ketika saya kecil,
keluarga kami pernah memelihara beberapa ekor kucing dan anjing. Seingat saya,
anjing tiga ekor dan kucing tidak terkira berapa ekor pernah menghuni di luar
dan di dalam rumah kami.
Kebanyakan anjing dan
kucing adalah diberi oleh kawan-kawan bapa ataupun mereka datang sendiri ke
rumah kami dan dijadikan sebagai haiwan peliharaan.
Walaupun pada umur yang
kecil itu agak kekok dan takut untuk memegang anjing dan kucing; cara mereka
bergaul telah memecahkan tembok ketakutan. Malah mereka lebih mesra dan mudah
untuk bergaul berbanding dengan manusia. Di mana kita sentiasa perlu berdepan
dengan pelbagai masalah jika tersilap langkah.
Apabila saya membesar
bersama anjing dan kucing, memberi makanan dan minuman adalah menjadi rutin
harian. Selain itu, setiap hari anjing akan dibawa berjalan-jalan dan
dimandikan seminggu sekali. Ini menggembirakan mereka dan saya.
Memelihara kucing jauh
lebih mudah berbanding dengan anjing. Ketika itu kucing dipelihara untuk
menangkap tikus dan kebanyakan kucing yang pelihara memang menangkap tikus
walaupun tidak makan sepenuhnya. Bukan seperti kucing zaman sekarang. Kucing juga tahu membersihkan diri
dan badannya juga tidak berbau.
Ketika anjing dan
kucing seharian berlegar bersama kita, perasaan kita juga menjadi tenang,
lapang dan gembira melihat telatah mereka.
Menurut tokoh saintis
paling terkemuka merangkumi penyelidik pelopor seperti Dr. Alan Beck dari
Washington University di St. Louis menyatakan, binatang peliharaan memberi
kesan mendalam terhadap kesihatan mental dan fizikal manusia. Kajian mereka
membuktikan haiwan seperti kucing dan anjing mampu membaca emosi manusia,
mengurangkan tekanan, merendahkan tekanan darah, serta membantu memperlahankan
kemerosotan kognitif (seperti nyanyuk).
Walaupun memelihara
haiwan menggembirakan kehidupan seharian dan menjana emosi kita dengan baik,
timbul juga masalah untuk tuan punya haiwan peliharaan apabila mereka jatuh
sakit dan hilang. Lebih-lebih lagi kematian mereka akan meninggalkan kesan
emosi yang amat mendalam.
Sudah tentu kucing atau
anjing boleh diganti dengan yang baharu tetapi kenangan bersama mereka pasti
tidak mudah luput dari ingatan. Kita pasti akan mengambil masa untuk bermesra
dengan haiwan peliharaan baharu.
Keluarga kami tidak
memelihara anjing bermula awal tahun 80-an lagi setelah kematian anjing bernama
Puppy. Puppy dipelihara sejak kecil lagi pada tahun 1977. Kucing pula masih
dipelihara sehingga tahun 2010. Setelah berpindah ke pangsapuri, peluang untuk
memelihara kucing adalah tipis. Lagipun akan timbul masalah untuk tinggalkan
mereka jika kita ada urusan di luar selama beberapa hari. Malah menjadi
kesalahan untuk memelihara anjing atau kucing di pangsapuri.
Ketika meneliti di
media sosial, saya dapati ramai penulis terkemuka dunia mempunyai kecintaan
tinggi terhadap haiwan peliharaan.
Mendiang Ernest
Hemingway amat mencintai kucing jenis polydactyl, iaitu kucing yang
memiliki lebihan jari daripada kucing biasa. Kini rumah beliau di Key West,
Florida menepatkan puluhan ekor kucing yang merupakan keturunan kepada haiwan
peliharaan asal beliau.
Mark Twain juga taksub
dengan kucing sehingga beliau selalu menyewa kucing untuk bermain dengannya
ketika dalam siri jelajah. Malah beliau juga dikatakan enggan berkawan dengan
sesiapa yang tidak menyukai kucing.
Penulis John Steinbeck
pula menjelajah bersama anjing jenis pudel Perancis beliau, bernama Charley,
yang kemudiannya diabadikan dalam buku terkenalnya Travels With Charley.
Walaupun saya tidak
dapat memelihara anjing dan kucing sehebat penulis-penulis terkenal seperti
mereka; sehingga kini saya masih berasa gembira apabila berhadapan dengan
anjing dan kucing jalanan. Saya sering bertegur sapa dengan mereka. Ini dibuat
ketika saya melalukan brisk walk setiap petang di kawasan perumahan
tempat tinggal saya.
Selain anjing dan
kucing, saya juga suka melihat burung, monyet dan tupai yang mudah ditemui di
kawasan Bentong. Walaupun mereka tidak sama seperti haiwan peliharaan domestik;
mereka tetap memeriahkan kehidupan manusia di muka bumi ini tanpa sedar.
Haiwan di jalanan dan
haiwan liar mungkin tidak akan sama seperti haiwan peliharaan. Mereka juga
berhak untuk hidup sama seperti kita di dunia ini. Sekiranya tidak dapat
memberikan makanan untuk mereka, janganlah pula menganiyaya mereka.
Haiwan dan manusia
sama-sama berganding bahu menceriakan dunia ini.
Mahu
mengirim karya ke portal Sastera Kavyan?
Baca panduan dan syarat [di sini].
[Mahendran dilahirkan di Bentong,
Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan
Tamil sejak tahun 1987. Karupaya
(2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya
Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan, Eksentrika,
Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]

