Puisi: Catur Kehidupan

Hidup ini ibarat sepapan catur,
Setiap langkah penuh pancaroba dan duga,
Kadang menyerang, kadang bertahan,
Kadang terpaksa mengundur sahaja.

Raja yang lemah tanpa perlindungan,
Permata yang kukuh tanpa sokongan,
Begitulah manusia dalam kehidupan,
Perlukan teman untuk pertahanan.

Bidak di barisan hadapan sering dikorbankan,
Dianggap kecil, tidak berkuasa,
Semuanya bertukar sampai di hujung papan,
Boleh bertukar jadi yang paling gah.

Menteri bergerak bebas ke hulu hilir,
Sekali silap langkah, hilang sekelip mata,
Begitulah kuasa yang dimiliki kita,
Sentiasa berwaspada, bukan untuk dipertaruhkan.

Kuda melompat dalam bentuk yang ganjil,
Kadang hidup kita pun bukan mudah,
Berbelit, berliku dan sukar diramal,
Namun setiap langkah ada maksud tersirat.

Setiap individu ada strategi sendiri,
Ada yang menyerang, ada yang bertahan,
Tidak semua langkah membawa keuntungan,
Tapi setiap langkah pasti mengajar sesuatu.

Papan akan kembali kosong akhirnya,
Raja dan bidak kembali ke petak yang sama,
Tidak kira siapa menang dan siapa kalah,
Selesai permainan, semua kembali sama rata.

Maka bermainlah dengan bijaksana,
Bukan untuk menewaskan orang lain sahaja,
Tapi untuk belajar erti setiap langkah,
Sebelum waktu menjemput kita pulang ke rumah.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Malini Lakshmi Bai dilahirkan di Kuala Lumpur pada 31 Julai 1992. Minat beliau terhadap bahasa dan kesusasteraan bermula sejak persekolahan dan pernah meraih johan serta naib johan dalam pertandingan debat, syarahan, dan forum pelajar. Malini terlibat secara aktif dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sejak tahun 2021. Karya-karyanya boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Kini, beliau berkhidmat sebagai editor pengurusan di My Aviation Magazine. Baca: Biodata penuh]