“Shiva, kau gerak dulu.” Khairi melaung dari tingkat tiga bangunan sekolah kepada sahabat baiknya yang sudah terpacak di pintu pagar, bersedia untuk pulang ke asrama.
“Kenapa?
Kau buat apa lagi?” Shiva menggaru kepala.
Khairi
merungut dalam hati, ‘Banyak pulak soalan dia.’
“Aku
nak simpan barang kejap. Kau pergi dulu.” Tanpa menunggu respons, Khairi
beredar pergi. Niat Shiva untuk terus bertanya tersekat apabila Khairi hilang
dari pandangan.
Sejurus
sahaja memasuki kelasnya yang kosong, Khairi merebahkan diri di atas lantai.
Dahinya berkerut menahan kesakitan. Tubuhnya dipeluk erat dalam usaha
menghentikan denyutan di seluruh tubuh badan.
Selang
beberapa minit, Khairi menyedari seseorang menghampirinya. Tanpa mendongak,
Khairi bersuara, “Kan aku dah janji nak bagi duit esok, Sam? Tolonglah lepaskan
aku hari ini.”
“Lepaskan
kau? Duit apa?”
Jantung
Khairi berdegup kencang apabila mendengar suara itu. Ternyata itu bukan suara
Sam, si pembuli yang digeruni oleh pelajar-pelajar di sekolahnya.
“Shiva
…,” Khairi berkata apabila menyedari pemilik suara itu. Riak wajah Shiva jelas
memancarkan kemarahan.
“Aku
tak nak dengar apa-apa. Kau ikut cakap aku. Kita ke klinik,” Shiva memberi
amaran seraya bergegas ke hadapan untuk membantu sahabatnya.
Khairi
tidak berani bersuara dan hanya menurut. Sepanjang perjalanan di dalam teksi,
Shiva kelihatan menggumpal buku lali untuk mengawal emosi. Langsung dia tidak
sangka Khairi akan menyembunyikan hal sebesar daripadanya.
“Saya
terjatuh dari basikal.”
Penipuan
itu berjaya mendapatkan Khairi sebuah senyuman sinis daripada doktor serta
jelingan maut daripada sahabat baiknya. Khairi menelan air liur.
Apabila
tiba di asrama, Shiva membayar duit teksi dan memapah Khairi sehingga tiba di
bilik mereka. Shiva bepura-pura menyibukkan diri dengan meneliti ubat-ubatan
yang diberi oleh doktor dan tidak melayan Khairi.
“Tolonglah
jangan senyap macam ni,” kata-kata Khairi memecahkan kesunyian yang terasa janggal.
Shiva
memandang sahabatnya. Melihat wajah Khairi yang pucat dan lesu, Shiva
melepaskan keluhan yang berat, tidak sampai hati untuk memarahinya.
“Kenapa
kau tak beritahu aku?” Shiva bertanya dengan nada yang mendatar sambil
mencangkung di hadapan Khairi.
Senyap.
“Aku
tak nak bertengkar. Lepas kau dah sihat, kita bincang. Sekarang, kau rehat,” Shiva
memutuskan.
Apabila
tiba di sekolah selepas habis cuti sakit, Khairi mendapat tahu bahawa Sam telah
dikenakan tindakan tatatertib dan dibuang sekolah. Hasil laporan Shiva kepada
guru disiplin, ramai lagi mangsa tampil ke hadapan dan turut memberi laporan
yang memudahkan proses tindakan disiplin terhadap Sam.
Khairi
menarik nafas lega.
“Sekarang,
aku kena fikir cara untuk pujuk kawan baik aku,” Khairi berbisik sambil
melangkah ke kelas dengan senyuman yang tenang.
____________________