Pada 14 Mac 2026, saya dan Uthaya Sankar SB telah
pergi ke Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka untuk menjayakan program galakan membaca bagi kanak-kanak di situ. Ini adalah salah satu program dianjurkan oleh Kavyan.
Walaupun saya pernah beberapa kali ke Melaka sebelum ini, inilah kali pertama saya
menjejakkan kaki di Kampung Chetti. Saya sungguh teruja sepanjang perjalanan. Saya terbayangkan wajah
kanak-kanak Chetti serta bagaimana akan perilaku mereka nanti. Saya langsung tidak pernah bersua dengan kaum
Chetti di mana-mana sebelum ini.
Walaupun saya pernah membaca artikel dan
dokumentari yang dihasilkan oleh saudara Uthaya, saya masih bertanya berkenaan
mereka ketika dalam perjalanan.
Diketahui, kaum Chetti Melaka ialah satu komuniti
kecil keturunan India Peranakan di Melaka. Mereka merupakan keturunan pedagang
India yang datang ke Melaka beratus tahun dahulu dan berkahwin dengan wanita tempatan
Melayu.
Komuniti ini wujud sejak zaman Kesultanan Melaka
sekitar abad ke-15. Kaum Tamil yang merupakan pedagang dari benua India
berkahwin dengan wanita Melayu tempatan dan lahirlah keturunan Chetti Melaka.
Iaitu, sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu.
Kebanyakan kaum Chetti Melaka beragama Hindu dan
mereka bertutur dalam bahasa Malaysia. Makanan mereka pula adalah gabungan
masakan India dan Melayu.
Setelah pekena nasi ayam di sebuah kedai Cina di
Melaka, kami terus menuju ke Kampung Chetti. Menurut saudara Uthaya, suatu
waktu dahulu keluasan Kampung Chetti ini adalah
sungguh besar. Lama-kelamaan ramai kaum Chetti telah menjual tanah mereka dan
telah berhijrah ke tempat lain. Arus pembangunan juga telah menelan kampung ini
dan kini cuma tinggal sekangkang kera sahaja. Sedih bukan?
Kami melawat kuil Sri Muthu Mariamman tersergam
indah di situ sebelum ke bilik bacaan Kampung Budaya Chetti yang terletak
berhampiran. Oleh kerana kuil tidak dibuka pada waktu tengah hari, kami tidak
dapat masuk ke dalam. Kami cuma mengambil gambar dari luar sahaja.
Program bermula tepat pada dua petang setelah
beberapa peserta masuk ke bilik bacaan satu persatu untuk mendaftar. Saya
menatap setiap wajah peserta dengan tekun.
Kebanyakan raut wajah mereka jauh berbeza dengan kaum Tamil/India yang
biasa dilihat. Ada beberapa peserta yang hadir merupakan kaum Chetti tulin.
Mereka adalah keturunan asal campuran Tamil dan Melayu. Sementara itu yang lain
pula adalah kelahiran hasil perkahwinan antara kaum Chetti, Tamil dan Cina.
Seramai lapan peserta menghadiri program ini.
Masing-masing berumur antara sebelas hingga lima belas tahun. Setelah sesi
mendaftar selesai dengan memberikan majalah Melur; program galakan membaca
dimulakan.
Program dimulakan dengan sesi pengenalan penulis;
di mana saya dan saudara Uthaya memperkenalkan diri serta menceritakan
pengalaman masing-masing dalam bidang penulisan.
Setelah itu, saudara Uthaya memberi tugasan kepada
peserta untuk membaca petikan cerpen karya beliau yang disiarkan dalam majalah
Melur secara bergilir-gilir. Setiap peserta dapat membaca dengan baik.
Kemudian, saya pula mengadakan sesi soal jawab berkenaan cerpen tersebut.
Masing-masing boleh menjawab dengan betul. Ini menunjukkan mereka memahami
keseluruhan cerpen yang telah dibaca itu.
Para peserta yang diam dan segan pada awal sesi,
mula nampak ceria dan boleh bersuara setelah beberapa minit berlalu. Cara pergaulan
kami mungkin menarik dan menggembirakan mereka.
Kemudian, diedarkan buku Lakaran
Diri terbitan Kavyan untuk bacaan seterusnya. Kali ini
setiap peserta dikehendaki membaca
cerpen bertajuk “Duta Chetti Melaka” tulisan saudara Uthaya Sankar SB secara
bergilir-gilir. Juga diadakan sesi soal jawab selepas itu.
Program diteruskan dengan kerja berkumpulan. Para peserta
dibahagikan kepada dua kumpulan. Mereka diminta berbincang dan mencatatkan
keunikan, sejarah, identiti, jati diri, makanan, seni persembahan, perayaan,
dan budaya kaum Chetti dan Kampung Chetti. Kedua-dua kumpulan bekerjasama dan
mereka dapat menyenaraikan apa yang dipinta walaupun tidak selengkap seperti yang diharapkan.
Mungkin ini disebabkan oleh kurang pendedahan dan kebanyakan warga chetti tua
semakin berkurangan.
Tamat sesi itu, kami berehat sebentar dengan
menikmati kuih yau cha kuih/ you tiao yang disediakan oleh wakil kuil. Kami
mendapat penerangan daripada saudara Uthaya tentang kisah di sebalik kuih
tersebut. Terkejut juga mendengar kisah itu.
Sesi seterusnya juga merupakan kerja berkumpulan. Saya
dan Uthaya menerangkan peri pentingnya penduduk kampung Chetti perlu
mempromosikan indentiti mereka kepada dunia luar melalui tulisan, foto dan
video menerusi media sosial seperti Facebook, X (Twitter), Instagram, WhatsApp
dan blog. Ini adalah disebabkan komuniti Chetti Melaka adalah sungguh unggul
dan unik di negara ini.
Kemudian para peserta diarahkan mengambil gambar
seberapa banyak yang boleh di sekitar kampung Chetti. Saya melihat kesemua
peserta begitu bersungguh-sungguh berlari keluar dari bilik bacaan dan
mengambil gambar di merata tempat menggunakan telefon pintar.
Setelah hampir setengah jam, mereka kembali dengan
hasil tangkapan masing-masing. Saudara Uthaya meminta para peserta memilih gambar terbaik dikirimkan kepada beliau.
Adik Rehendran berusia 15 tahun mendapat hadiah
buku kumpulan cerpen Karupaya sebagai cenderahati untuk
peserta paling banyak mengambil gambar dan berinformasi.
Program galakan membaca berakhir dengan ucapan
wakil Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi (SPVM). Kami menyerahkan beberapa buah
buku terbitan Kavyan kepada beliau untuk diletakkan di bilik bacaan dengan
harapan para penduduk setempat akan memanfaatkannya.
Selepas itu kami bergambar beramai-ramai di hadapan
bilik bacaan.
Dalam perjalanan pulang, saya meneliti semula
rumah-rumah papan milik penduduk kaum Chetti yang berwarna-warni. Ada juga
beberapa keluarga kaum Chetti mempamerkan hiasan-hiasan tradisional dan antik
di luar dinding rumah mereka.
Satu sahaja kesimpulan terbit di benak saya; kaum
Chetti sedang menerusi proses kepudaran identiti. Kekurangan generasi lama,
perkahwinan campur dan arus kemodenan sedang memudarkan semua.
Semoga generasi baharu akan terus mengekalkan dan
mempromosikan kebudayaan unik Chetti Melaka agar tidak pupus ditelan zaman.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan, Eksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]





Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.