Keluarga
adalah sebuah unit di mana kasih sayang berganda, kepercayaan dibina dan
perlindungan diutamakan. Namun, salah sebuah dokumentari di Netflix yang
bertajuk Curry and Cyanide: The Jolly Joseph Case mengangkat sebuah
kisah yang didakwa benar di Kerala, India, yang mencabar tanggapan lazim kita
tentang kepercayaan dalam keluarga. Kisah yang dibentangkan dalam dokumentari
ini bukan sahaja menyayat hati tetapi sukar diterima akal.
Dokumentari
ini berjaya membuka minda dan memperluaskan perspektif penonton bahawa
kekejaman dan kejahatan, jika benar berlaku, tidak semestinya muncul dari luar
tetapi boleh juga berakar dalam lingkaran yang paling hampir dengan kita.
Dokumentari ini menelusuri satu siri kematian yang didakwa sebagai pembunuhan
bersiri dalam sebuah keluarga di Koodathayi, Kerala. Selama hampir dua dekad,
beberapa kematian misteri dilaporkan berlaku satu demi satu dalam keluarga yang
sama, yang pada mulanya dianggap sebagai nasib malang yang menimpa keluarga
tersebut.
Perlu
dinyatakan di sini bahawa pada masa ulasan ini ditulis, perbicaraan kes ini
masih berjalan di mahkamah sesyen Kerala. Tertuduh utama dalam kes tersebut
masih berstatus tertuduh dan belum disabitkan kesalahan oleh mana-mana
mahkamah. Justeru, segala penelitian dalam ulasan ini adalah berdasarkan
naratif yang dibentangkan dalam dokumentari Netflix tersebut, dan bukan satu
kesimpulan muktamad tentang kesalahan pihak berkenaan.
Menurut
dokumentari ini, jiran tetangga, sanak-saudara terdekat dan rakan-rakan tidak
mengesyaki bahawa rangkaian tragedi itu mungkin berkait antara satu sama lain.
Penyiasatan polis dan forensik yang dilaporkan dalam dokumentari mendapati
bahawa beberapa mangsa menunjukkan kesan keracunan sianida, walaupun laporan
forensik kemudiannya mendedahkan bahawa tidak semua jasad yang digali semula
mengandungi kesan racun tersebut. Tumpuan siasatan akhirnya tertumpu kepada
seorang wanita berumur 47 tahun yang digambarkan oleh dokumentari sebagai
tenang, beradab dan dihormati dalam keluarga serta masyarakat.
Dari
perspektif psikologi, dokumentari ini membuka ruang untuk penonton merenung
bagaimana seseorang individu, jika benar dakwaan yang dibuat, mampu membina
identiti sosial yang berbeza sama sekali daripada realiti diri yang sebenar.
Menurut keterangan jiran dan penyiasat yang ditampilkan dalam dokumentari,
tertuduh didakwa memperkenalkan diri sebagai seorang wanita berpendidikan tinggi
dan seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi yang ternama di
India. Dakwaan tersebut, jika benar, menunjukkan satu pembinaan imej yang
berpanjangan dan konsisten.
Fenomena
seperti ini, secara umumnya, boleh dikaitkan dengan keperluan psikologi untuk
mendapatkan pengiktirafan sosial. Di banyak masyarakat Asia Selatan, individu
sering dinilai berdasarkan status sosial dan pencapaian akademik. Dokumentari
mengisyaratkan bahawa tekanan sedemikian mungkin menjadi antara faktor yang
mendorong pembinaan imej tertentu bagi individu yang mahu dihormati dan
diterima oleh orang sekeliling, terutamanya oleh keluarga mentua.
Secara
halus, dokumentari ini mengajak penonton memikirkan persoalan tentang
manipulasi psikologi dalam konteks yang lebih luas. Dalam naratif yang
dibentangkan, pembinaan imej sebagai seorang wanita yang berpendidikan tinggi
dan berkarier digambarkan bukan sekadar sebagai penipuan kecil, tetapi sebagai
satu bentuk kehidupan kedua yang memerlukan usaha berterusan untuk mengekalkan
persepsi tertentu dalam kalangan orang ramai.
Satu
lagi dimensi psikologi yang menarik untuk direnung ialah konsep autoriti.
Sesetengah penganalisis jenayah berpendapat bahawa pelaku pembunuhan bersiri,
secara umumnya, sering dikuasai oleh keinginan untuk mengawal situasi dan orang
di sekeliling mereka. Autoriti ini boleh muncul dalam pelbagai bentuk, termasuk
penguasaan terhadap harta, status keluarga, atau hubungan sosial. Dokumentari
ini mengemukakan naratif bahawa setiap kematian dalam keluarga tersebut secara
tidak langsung mengubah struktur keluarga, walaupun tafsiran ini masih
tertakluk kepada keputusan mahkamah.
Selain
itu, dokumentari ini juga menunjukkan bagaimana norma sosial boleh menjadi
rintangan kepada proses pencarian kebenaran. Secara lazimnya, ahli keluarga
jarang mencurigai satu sama lain secara serius. Kepercayaan terhadap hubungan
darah daging sering dianggap sebagai sesuatu yang suci. Justeru, apabila
kematian berlaku dalam sesebuah keluarga, penjelasan yang paling mudah biasanya
diterima tanpa persoalan yang rumit. Faktor sosiologi inilah yang, menurut
dokumentari, menjelaskan mengapa kes tersebut mengambil masa yang lama sebelum
menjadi subjek siasatan rasmi.
Dari
sudut psikologi sosial, dokumentari ini membincangkan bagaimana masyarakat boleh
terpedaya secara halus dengan imej yang dibina secara konsisten. Apabila
seseorang menunjukkan tingkah laku yang kelihatan normal dalam jangka masa
panjang, masyarakat cenderung menerima identiti tersebut sebagai satu
kebenaran. Dokumentari ini juga mencerminkan bagaimana rakan, jiran,
saudara-mara dan bahkan ahli keluarga sendiri sukar menerima kemungkinan bahawa
seseorang yang mereka kenali mungkin menyimpan sisi gelap yang tidak pernah
mereka ketahui.
Menariknya,
dokumentari ini tidak terburu-buru memberikan kesimpulan psikologi yang mutlak.
Sebaliknya, ia menyajikan fakta, testimoni, dan hasil analisis penyiasat, lalu
memberi ruang kepada penonton untuk membuat tafsiran sendiri. Pendekatan ini
memberi kedalaman kepada dokumentari kerana ia mengekalkan elemen misteri
tentang motif sebenar yang didakwa.
Masyarakat
konvensional mudah memberi label seperti pesakit mental atau penjahat
semata-mata ke atas individu yang dikaitkan dengan kes pembunuhan bersiri.
Namun, realiti psikologi manusia adalah lebih kompleks daripada itu. Kita harus
ingat bahawa individu yang didakwa melakukan jenayah berat tidak semestinya
kelihatan ganas atau menakutkan. Ada kalanya, mereka hadir dalam penampilan
yang paling biasa, menjalani kehidupan seharian seperti orang lain, dan berkomunikasi
secara normal.
Curry
and Cyanide
membawa satu pengajaran yang penting kepada penonton. Manusia memiliki lapisan
keperibadian yang tidak selalu dapat dilihat dengan mata kasar. Di sebalik
wajah yang tenang dan manis, mungkin ada konflik atau rahsia dalaman, obsesi,
atau dorongan untuk mengawal kehidupan orang lain. Dokumentari ini bukan
sekadar sebuah naratif jenayah, tetapi juga satu refleksi tentang kepercayaan
manusia terhadap orang di sekeliling mereka.
Konklusinya,
selepas semua naratif dibentangkan dan kesemua testimoni didengarkan, satu
persoalan tetap bermain dalam minda. Jika benar seseorang mampu menyembunyikan
identiti dan niat yang sebenar selama bertahun-tahun tanpa disedari oleh ahli
keluarga dan rakan-rakan, sejauh manakah kita mengenali orang yang paling dekat
dengan kita? Persoalan ini, pada akhirnya, lebih bernilai direnung daripada
dijawab secara tergesa-gesa, terutamanya apabila proses undang-undang terhadap
pihak yang berkenaan masih belum selesai.
Mahu mengirim
karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Malini Lakshmi Bai dilahirkan di Kuala Lumpur
pada 31 Julai 1992. Minat beliau terhadap bahasa dan kesusasteraan bermula
sejak persekolahan dan pernah meraih johan serta naib johan dalam pertandingan
debat, syarahan, dan forum pelajar. Malini terlibat secara aktif dalam bidang
penulisan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sejak tahun 2021. Karya-karyanya boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Kini,
beliau berkhidmat sebagai editor pengurusan di My Aviation Magazine. Baca: Biodata penuh]

