Cerpen “Chitrakala” karya M. Mahendran di portal Sastera Kavyan (6 Februari 2026) mengangkat
sebuah konflik keluarga yang nampak sederhana tetapi sebenarnya sarat dengan
lapisan ilmu psikologi remaja dan realiti kegagalan komunikasi dalam institusi
kekeluargaan, khususnya kaum India.
Kisah ini
tidak sekadar memaparkan “kesalahan” seorang anak, tetapi lebih penting, ia membuka
ruang untuk kita (sebagai pembaca, masyarakat, dan ibu bapa) meneliti bagaimana
ibu bapa memahami—atau gagal memahami—dunia dalaman anak remaja yang sedang
menuju alam dewasa.
Dari sudut
psikologi remaja, watak Vicknesh berada pada fasa perkembangan identiti yang
sangat kritikal. Remaja lazimnya melalui proses penerokaan diri, termasuk dalam
aspek kreativiti, seksualiti, dan kebebasan peribadi. Fakta berkaitan boleh
dibaca dalam pelbagai buku psikologi dan perkembangan remaja.
Dalam
cerpen ini, aktiviti melukis yang dilakukan oleh Vicknesh bukan sekadar hobi;
ia merupakan medium ekspresi diri yang paling jujur dan spontan. Namun, apabila
lukisan-lukisan itu dianggap “tidak senonoh” oleh ibu bapanya, berlaku
pertembungan antara dunia dalaman remaja dengan norma moral yang dipegang oleh
golongan dewasa.
Reaksi
Parthiban yang bertukar daripada seorang bapa penyayang kepada susuk yang ganas
dalam sekelip mata memperlihatkan kegagalan kawalan emosi. Dari perspektif
psikologi, tindakan membelasah anak bukan sahaja tidak menyelesaikan konflik,
malah memburukkan lagi keadaan.
Vicknesh
tidak menangis kerana menyesal, tetapi kerana maruahnya tercalar dan
kepercayaannya terhadap ibu bapa musnah. Ini selari dengan teori psikologi bahawa
hukuman fizikal sering menghasilkan emosi seperti marah, dendam, dan
keterasingan—bukannya kesedaran atau keinsafan.
Lebih
menarik, menerusi cerpen ini, Mahendran selaku seorang penulis veteran berjaya
menonjolkan isu privasi remaja secara kemas dan berkesan. Vicknesh merasakan
biliknya sebagai ruang selamat untuk menjadi dirinya sendiri. Apabila ruang itu
“diceroboh” oleh ibunya, dan hasil karyanya dihukum tanpa ruang penjelasan,
maka runtuhlah sempadan kepercayaan antara anak dan ibu bapa.
Dalam
konteks ini, ibu bapa gagal memahami bahawa remaja memerlukan ruang untuk
bereksperimen dan membuat kesilapan sebagai sebahagian daripada proses
pembelajaran.
Watak
Valarmathi pula mewakili dilema emosi seorang ibu yang terperangkap antara
norma masyarakat dan naluri keibuan. Dia menangis, tetapi tangisannya tidak
membawa kepada tindakan yang konstruktif. Pelukisan ini menggambarkan bahawa
kasih sayang sahaja tidak mencukupi tanpa ilmu keibubapaan yang kukuh.
Di sinilah
pentingnya ilmu keibubapaan dalam kalangan ibu bapa dan mesej ini berjaya
diselitkan oleh Mahendran dengan amat bersahaja. Keibubapaan bukan sekadar
memenuhi keperluan material atau memberi kasih sayang secara umum. Ia menuntut juga
kefahaman mendalam tentang perkembangan psikologi anak, kemahiran komunikasi
berkesan, serta keupayaan mengurus emosi sendiri.
Dalam kes
ini, jika watak Parthiban dan Valarmathi memiliki pengetahuan tentang psikologi
remaja, mereka mungkin memilih pendekatan dialog, bukannya hukuman. Mereka
boleh bertanya, memahami konteks lukisan tersebut, dan membimbing anak dengan
cara yang lebih empatik.
Tambahan
pula, tindakan membakar semua hasil karya Vicknesh—termasuk yang dihasilkan
sejak kecil—merupakan simbol pemusnahan identiti. Bagi seorang remaja berbakat
seni, karya-karya itu adalah sebahagian daripada dirinya. Memusnahkannya
bermakna menafikan kewujudan dan potensi dirinya.
Dari sudut
psikologi kanak-kanak dan remaja, tindakan watak Parthiban dan Valarmathi
berisiko menyebabkan trauma jangka panjang serta memadamkan minat dan bakat
yang sepatutnya dipupuk.
Pada
penelitian saya, “Chitrakala” bukan sekadar cerita tentang seorang remaja yang
“tersilap langkah”, tetapi sebuah cerminan realiti masyarakat yang masih kurang
celik tentang psikologi remaja dan ilmu keibubapaan. Cerpen ini mengingatkan pembaca
bahawa dalam mendidik anak, reaksi spontan yang didorong emosi boleh membawa
akibat yang lebih parah daripada kesalahan itu sendiri.
Secara
tersirat, Mahendran cuba berpesan kepada para ibu bapa supaya beralih daripada
pendekatan autoritarian kepada pendekatan yang lebih berciri dialog (dua hala),
penuh empati (bukan sekadar simpati), dan berasaskan ilmu. Semua hal ini
penting kerana dalam dunia remaja, memahami lebih penting daripada menghukum.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera
Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK
Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum
mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau
terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya
boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]



Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.