Cerpen: Dapur Arang

“Akshay, apa kita perlu buat sekarang?”

Rupa Kiruba nampak sungguh gelisah. Kelihatan senduk masih berwap di tangan kiri dan telefon pintar di tangan kanan. Aroma bau kari ayam menerawang di ruang tamu dan menusuk hidungku.

“Apa?” tanyaku sambil mendekatinya.

“Gas habis. Saya dah call ke semua kedai yang saya tahu. Masing-masing kata dah habis. Macam mana sekarang? Dahlah ayam dalam kari masih belum empuk lagi.”

“Itulah, dulu saya nak beli tong gas untuk standby, awak kata tak perlu. Menyemakkan tempatlah, itulah, inilah.”

Hari Ahad pun aku tidak dapat tidur dengan nyenyak. Ada sahaja perkara yang dibebelkan. Semasa bercinta semua nampak indah; selepas berkahwin semua  berubah. Baru enam bulan sahaja pun.

“Akshay, tolonglah beli dapur mudah alih yang guna gas butana, tu.”

“Kalau tak dapat?”

“Mesti ada. Kalau takda, beli saja dapur elektrik. Beli yang murah-murah saja, sudah.”

“Kalau itu pun takda?”

Aku memang begini, suka andaikan segala kemungkinan. Sudahlah petrol sudah dihadkan penjualannya sejak tercetusnya perang besar antara Amerika Syarikat bersama Israel dengan Iran. Hendak ke mana-mana pun susah sekarang. Hampir tiga bulan kami tidak melawat ibu bapa Kiruba di Segamat. Aku takpalah, tempat asalku memang di sini.

  “Apa yang awak tercegat di situ? Cepatlah pergi cari. Kalau tidak, nanti kita kena makan kari ayam liat saja hari ini.”

Wajah Kiruba nampak penat dan geram. Biarkan dia. Aku akan usahakan. Harap dapat beli dapur mudah alih ataupun dapur elektrik. Perdana Menteri menjanjikan petrol dan gas akan mencukupi hingga hujung tahun. Ini baru tiga bulan, semua sudah habis di pasaran.

Aku turun dari tingkat lima menggunakan lif. Kebiasaannya aku suka menggunakan tangga sahaja sebab takut lif rosak. Sudah terjadi empat kali sejak kami berpindah ke sini. Hari ini aku terpaksa menggunakan kerana keadaan memaksa.

Petrol dalam kereta Axia masih mencukupi. Jika tidak, aku perlu berbaris panjang untuk mengisi minyak. Harap krisis ini akan berakhir secepat mungkin. Sekarang kita menghadapi masalah tong gas pula. Kasihanlah mereka yang berniaga. Harga makanan pun sudahlah melambung tinggi. Jadi, memasak di rumah adalah paling menjimatkan.

Aku turun naik beberapa kedai. Dapur gas mudah alih serta dapur elektrik telah habis. Aku call Kiruba menerangkan keadaan. Dia sudah marah. Dia menyalahkan aku kerana tidak membeli dapur elektrik awal-awal lagi. Sekarang dia juga yang susah, katanya. Menyalahkan orang memanglah senang.

Dia tidak tahu betapa susahnya aku berpeluh-peluh mencari di kebanyakan kedai di bandar Klang ini. Para pekedai kata, sejak dua minggu lalu permintaan untuk dapur mudah alih dan dapur elektrik amat tinggi. Stok baharu akan mengambil masa beberapa minggu lagi. Ada juga yang suruh aku mencari di Shopee.

Fikir punya fikir, aku mendapat satu idea. Mengapa tidak beli dapur arang sahaja. Walaupun aku tidak tahu cara penggunaannya; boleh dipelajari melalui YouTube.

Aku tidak mahu beritahu tentang dapur arang kepada Kiruba. Biar dia teruja melihatnya nanti. Begitulah harapanku. Mungkin juga boleh berlaku sebaliknya. Tuhan yang tahu.

Nasib baik kedai runcit Ah Kau yang terletak jauh terpencil ini masih dibuka. Kedai ini masih beroperasi secara lama. Aku pernah ke sini semasa kecil bersama bapa. Bapa selalu membelikan aku biskut ais krim. Biskut kecil berkrim keras berwarna-warni. Sungguh enak dimakan. Kaum Cina menggunakan biskut ini untuk upacara sembahyang.

Ah Kau adalah tauke lama. Selepas itu anaknya mengambil alih. Ketika saya masih kecil, umur anak uncle Ah Kau itu sudah pun dalam 40-an. Sekarang pasti sudah sangat tua. Memang lama aku tidak ke kedai ini.

Kelihatan seorang tua dalam lingkungan 70-an bersinglet putih dan berseluar pendek biru, bercermin mata sedang membaca akhbar Cina di kaunter. Melihat aku masuk, dia meletakkan akhbar di atas meja dan menurunkan cermin mata.

 Aku teringin untuk bersembang tentang kisah-kisah lampau dengan uncle ini.  Terbayangkan wajah Kiruba, niatku lesap begitu sahaja.

“Ah, thambi mahu apa?”

Uncle, ada jual dapur arang dan arang, tak?”

“Sekarang semua orang sudah pandai cari ini dapur … aah. Dulu mana ada orang mahu pakai? Sekarang gas tak cukup, semua mari cari ini dapur.”

“Jadi, dapur arang pun sudah habiskah, uncle?

“Nasib baik ada dua lagi. Kalau kamu datang lambat sikit, mesti sudah habis.”

“Ok uncle, bagi satu dapur dan bagi sikit arang.”

“Arang sikit cukup, meh? Itu tong gas tak tahu bila ada …ooh!”

“Oklah unlce, bagi tiga beglah.”

“Lu pandai pasang apikah dalam dapur arang ini?” tanya uncle itu dengan was-was.

“Tak tahu, boleh tengok YouTube, uncle. Senang saja.”

“Kalau itu macam, baik … loh.”

Mungkin uncle ini akan buat demonstrasi cara-cara memulakan dapur arang jika dipinta.

Berat juga dapur arang berwarna merah ini. Aku meletakkan dengan baik-baik ke dalam bonet. Cukup-cukup muat. Tak sabar aku mahu tunjukkannya kepada Kiruba.

Aku membawa dapur arang dan beg-beg berisi arang masuk ke dalam lif. Harap lif beroperasi dengan baik. Nasib baik.

Pintu rumah dikuak. Kiruba masih memegang senduk, duduk dengan muka masam menghadap televisyen.

“Apa ini, Akshay?”

“Dapur arang.”

“Awak mahu saya masak kari ayam menggunakan dapur arang?”

“Dapur mudah alih  habis, dapur elektrik pun habis. Jadi …”

“Saya tak mahu dapur arang ini. Nanti banyak asap, mata pun akan berair. Awak mahu rumah ini penuh dengan asap. Nanti hitam rumah kita.”

Tanpa mempedulikan bebelan Kiruba, aku meletakkan dapur arang itu di suatu sudut di ruang dapur. Aku mengeluarkan telefon bimbit lalu menuju ke ruang tamu. Setelah duduk di sofa, aku melayari YouTube mencari video cara memulakan dapur arang.

Dapat.

Setelah memahami cara-cara memulakan dapur arang; dengan rasa yakin aku mengambil beberapa helaian surat khabar lama. Aku mencarik-carikkannya lalu memasukkan ke dalam bahagian paling bawah dapur arang.

Kemudian aku mencari papan lama. Nasib baik terjumpa; aku memotong kecil-kecil dengan parang dan memasukkannya bersama carikan surat khabar. Di atas itu aku susun baik-baik beberapa ketul arang dalam bentuk kon. Aku menyalakan api menggunakan pemetik api jenis panjang di bahagian carikan kertas. Jika ada minyak tanah lagi bagus. Harap ia akan menyala seperti yang dilihat di YouTube tadi.

Dalam beberapa minit kemudian api mula menyambar ketulan arang. Aku mengipas-ngipas menggunakan penutup periuk, sambil itu aku juga menguis-nguis sikit ketulan arang menggunakan penyepit makanan.

Kelihatan arang sedang memerah dan ada lapisan abu putih tipis. Sekarang dapur arang ini boleh digunakan untuk memasak.

“Kiruba, mari sini.”

Kiruba berjalan terkedek-kedek ke arah aku. Mungkin kebas kaki agaknya.

“Lihat, mana ada asap sangat? Jangan takut. Inilah dapur yang digunakan oleh nenek moyang kita. Dengan makan masakan yang dimasak di atas dapur jenis inilah keturunan kita bertenaga untuk menghasilkan generasi seterusnya. Bawa  periuk kari ayam itu ke sini,” kataku sambil mengenyit mata.

Tanpa berkata apa-apa, Kiruba mengambil periuk kari ayam yang dimasaknya tadi lalu diletakkan di atas dapur arang. Dalam beberapa minit sahaja kari ayam menggelegak dan mengeluarkan bau yang sungguh wangi.

Kiruba memeluk lalu mencium pipi aku.

Vallavanukku Pullum Aayutham,” kataku lalu membalas ciumannya.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].


[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera KavyanEksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]