Umawathy Membimbing Ibu Menyusu

Dr Umawathy a/p Techanamurthy berasal dari Kajang, Selangor. Beliau bertugas sebagai Penolong Pengarah Kanan di Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Putrajaya. Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Komuniti (2009 - 2018). Beliau berjaya meraih ijazah doktor falsafah dalam bidang Teknologi Pengajaran (Instructional Technology) dari Universiti Malaya pada tahun 2018. Anuradha Chelliah memawancara Umawathy untuk membantu orang ramai mengetahui secara lebih mendalam kerjaya beliau.

Bagaimana anda boleh terlibat dengan program penyusuan susu ibu dan sejak bila anda terlibat?

Saya mula terlibat dalam program penyusuan susu ibu sejak tahun 2012 iaitu selepas kelahiran anak perempuan saya. Sebelum bersalin, saya pernah mengikuti kelas antenatal sebagai persediaan. Sewaktu kelas tersebut, saya mendapat sedikit pendedahan mengenai penyusuan ibu.

Adakah anda terlibat dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang mempromosikan penyusuan susu ibu kepada bayi?

Saya merupakan seorang “Pembimbing Ibu Menyusu” atau Breastfeeding Peer Counselor (Bf PC atau lebih dikenali sebagai PC di Malaysia) dan menerima latihan dari Malaysian Breastfeeding Peer Counselor Association (MBfPCA), sebuah badan bukan kerajaan (independent non-profit NGO) sejak tahun 2019.

Ceritakan pengalaman anda sebagai seorang ibu yang memberi susu ibu kepada anak anda.

Sejurus selepas proses kelahiran, ibu dan bayi patut bersama untuk membenarkan proses penyusuan bermula dengan sentuhan kulit (skin-to-skin). Namun, berikutan sedikit komplikasi sewaktu bersalin, anak saya terpaksa dipisahkan daripada saya sejurus selepas bersalin untuk ditempatkan di Neonatal Intensive Care Unit (NICU).

Perkara ini menyukarkan proses penyusuan skin-to-skin dan saya tidak dapat ditempatkan dalam bilik yang sama bersama bayi. Namun, dengan sokongan doktor dan kauselor laktasi (LC) di NICU hospital tersebut, saya dibimbing untuk memerah keluar kolostrum yang kaya dengan antibodi dengan kaedah memerah susu dengan tangan (marmet) dan diajar bagaimana menyusukan bayi menggunakan sudu dan cawan. Saya gembira kerana hospital tersebut merupakan Hospital Rakan Bayi yang mempunyai polisi dan kakitangan yang bersungguh-sungguh membantu dalam penyusuan susu ibu.

Meskipun penyusuan susu ibu diteruskan di rumah, saya dapati anak saya lebih suka minum susu dari satu belah sahaja. Ini mengakibatkan saya mendapat masalah bengkak susu (mastitis) pada minggu ketiga kelahiran anak. Saya enggan berputus asa lalu berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada salah seorang pakar laktasi di Susuibu.com (Bangi) iaitu Puan Nor Kamariah Mohd Alwi, IBCLC.

Ketika perjumpaan kami, beliau membetulkan posisi saya memegang bayi dan pada akhir sesi tersebut anak saya berjaya minum dari kedua-dua belah tanpa masalah. Oleh itu, saya selalu mementingkan teknik lekapan dan posisi menyusu yang betul sewaktu ceramah saya. Bermula hari itu, saya menanam hasrat menjadi seorang pembimbing ibu menyusu untuk membantu ibu-ibu yang lain pada suatu hari nanti.

Cabaran utama yang dihadapi ialah menjayakan penyusuan sebagai wanita berkerjaya. Namun, berbekalkan sikap disiplin, komitmen yang tinggi, ilmu, peralatan menyusu yang sesuai dan sokongan daripada keluarga, saya berjaya mengatasi cabaran tersebut.

Saya juga bersyukur kerana ibu bapa saya banyak memberikan sokongan moral kepada saya untuk menyusu anak saya selama yang mungkin. Ini kerana mereka bukan sahaja dapat melihat kesihatan cucu mereka berada pada tahap yang optimum, tetapi penyusuan merupakan perkara semula jadi dan selesa. Bagi seorang ibu yang berkerjaya, masa yang diluangkan untuk menyusu anak juga menjadi bonding time yang mampu mengeratkan hubungan ibu dan anak.

Adakah anda kerap memberi ceramah mengenai kebaikan susu ibu? Bagaimana respon yang anda terima daripada para ibu?

Saya kerap memberikan ceramah mengenai kebaikan susu ibu. Saya selalu dijemput oleh rakan-rakan yang giat dalam mengendalikan kelas yoga terutamanya untuk ibu-ibu yang mengandung (prenatal yoga) untuk mengadakan ceramah. Tujuan ceramah adalah untuk memberikan kesedaran tentang kepentingan susu ibu, kaedah penyusuan yang betul dan kaedah meneruskan penyusuan sehingga anak berumur dua tahun. Para ibu selalunya sangat teruja semasa sesi saya kerana saya banyak memberikan contoh yang sebenar berdasarkan pengalaman saya membuat ‘kunjung ke rumah’ untuk ibu-ibu yang baharu bersalin.


Lazimnya, saya membimbing ibu-ibu ini untuk mendapatkan pelekapan (latching) yang betul, posisi menyusu yang betul dan meningkatkan keyakinan diri mereka untuk menyusu. Sewaktu sesi ceramah, saya turut memberikan tips mengikut pengalaman saya menyusukan anak saya untuk 39 bulan sebagai wanita yang berkerjaya dan memberikan gambaran realistik masalah-masalah yang mungkin dihadapi.

Saya turut menggunakan bahan bantu mengajar yang sesuai dan video yang dihasilkan oleh pihak Global Health Media yang terdapat dalam pelbagai bahasa.

Sesi ceramah juga bersifat interaktif kerana saya banyak memberikan peluang kepada peserta untuk bertanya tanpa berasa segan. Saya turut mengalu-alukan kehadiran ayah untuk bersama ibu sewaktu sesi ceramah. Ini kerana saya percaya penyusuan ibu akan lebih berjaya sekiranya mereka mendapat pasangan atau keluarga yang memberi sokongan terhadap penyusuan.

Selain itu, saya juga turut berkongsi hasil dapatan kajian saintifik terkini yang telah membuktikan bahawa susu ibu bukan sahaja sumber nutrisi untuk bayi, tetapi juga mempunyai kesan positif terhadap amalan pemikiran (cognition), perlakuan (behaviour), dan kesihatan mental ibu dan anak.

Saya turut mengingatkan peserta tentang kepentingan persekitaran yang tenang dan kurang stres terutamanya pada waktu awal kehadiran cahaya mata.

Pada pendapat anda, adakah ibu-ibu sekarang bersedia untuk menyusukan susu badan kepada anak mereka? Apakah cabaran yang mereka hadapi?

Pada pendapat saya, kesedaran mengenai kebaikan susu ibu sudah meningkat berbanding 10-20 tahun yang lepas. Dahulu, kebanyakan wanita disogokkan dengan strategi pemasaran yang hebat bahawa susu formula merupakan pilihan yang lebih baik. Kini, kaum ibu sudah mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan ilmu mengenai penyusuan daripada buku, majalah dan inisiatif kumpulan sokongan penyusuan susu ibu dan pertubuhan bukan kerajaan melalui media sosial.

Selain itu, kini terdapat pelbagai jenis peralatan menyusu dengan harga yang berpatutan. Kerajaan juga telah memperkenalkan pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi pembelian peralatan penyusuan susu ibu kepada pembayar cukai wanita sebagai sokongan kepada wanita berkerjaya yang masih menyusukan anak dan galakan kepada mereka untuk kembali bekerja serta meneruskan penyusuan bayi.

Antara cabaran utama yang dihadapi oleh ibu yang baharu bersalin adalah kesukaran mendapatkan lekapan (latching on) yang betul, menyusu bayi yang menghadapi masalah tongue-tied, sakit ketika menyusu, sore nipples, dan mastitis.  


Satu lagi cabaran yang dihadapi adalah ibu berkerjaya yang risau akan keupayaan mereka untuk menyusu setelah kembali bekerja. Sebenarnya, mereka perlu berbincang dengan majikan untuk kebenaran meluangkan masa untuk memerah susu dengan peralatan penyusuan yang sesuai di tempat yang sesuai. Ini kerana penyusuan mengikut prinsip supply vs demand yang memerlukan ibu kerap memerah susu untuk mengekalkan supply susu.

Ada juga golongan ibu yang mahu kembali ke susuk badan sebelum mengandung dalam tempoh yang singkat dan sanggup berlapar untuk kurus. Perlu diingat ibu yang menyusu memerlukan nutrisi yang sihat dan seimbang untuk meneruskan penyusuan dan penjagaan kesihatan diri juga penting.

Bagaimanakah trend penyusuan susu ibu jika dibandingkan sejak 10 tahun lepas dan sekarang?

National Plan of Action for Nutrition of Malaysia III telah mensasarkan sekurang-kurangnya 70% ibu akan menyusu bayi mereka secara eksklusif untuk enam bulan yang pertama menjelang tahun 2025. Namun, menurut kajian yang dilakukan oleh Farahana Mohamad Pilus, Norliza Ahmad, Nor Afiah Mohd Zulkefli (2019), mengikut terdapat trend peningkatan penyusuan ekslusif untuk enam bulan pertama dari tahun ke tahun, iaitu meningkat daripada 19.3% pada tahun 2006 kepada 47.1% pada tahun 2016, amalan penyusuan di Malaysia lebih tinggi di kawasan bandar (48.3%) berbanding di kawasan luar bandar (45.1%).

Kajian juga mendapati ibu-ibu yang telah menerima pendidikan pada peringkat tertier adalah lebih cenderung untuk mengamalkan penyusuan eksklusif berbanding ibu-ibu yang tidak melanjutkan pengajian mereka di peringkat tertier. Dapatan ini sama seperti hasil kajian yang dilakukan di Nigeria, Ethiopia dan Belgium. Lihat juga kajian Adibah Hussin, Maisarah Ishak, Normilia Wahid (2018) dan laporan Channel News Asia (2019) berhubung topik ini.

Bagaimanakah penerimaan masyarakat pelbagai kaum di negara kita terhadap penyusuaan susu ibu?

Menurut kajian-kajian yang dilakukan di Malaysia, kaum Melayu empat kali lebih cenderung untuk menyusukan anak mereka secara eksklusif berbanding dengan ibu-ibu kaum Cina dan India.  Ini mungkin kerana terdapat perbezaan amalan tradisi, kepercayaan dan nilai-nilai yang diturunkan dari generasi ke generasi.

Berikutan ini, lebih banyak kempen kesedaran mengenai penyusuan eksklusif perlu dilaksanakan dalam lain-lain bahasa untuk mempromosikan amalan penyusuan secara eksklusif, terutama kepada mereka yang tidak berpendidikan tinggi.

____________________

Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, beliau berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.