Sejak bayi lagi saya sudah bergambar. Walaupun tidak banyak, gambar-gambar lama yang ada itu sudah cukup untuk mengimbau atau mengimbas kembali kenangan dan pengalaman lampau. Bukan semua kejadian lampau boleh diingati tetapi ia tetap menjadi nostalgia.
Kebanyakan orang dahulu akan mengambil gambar
persendirian atau gambar bersama keluarga di studio gambar yang berhampiran. Foto
pertama saya semasa bayi digambarkan di studio gambar di bandar Bentong, Pahang,
tidak jauh dari rumah kami. Beberapa kali semasa kanak-kanak, saya pernah dibawa
ke studio tersebut. Gambar untuk kad pengenalan juga diambil di situ. Kedai
gambar tersebut masih beroperasi sehingga kini dengan peralatan moden. Tauke
lama pun masih ada dan meneruskan perniagaan bersama anak-anaknya.
Mama saya (adik lelaki kepada
ibu) juga memiliki sebuah kamera yang sungguh canggih ketika itu (awal 1970-an).
Jika ada kelapangan, pasti Mama akan datang ke Bentong dan mengambil foto
kami. Ketika kunjungan ke rumah nenek di Labis Estate, Johor, saya gembira
kerana boleh memberi pose untuk gambar.
Saya tidak tahu jenis kamera apa yang dimiliki oleh Mama. Apa yang saya
masih ingat, skrin di viewfinder
adalah agak luas dan berwarna. Pak cik saya (Noah Sambanthan) akan tunduk memandang
viewfinder dan akan membetulkan fokus bagi mendapatkan gambar yang
bagus.
Gambar-gambar yang diambil itu, kami hanya
dapat lihat beberapa bulan selepas itu. Kesemua gambar adalah dalam hitam putih.
Setelah saya ke sekolah, gambar kami diambil
untuk majalah sekolah setiap tahun. Seorang jurugambar dari studio berhampiran
akan datang ke sekolah pada bulan Julai atau Ogos untuk mengambil gambar
murid-murid, guru-guru, dan gambar setiap persatuan yang terdapat di sekolah
kami. Ini mengambil masa beberapa hari. Saya suka melihat jurugambar tersebut
membuat kerjanya dengan penuh dedikasi.
Di pejabat bapa ada sebuah kamera (hitam
putih). Bapa akan membawanya ke rumah apabila amat perlu sahaja dan mengambil foto
kami sekeluarga. Pada awal tahun 80-an, kamera berwarna mula mengganti tempat
kamera hitam puith. Bapa sentiasa memberi peluang untuk saya menggunakan kamera
tersebut. Gambar tidak boleh diambil secara suka-suka sebab cuma 24 atau 36
keping gambar sahaja boleh diproses dalam satu gulung filem.
Saya mula memiliki kamera sendiri setelah bekerja.
Kamera pertama berjenama Kodak, dibeli
pada tahun 1990. Bukan saya tetapi bapa yang membelikannya.
Gambar-gambar yang diambil menggunakan kamera
itu sungguh cantik. Saya lebih gemar guna filem jenama Konica. Berlainan kualitinya dengan filem Fuji.
Keadaan kewangan saya tidak mengizinkan untuk
ambil gambar dengan banyak, sebab perlukan gulungan filem yang banyak dan perlukan
wang lagi untuk memprosesnya. Jadi saya menggunakan kamera Kodak tersebut apabila perlu sahaja.
Setiap kali syarikat tempat saya bekerja mengadakan
rombongan ke mana-mana, saya akan bawa kamera Kodak bersama. Saya lebih berminat ambil gambar rakan-rakan secara
berkumpulan. Ini akan memudahkan saya untuk menjual gambar setelah diproses.
Gambar-gambar yang diproses dalam bentuk gambar ukuran 4R akan dimasukkan ke dalam album berserta nombor siri negatif dan akan diedarkan kepada rakan-rakan. Mereka akan mencatatkan nama, nombor siri dan jumlah keping gambar yang dikehendaki. Ini akan memudahkan saya untuk mengutip wang dan mengagihkan gambar setelah diproses kembali di kedai gambar. Mereka yang tempah lebih akan dapat album kecil yang diberi oleh kedai gambar.
Dari tahun 1990 hingga 2008, saya telah membeli
sebanyak tiga buah kamera termasuk Nikon DSLR jenis murah. Saya cuma sedih
kerana tidak ada masa dan wang untuk menggunakan sepenuhnya kamera-kamera
tersebut.
Bukan sahaja gambar pegun, saya juga amat
meminati kamera video. Kamera video jenama Canon
saya miliki pada tahun 1998 dengan harga RM1,200. Handycam yang beroperasi dengan pita video ini banyak membantu
saya. Saya belajar sendiri cara-cara merakam, menyunting, dan membuat mixing.
Setiap kali rakaman dibuat, pasti saya akan dapat idea baharu.
Saya membuat banyak klip lagu yang dilakonkan
oleh rakan sekerja yang tinggal seasrama. Mereka gembira melihat hasil rakaman
setelah diedit. Selain itu, saya juga merakam video majlis perkahwinan dan persandingan
kenalan apabila ada kelapangan. Semua rakaman dibuat secara manual ke pita
video VHS.
Pada tahun 2008, saya beli pula handycam jenama Sony yang masih beroperasi menggunakan pita. Hanya proses pos
produksi dilakukan dalam komputer dan dirakamkan ke dalam DVD.
Apa yang menyedihkan, video-video rakaman di
dalam VHS tidak dapat ditonton lagi
disebabkan ada yang sudah berkulat dan saya sendiri tidak mempunyai pemain
video lagi. Yang ada pun sudah rosak.
Kini semua rakaman, lazimnya dilakukan dalam
kamera video HDR tanpa pita dan video
yang diproses disalurkan ke dalam pendrive. Saya tidak lagi berminat
dalam bidang ini seperti dahulu. Usia pun sudah meningkat. Semua hanya tinggal sebagai
memori.
Kini saya masih mengambil gambar menggunakan
telefon pintar, namun kepuasan dahulu tidak terasa.
____________________