Peristiwa pembunuhan ngeri ini berlaku di Kamunting, Perak pada Julai 1925. Pada mulanya, sejumlah enam orang ditahan untuk membantu siasatan. Sepanjang perbicaraan kes di mahkamah, lebih daripada tiga puluh orang dipanggil memberi keterangan sebagai saksi.
Tidak mustahil penduduk di sekitar Kamunting dan Taiping sudah tidak ingat akan peristiwa ini. Mujurlah bahan arkib menjadi sumber rujukan untuk membantu saya mendokumentasi kisah itu di sini.
Selepas dibicarakan, lima individu dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh Veer Singh. Sambil membaca penceritaan semula kes itu di sini, cubalah anda teka siapakah lima individu terbabit. Malah, pada pengamatan anda, benarkah mereka yang melakukan pembunuhan itu?
Mayat seorang lelaki Punjabi beragama Sikh ditemui di atas jalan raya pada awal pagi Jumaat, 17 Julai 1925. Kaki dan tangan mangsa diikat manakala seutas tali diikat pada leher.
Menurut laporan akhbar beberapa hari kemudian, keadaan mayat menunjukkan mangsa diseret kereta sejauh beberapa batu (kilometer) di atas jalan raya. Kebanyakan daging dari bahagian muka, badan, dan kaki sudah terlerai akibat diseret pada permukaan yang kasar.
Mayat mangsa berumur sekitar 40 tahun itu ditemui oleh penolong pengurus Ladang Windsor, Arthur James Grant Hose. Sebaik menerima maklumat, pegawai dari Balai Polis Taiping dihantar ke lokasi kejadian di Batu 8, Jalan Batu Kurau. Akhbar pada 22 Julai 1925 melaporkan penahanan empat suspek dan polis sedang mengumpulkan bukti berkaitan jenayah pembunuhan itu.
Pada 1 Ogos 1925 (Sabtu), lima suspek dibawa ke Mahkamah Polis, Taiping bagi proses siasatan awal (preliminary inquiry). Kes dikemukakan oleh Ketua Polis Daerah Taiping, Cif Inspektor D. J. Marquess. Polis berjaya mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu untuk membolehkan siasatan lebih terperinci dilakukan berkaitan kes pembunuhan Veer Singh, seorang pengawal (jaga) di sebuah lombong bijih timah.
Nama kelima-lima suspek juga disiarkan bersama-sama berita itu di akhbar pada 4 Ogos 1925. Nama mereka ialah Kishan Singh @ Kishoo, Tara Singh, Surat Singh, serta dua individu dengan nama yang sama iaitu Bengala Singh. Walau bagaimanapun, perlu saya ingatkan bahawa ejaan nama suspek dan saksi kes ini akan berubah-ubah dalam laporan di akhbar sepanjang perbicaraan berlangsung di mahkamah.
Nikmati VIDEO/AUDIO bacaan (YouTube) - [di sini]
Kisah penuh dalam Kumpulan Cerpen [di sini].
[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak
tahun 1991. Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan, program galakan membaca,
projek komuniti, dan acara sastera di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku
terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). Sila klik di sini untuk membaca tulisan Uthaya di portal Sastera Kavyan.]


