Kisah Seekor Kambing di Negara Antah Berantah (Bahagian 1)


KISAH INI TIDAK BERSANGKUT PAUT DENGAN MANA-MANA KAMBING DAN HAIWAN LAIN YANG MASIH HIDUP ATAUPUN YANG SUDAH DIKORBANKAN.

KONSUMPSI RUMPUT DAN DAGING BERLEBIHAN AKAN MEMUDARATKAN KESIHATAN.

Ada seekor kambing bulunya berwarna perang, bertanduk tajam melengkung ke bawah dan berjanggut putih, tinggal di suatu kawasan bukit di negara Antah Berantah.

Walaupun rupa kambing jantan ini hampir menyerupai kambing-kambing lain di bukit itu, sikapnya sungguh berbeza. Cara berfikirnya tidak sama seperti mereka yang cuma tahu meragut rumput napier, rumput guinea dan rumput signal.

 Penampilannya juga tidak menyamai kambing-kambing lain yang makan daun petai belalang, daun nangka, daun ubi kayu, daun turi dan mahang.

 Dia juga bukan seperti kaum kerabatnya yang hanya tahu makan dedak padi, jagung kisar, soya, kacang tanah dan kelapa sawit.

Kambing ini adalah lain daripada yang lain, sebab pemikirannya juga lain. Dia digelar sebagai K. K mungkin bermaksud Kambing ataupun King.

K sudah amat bosan tinggal di kawasan bukit dan lama berfikir untuk berhijrah ke dalam hutan. Di situ terdapat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan liar untuk dirasai. Sebenarnya tidak banyak beza dengan apa yang terdapat di kawasan bukit. Biasalah, rumput di seberang akan kelihatan lebih hijau.

Sambil makan apa yang terdapat di dalam hutan itu nanti, K ingin melakukan sesuatu. Itulah tujuan utamanya. Dia sudah pun memberitahu hajatnya kepada seekor  monyet dari hutan beberapa hari yang lepas, ketika mereka sama-sama minum air di sungai. Monyet itu pun setuju.

K ingin melakukan sesuatu untuk kepuasan dirinya dan kambing-kambing di bukit. K hendak tunjukkan kepada kambing-kambing dan seluruh kehidupan di Antah Berantah yang dia memiliki kuasa besar.

Jadi, pada suatu pagi yang indah, kambing yang bernama K itu pun turun dari bukit dan mengucapkan selamat tinggal kepada kambing-kambing lain.

Dia berazam kuat akan dapat tinggal terus di hutan belantara yang kaya dengan pelbagai jenis makanan semula jadi, baik untuk dirinya mahupun untuk suku-sakatnya nanti.

Walaupun K kelihatan berani, dia masih takut untuk mengahadapi haiwan-haiwan buas di hutan. Pernah juga beberapa kali harimau dan singa datang membaham kambing-kambing di atas bukit.

Pada kali seterusnya K dan saudara-maranya berwaspada. Dengan tanduk keras dan tajam yang dimiliki, mereka dapat menanduk harimau dan singa hingga terpelanting jatuh jauh ke bawah bukit. Dapat jugalah mereka mempertahankan diri dengan tanduk tajam yang dikurniakan itu.

Jadi, harimau dan singa di hutan senantiasa berhati-hati ketika berdepan dengan K. K sungguh angkuh dan bangga dengan kehebatan yang dimilikinya turun-temurun daripada datuk, nenek dan moyangnya.

Setelah meragut daun-daun dari pokok nangka, K menuju ke sungai di bawah kaki bukit. Dia minum sebanyak mungkin. Kemudian, dengan melompat-lompat dapat juga dia ke seberang. Nasib baik air sungai agak cetek pada musim kemarau.

Perjalanan menuju ke hutan memang jauh. Setelah menelesuri pelbagai onak, duri dan akar-akar pokok, maka K tiba di hutan yang terbentang luas dilimpahi khazanah di negara Antah Berantah.

K menggoyang-goyangkan kepalanya semasa menjejakkan kaki ke dalam hutan, bagaikan ahli tinju menaiki gelanggang.

Melihat kedatangan K, kumpulan monyet menyambutnya dengan gembira. Unggas-unggas berterbangan dan berkicauan dengan sungguh riang. Kicauan mereka sungguh gemersik memecahkan kesunyian pagi.

Begitu juga dengan haiwan-haiwan lain seperti kera dan lotong melompat dari satu pokok ke satu pokok yang lain dengan penuh semangat. Mereka juga memekik-mekik menyahut, menyambut kunjungan K ke tempat tinggal mereka.

Kumpulan gajah juga gembira hingga mengeluarkan bunyi trompet dengan nyaring. Mereka mempersilakan K dengan penuh hormat. K sungguh gembira dengan gelagat mereka. Dengan adanya gajah akan memudahkan kerjanya nanti. Dia tidak perlu gentar menghadapi haiwan buas. (Bersambung pada 7 Oktober 2025)

[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan,  Eksentrika, mahendran28.blogspot, Cukaria serta di majalah Thendral dan Vanampadi.]