Sasterawan Kavyan dan Dewan Siswa


Semasa membuat kajian mengenai sumbangan penulis kaum India kepada perkembangan Sastera Kebangsaan, saya menemukan karya 54 orang penulis yang tersiar di akhbar, majalah, buku, dan media dalam talian (online).

Sejumlah 54 orang Sasterawan Kavyan ini merupakan individu yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia seperti puisi, cerpen, esei, dan novel antara tahun 1985 dan 2019, iaitu dalam tempoh 35 tahun.

Tahun 1985 juga merupakan tahun pertama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan program Minggu Remaja (kemudian dikenali sebagai Minggu Penulis Remaja mulai 1991). Tujuan penganjuran Minggu Remaja adalah untuk “melatih secara sistematis sekumpulan penulis remaja yang berpotensi dalam bidang penulisan” (Dewan Siswa, April 1988).


Untuk layak menjadi peserta Minggu Remaja pada tahun 1980-an dan 1990-an, individu terbabit mestilah berumur tidak lebih daripada 20 tahun, serta ada karya tersiar sama ada di akhbar atau majalah tanah air, ataupun di majalah sekolah.

Biasanya, selepas menjadi “anak angkat” DBP selama seminggu dan didedahkan kepada teknik penulisan puisi, cerpen, dan novel menerusi bengkel, diskusi, dan seminar di bawah bimbingan beberapa penulis tersohor tanah air, mantan peserta (dijangka) semakin prolifik berkarya dan mengirim manuskrip ke majalah Dewan Siswa.

Akan tetapi, penelitian secara terperinci terhadap karya kreatif (puisi dan cerpen) dalam majalah Dewan Siswa dari Januari 1979 (keluaran pertama) hingga Disember 2019 menunjukkan perkembangan yang kurang membanggakan berkaitan penglibatan penulis kaum India, khususnya remaja yang terpilih menyertai Minggu Remaja ataupun Minggu Penulis Remaja.

Minggu Remaja

Lettah terpilih menyertai Minggu Remaja pada tahun 1986 semasa belajar di Tingkatan Lima. Cerpen berjudul “Antara Dua Pilihan” adalah karya sulungnya dan termuat dalam antologi Impian Murni (1986). Cerpen itulah yang melayakkannya dipilih menyertai Minggu Remaja.


Berdasarkan foto di Dewan Siswa (September 1987), seorang lagi pelajar/remaja wanita kaum India menyertai Minggu Remaja pada tahun 1987. Malangnya, nama individu berkenaan tiada dalam simpanan (rekod) DBP semasa saya membuat kajian pada tahun 2019 dan 2020.

Gunasegaran Sangani menjadi peserta Minggu Remaja pada tahun 1988 dan fotonya disiarkan dalam majalah Dewan Siswa (September 1988). Foto ketiga-tiga peserta kaum India — Lettah, Gunasegaran, dan seorang lagi — bersama-sama peserta Minggu Remaja 1986, 1987, 1988, dan 1989 disiarkan di Dewan Siswa (September 1989).

Anehnya, karya peserta kaum India berkenaan tidak ditemui dalam antologi peserta Minggu Remaja, iaitu Pencarian Semusim (1988), Nilai Sebuah Kasih (1988), Permata Nilam Biru (1989), dan Salji Masih Berguguran (1989). Malah, karya mereka juga tidak ditemui dalam majalah Dewan Siswa. Amat menyedihkan kerana program Minggu Remaja oleh DBP gagal melahirkan penulis baharu kaum India seperti diimpikan.

Program Minggu Remaja tidak diadakan pada tahun 1990 tetapi kembali dengan nama Minggu Penulis Remaja (MPR) pada tahun 1991 dan saya terpilih sebagai salah seorang peserta; baca kisah lanjut di sini.


Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

____________________

Uthaya Sankar SB
lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak, serta kini tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Beliau terlibat secara aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Uthaya mengasaskan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan program bahasa, sastera, kebajikan, seni, dan budaya di seluruh negara sejak tahun 1999.