[Sambungan daripada Bahagian 1] Haiwan-haiwan buas yang sedang berehat-rehat terbangun mendengar bunyi riuh. Mereka pelik melihat seekor kambing bertanduk dan berjanggut putih dari bukit masuk ke dalam hutan mereka tanpa izin.
Ini mesti kerja monyet dan gajah yang membiarkan
kambing bukit masuk ke dalam hutan. Harimau yang pernah ditanduk K pada suatu
ketika dahulu sungguh marah. Harimau dapat mengecam K.
Singa juga marah. Rambutnya mengerbang dalam
kemarahan.
K sungguh bangga kesemua penghuni hutan terpegun
melihatnya, terutamanya singa dan harimau. Dibayangkan suatu hari nanti dia
akan menggantikan tampuk pemerintahan di hutan dan kedua-dua tanduknya akan
menegak tajam.
K dijamu dengan pelbagai jenis daunan hutan dan
buah-buahan yang dia tidak pernah makan sebelum ini. K sungguh gembira dengan
situasi baharu.
Setelah makan hingga kenyang, K memberanikan diri
melihat kesemua mereka yang sudah mengerumuniya. Dia berharap sungguh
binatang-binatang buas tidak mengapa-apakannya. Dia tidak perlu takut. Gajah,
kera dan lotong ada bersamanya.
K memanjat tangkas ke atas satu batu yang agak
tinggi lalu berdiri menggoyangkan kepala dengan sungguh angkuh lalu mengembek.
“Bae … bae … bae ..bae!”
Singa, harimau dan buaya menjadi cuak lalu mara ke
hadapan sedikit. Jantung K berdebar kencang. Dua ekor gajah membunyikan bunyi
trompet dengan belalai sambil menghalang haiwan buas menghampiri K.
K menjadi lega lalu memulakan ucapannya dalam
bahasa Antah Berantah.
“Salam
sejahtera semua.”
“Salam sejahtera!” kecuali haiwan buas, lain-lain
haiwan menjawab dengan penuh tenaga.
“Saya berhijrah dari bukit ke hutan ini bukan
kerana saya dihalau oleh kawan-kawan atau saudara mara. Sebenarnya saya ke sini
untuk mencerahkan fikiran kamu semua,” hujah K sambil mengembek.
Kesemua haiwan bercakap sesama mereka apabila
mendengar kata-kata K ini. Lebih-lebih lagi singa, harimau dan buaya nampak
marah.
“Tolong diam! Anda semua kena faham terutamanya
singa, harimau, buaya dan lain-lain yang suka makan daging kami. Kamu semua
perlu berubah. Berubahlah seperti kami kambing, monyet dan gajah. Kamu semua
seharusnya makan daun, rumput dan buah sahaja.”
“Mana mungkin!” dua ekor harimau menjawab dengan
serentak.
“Kamu semua sudah lama membuat dosa dengan memakan
kaum keluarga kami.” K menunjukkan muka marah. Sebenarnya dia masih was-was.
“Kamu semua adalah makanan kami. Bagaimana kamu
makan rumput, daun dan buah, begitulah kami makan daging kamu semua,” kata
singa sambil mengaum.
“Dengar sini para harimau, singa dan buaya.
Insaflah wahai sahabat-shabatku. Jom, kita menjadi satu. Contohilah cara hidup
kami. Mencontohi cara hidup kami dengan memakan rumput, daun dan buah, sudah
pasti kamu semua akan dapat moksha dan boleh masuk ke syurga. Jika
tidak, sudah tentu akan masuk ke neraka!” K bercakap dengan sungguh yakin,
seolah-olah dia pernah mengunjungi syurga dan neraka.
Harimau dan singa menjadi sungguh marah dengan
kata-kata ini. Mereka mahu menerkam K. Gajah menghalang mereka.
“Jangan cuba ubah cara hidup kami wahai kambing.
Sudah berjuta tahun kami hidup begini di Antah Berantah dan kami akan hidup
begini seterus-terusnya!” kata singa lalu bangun dan mengaum dengan kuat.
Buaya juga sungguh marah hingga melibas-libas
ekornya.
“Jangan tunjuk samseng singa. Kamu tak takut pada
neraka?” kata K dengan penuh angkuh. Janggut putihnya bergoyang ditiup angin.
“Cuba kamu tunjukkan neraka kepada kami, baru kami
akan percaya. Bolehkah kamu tunjuk wahai kambing?” tanya harimau.
“Jangan tanya soalan bodoh begini. Dengan makan
rumput dan buah, kamu semua akan menjadi baik. Keganasan kamu akan hilang wahai
haiwan-haiwan buas,” kata K dengan sedikit lembut.
“Jika kami panggil kamu makan daging, adakah kamu
akan setuju dan bertukar kepada cara kami, kambing?” tanya pula buaya.
“Cara haiwan yang makan rumput, daun dan
buah-buahan adalah benar!” jawab K dengan angkuh.
“Jika cara hidup kamu itu benar, cara hidup kami
juga adalah benar!” harimau, singa dan buaya menjawab serentak.
K diam. Dia tidak dapat meneruskan kata-katanya
lagi.
Kemudian kesemua haiwan di dalam hutan bertelagah.
Pertelagahan dan pergaduhan berterusan hingga cakar- mencakar dan
gigit-menggigit.
Memandangkan kedaannya tidak lagi selamat di dalam
hutan, K meloloskan diri secara perlahan meninggalkan hutan. – Tamat
Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.