Kaum India dalam Cerpen: Bahagian 1


Pembacaan antologi Meredah Kabus pada April 2021 terganggu sebaik saya menyedari tindakan fasis dan subversif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang secara terancang menghina umat Bukan Islam dengan menafikan hak menggunakan istilah “Tuhan” (huruf besar). [baca di sini]

Antologi ini merupakan selenggaraan Chua Pei Yong dan para peserta menerima bimbingan Azmah Nordin. Sejumlah 23 cerpen oleh 12 penulis Bukan Melayu termuat dalam antologi ini. Daripada jumlah itu, ada enam penulis kaum India yang berjaya menampilkan identiti kaum India dalam karya.

Meredah Kabus terbit pada tahun 2021 dan tidak sempat saya kaji bagi tujuan disertasi sarjana sastera. Maka, siri esei ini akan menggunakan kerangka yang sama untuk menganalisis identiti kaum India yang nyata dalam sepuluh cerpen oleh enam Sasterawan Kavyan.

Cerpen “Manisnya Perubahan” oleh Anuradha Chelliah menampilkan beberapa unsur yang jelas menunjukkan keluarga Cikgu Mala berketurunan Tamil dan beragama Hindu. Nama-nama seperti Paramasivam, Malliga, Gobi, Devagi, dan Rajaseelan membuktikan hal ini.

Dalam budaya orang India, nama yang mempunyai makna yang baik selalu dipilih untuk anak. Sering kali, nama dewa-dewi juga diberi supaya setiap kali nama anak dipanggil, secara langsung juga nama dewa atau dewi berkenaan disebut.

Bahasa ibunda yang digunakan oleh keluarga Mala ialah Tamil. Walaupun karya Sastera Kebangsaan ini ditulis menggunakan Bahasa Malaysia, beberapa kata sapaan bahasa Tamil digunakan. Misalnya, appa (bapa) dan amma (emak).

Watak Malliga dikatakan sudah bertunang dan tunangnya bernama Gobi. Tidak ada sebarang huraian tentang majlis pertunangan tetapi pembaca boleh memahami bahawa dalam budaya kaum India, terdapat beberapa proses dilalui sebelum sampai ke tahap melangsungkan perkahwinan.

Buku Budaya, Adat dan Ritual Penganut Agama Hindu di Malaysia (2019) dan rencana “Perkahwinan Hindu: Daripada Merisik hingga Muhurtam” (Dewan Budaya, Januari 2020) boleh dibaca untuk memahami amalan merisik, melamar, meminang, bertunang, dan berkahwin dalam budaya India-Hindu.

Masakan nabati juga disebut dalam cerpen ini. Istilah yang biasa digunakan dalam bahasa Tamil ialah saivam atau dalam Inggeris disebut vegetarian. Memang menjadi amalan masyarakat India makan masakan yang sepenuhnya berunsur nabati sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu. Biasanya diamalkan pada hari Selasa atau Jumaat. Juga pada hari perayaan keagamaan. Aspek makanan nabati yang dinyatakan dalam cerpen ini boleh membantu masyarakat majmuk memahami amalan kaum India-Hindu.

Unsur kepercayaan kepada Tuhan sentiasa hadir dalam karya Sasterawan Kavyan. Dalam cerpen ini, misalnya, dinyatakan bahawa “ayah sentiasa mendoakan kejayaan mereka adik-beradik”. Turut diceritakan bagaimana Mala “sentiasa diingatkan untuk berdoa dan berterima kasih kepada Tuhan.”

Walaupun DBP yang bersikap fasis, subversif, rasis, xenofobia, dan etnosentrik bertindak licik menukar “Tuhan” kepada “tuhan” dalam setiap cerpen yang dihasilkan oleh penulis Bukan Islam dalam antologi ini, saya mengekalkan “Tuhan” sebagaimana ditulis para penulis dalam manuskrip asal.

Dua contoh petikan daripada cerpen “Manisnya Perubahan” oleh Anuradha Chelliah menunjukkan secara jelas betapa kaum India di Malaysia sentiasa mengingat Tuhan; sebagai tempat meminta bantuan, mencari perlindingan, dan berterima kasih.

Sebuah lagi cerpen Anuradha Chelliah dalam antologi Meredah Kabus bertajuk “Sekalung Malai untuk Ibu”. Seperti yang dapat diduga, cerpen ini berkait dengan malai.

Kita tahu bahawa untaian bunga yang diikat itu dipanggil maalai dalam bahasa Tamil. Mungkin ramai tidak tahu bahawa istilah itu sudah dipinjam dan dijadikan sebahagian kosa kata Bahasa Malaysia sejak dahulu.

Kita sering melihat gerai menjual malai di kawasan seperti Brickfields, Kuala Lumpur dan Jalan Tengku Kelana, Klang. Gerai menjual malai juga biasa ada di kawasan kuil. Dalam cerpen ini, dinyatakan bahawa pekerja kedai bunga mengikat malai dan menghantarnya ke beberapa kuil di sekitar ibu negara.

Sesungguhnya, mengikat bunga adalah seni kaum India dan malai digunakan bagi pelbagai acara dan upacara tradisi dan keagamaan; misalnya upacara di kuil dan pada majlis perkahwinan. Maka, tidak hairanlah kedai bunga dalam cerpen ini dikatakan sibuk pada setiap Jumaat dan pada musim perayaan kaum India.

Namun begitu, sepertimana diketengahkan dalam cerpen ini, seni mengikat malai “semakin dilupakan generasi muda sekarang”. Dalam situasi inilah Radha mengambil keputusan untuk bekerja di kedai bunga milik pak ciknya, serta kemudian membuka perniagaan sendiri.

Gelaran maama yang digunakan merujuk kepada Nathan, iaitu abang atau adik lelaki kepada Mangai (ibu Radha). Nama seperti Ramya dan Subbu juga menggambarkan identiti kaum India dalam cerpen ini.

Malkit Singh bukan watak penting dalam cerpen ini. Beliau pemilik dan pengurus Syarikat Playland, Damansara. Walaupun produk syarikat semakin kurang mendapat untung, Malkit Singh  “tetap membayar gaji pekerjanya dan masih mengambil berat tentang kebajikan mereka”. Malangnya, beliau terpaksa menjual syarikat kepada orang lain.

Pada awal tahun 2018, komuniti Punjabi menghadapi masalah untuk membeli unit Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) kerana sistem yang diguna pakai oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) hanya membenarkan kaum “India” membuat permohonan. Mujurlah masalah teknikal itu berjaya diselesaikan.

Kehadiran watak Malkit Singh dalam cerpen ini mengingatkan pembaca bahawa orang Punjabi beragama Sikh juga sebahagian daripada diaspora India di Malaysia. Buku seperti Sikhs in Malaysia: A Comprehensive History (2021) boleh membantu orang ramai lebih memahami sejarah dan budaya komuniti ini.

Kaum India di Malaysia selalu memakai “Punjabi suit” selain daripada sari yang selalu dianggap sinonim dengan wanita India. Nama sebenar bagi “Punjabi suit” ialah salwar kameez seperti dinyatakan dalam cerpen ini.

Salwar merujuk kepada seluar dan kameez ialah blaus atau baju yang dipakai. Pakaian tradisional ini berasal dari Punjab, lalu dinamakan juga “Punjabi suit”. Pakaian ini turut menjadi kegemaran golongan wanita kaum India pelbagai peringkat umur di Malaysia. Malah, wanita Melayu dan Cina juga memakainya.

Ringkasnya, kedua-dua cerpen oleh Anuradha dalam antologi Meredah Kabus memaparkan secara halus dan tersirat pelbagai unsur budaya kaum India, selaras konsep Sastera Kebangsaan yang dipelopori pada tahun 1971.

____________________

Uthaya Sankar SB lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak, serta kini tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Beliau terlibat secara aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Uthaya mengasaskan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan program bahasa, sastera, kebajikan, seni, dan budaya di seluruh negara sejak tahun 1999.