Saya berumur tujuh tahun pada waktu itu. Dua puluh lima tahun kemudian, tidak banyak perkara yang mampu saya ingat tentang hari-hari awal kedatangan Chellam Akka ke kampung kami.
Berita tentang pemergiannya pada awal pagi tadi membuatkan
beberapa cebisan kenangan lama muncul seperti tayangan filem pendek dalam minda.
Subramani Taata dan Chellam Akka datang menaiki sebuah
lori yang turut membawa beberapa perkakas rumah. Rumah papan yang mereka huni
terletak agak terpencil berbanding rumah-rumah lain.
Saya dan kawan-kawan sepermainan hairan melihat
Chellam – tentulah kami pada mulanya tidak mengetahui nama wanita itu – memakai
sari putih dan berperut buncit. Bapanya pula mungkin berumur lima puluh tahun tetapi
kelihatan lebih tua berbanding usia sebenar.
Mereka berdua kurang bergaul dengan tetangga. Saya dan
kawan-kawan pula dinasihati supaya tidak bermain di sekitar rumah mereka.
“Pelik betul perangai mereka berdua. Si bapa berat
mulut manakala si anak pula datang berperut buncit.”
Demikian antara kandungan perbualan emak dengan
kawan-kawannya. Saya hanya mendengar beberapa cebisan perbualan para wanita
kaum India di kampung kami untuk mengetahui beberapa cebisan kisah Chellam Akka
dan Subramani Taata.
Tidak lama kemudian, sekitar dua minggu sekali,
beberapa orang dapat dilihat berkunjung ke rumah berkenaan. Lama-kelamaan, saya
sedar bahawa Subramani Taata umpama seorang bomoh India.
Pada waktu siang, beliau bekerja sebagai tukang cuci di
Hospital Taiping dan pada waktu malam pula beliau menurun (trance) untuk membantu mengubati pelbagai penyakit.
Hasil cebisan cerita yang saya dengar daripada orang
dewasa, dapat saya simpulkan bahawa Subramani Taata seorang saamiyar yang menjadi medium untuk
berhubung dengan Varahi Amman atau Bhagavati.
Pada setiap kali ada upacara menurun, duda itu
dikatakan memakai sari merah dan rambut palsu menyerupai wanita. Menurut cerita
yang saya dengar sejak awal 1980-an, penampilan diri serta perwatakan Subramani
Taata turut berubah sepenuhnya bilamana berada dalam trans atau sawai.
Sedikit demi sedikit, penduduk setempat juga mula
mengunjungi Subramani Taata untuk mendapatkan perkhidmatan. Walaupun beliau
kurang bercakap dan bergaul dengan masyarakat, apabila semangat atau spirit Varahi Amman meresap masuk ke
dalam tubuhnya semasa sesi menurun, lelaki itu dikatakan seolah-olah memiliki
personaliti yang amat berbeza.
Saya tidak pernah berpeluang menyaksikan sendiri sesi
menurun itu kerana Subramani Taata meninggal dunia pada tahun 1989 iaitu semasa
saya berumur enam belas tahun. Sejak itu, Chellam Akka mengambil alih upacara
trans.
Wanita itu juga ada beberapa kisah menarik yang wajar
didokumentasi di sini. Masih ingat bagaimana Chellam Akka berperut buncit dan
bersari putih sewaktu datang ke kampung kami?
Sedikit demi sedikit, saya mendapat tahu bahawa beliau berkahwin mengikut upacara budaya pada usia tujuh belas tahun. Walau bagaimanapun, setahun selepas berkahwin, semasa Chellam Akka mengandung empat bulan, suaminya meninggal dunia. (Bersambung dalam buku Siapa Bunuh Veer Singh?) – (Baca juga Reaksi Pembaca Beta)

