Kisah kaum India — khususnya orang Tamil — yang menjadi pekerja (kuli) di ladang getah sejak sekitar seratus tahun dahulu sering menjadi bahan dalam cerpen bahasa Tamil. Penulis kaum India yang menghasilkan cerpen Bahasa Malaysia juga meneruskan trend itu sehingga kini.
Hakikat ini saya perhatikan sendiri sewaktu menganalisis
karya Sasterawan Kavyan sejak tahun 1980-an bagi tujuan disertasi sarjana sastera
di Universiti Malaya.
Cerpen sulung Navaneethan Raja
bertajuk “Merintis
Pilu” dan termuat dalam antologi Meredah Kabus
(2021). Nama watak seperti Prem, Kartiga, Kiran, dan Muthu adalah petanda nyata
bahawa cerpen ini mengangkat kisah komuniti India.
Watak Prem sering mengeluh kerana sudah lebih sepuluh tahun bekerja di “kebun getah”. Dia tertanya-tanya: “Apakah selamanya dia hanya layak untuk mencapai baldi kosong yang penuh dengan kesan kotor” dan “mengisi susu hasil torehan pohon getah yang terdapat di dalam mangkuk hitam bersaiz sekecil mangkuk sup”.
Berbeza pula dengan dua cerpen oleh Thanusya Shanmuganathan
yang menggambarkan watak kaum India di bandar, khususnya di Lembah Klang.
Cerpen “Menggapai
Bintang di Langit” berkisar dunia sukan dan tidak menyelitkan unsur
budaya untuk dianalisis.
Nama seperti Shivanee dan Sathiya menampakkan identiti kaum
India. Nama dua watak keturunan Punjabi dan beragama Sikh turut disebut, iaitu
Jasweender Kaur dan ibunya, Parminder. Identiti individu beragama Sikh paling
mudah dikenali menerusi penggunaan “Singh” bagi lelaki dan “Kaur” bagi wanita
pada hujung nama.
Nama seperti Hema, Krishnan, Lekha, dan Ravindaran muncul
dalam cerpen “Cahaya
di Hujung Terowong”. Mereka sebuah keluarga Tamil yang tinggal di
Petaling Jaya, Selangor. Hema dan Krishnan berkerja manakala kedua-dua anak — 10
dan 8 tahun — masih bersekolah
Krishnan lulusan sarjana muda kelas pertama bidang komunikasi dari Universiti Malaya. Dia menjadi jurugambar sepenuh masa dan memiliki studio kecil. Krishnan juga selalu mengambil tempahan merakam foto pada majlis perkahwinan.
[Ulasan penuh dalam Kumpulan Esei SB]
____________________