Teks Bhagavad Gita bukan hanya dibaca sebagai kitab agama Hindu. Sebaliknya, ada pelbagai panduan, nasihat, dan motivasi berguna bagi golongan penulis, khasnya para Sasterawan Kavyan iaitu penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia.
Setelah bala tentera di pihak Kaurava dan Pandava bersiap siaga di Kurukshetra, Arjuna mengangkat busur Gandiva dan bersedia melepaskan anak panah pertama (1.20).
Akan tetapi, kemudian komitmen dan tumpuannya hilang, lalu busur Gandiva terlepas dari tangan (1.29). Arjuna tidak mahu meneruskan perjuangan walaupun menyedari dialah pemanah terhebat dan tugasnya sebagai kshatriya (pahlawan) memang menuntutnya untuk berjuang di medan perang.
Krishna tampil menegur sikap Arjuna (2.2) tetapi pahlawan itu memutuskan untuk tidak berperang (2.9). Krishna tidak menyerah, lalu memberi nasihat yang panjang-lebar untuk menyedarkan Arjuna bahawa memang menjadi tanggungjawabnya untuk berperang demi menegakkan dharma (2:31).
Situasi sama boleh berlaku dalam kalangan penulis, termasuk peserta bengkel penulisan cerpen yang saya kendalikan sejak tahun 1994. Pada mulanya, peserta bersemangat dan berkobar-kobar mahu menghasilkan karya bermutu.
Akan tetapi, tidak lama kemudian, mereka hilang semangat, tumpuan, dan komitmen. Situasi ini tidaklah menghairankan kerana rata-rata Sasterawan Kavyan bukan penulis sepenuh masa. Masing-masing ada pelbagai komitmen lain yang menuntut masa dan tenaga.
Penulis menghadapi dilema. Sebagai seorang Sasterawan Kavyan, mereka sedar bahawa mereka memikul tanggungjawab menghasilkan karya bermutu untuk memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan.
Sebagaimana Krishna tampil menasihati dan memberi motivasi kepada Arjuna, begitulah juga para Sasterawan Kavyan yang “melepaskan Gandiva dari tangan” memerlukan seseorang untuk membimbing dan memulihkan semangat mereka agar mampu kembali “mengangkat pena” dan meneruskan perjuangan.
Sehingga kini, orang ramai di seluruh dunia masih membaca teks Bhagavad Gita dalam pelbagai bahasa. Antara tokoh hebat yang sentiasa membaca kitab berkenaan ialah Albert Einstein, Soekarno, Swami Vivekananda, Barack Obama, Mahatma Gandhi, George Harrison, Jawaharlal Nehru, Robert Oppenheimer, Hermann Hesse, Sunita Williams, Philip Glass, Abdul Kalam, Will Smith, Nikola Tesla, T.S. Eliot, dan Hugh Jackman.
Dialog Arjuna dan Krishna di Kurukshetra turut menjadi panduan bagi umat manusia; bukan hanya dalam soal agama Hindu (Sanatana Dharma).
Maka, golongan Sasterawan Kavyan yang memerlukan
suntikan semangat digalakkan membaca Bhagavad
Gita dalam mana-mana bahasa pilihan. Jika mahu membaca, memahami, dan
menghayati versi Bahasa Malaysia, bolehlah dapatkan Bhagavad
Gita (2021) di mana kesemua 701 sloka dihuraikan sepenuhnya dalam bentuk prosa (cerita) untuk
bacaan Bangsa Malaysia.