Rakyat Malaysia secara amnya kebelakangan ini kelihatan amat gemar untuk makan, makan dan makan. Tidak kira usia, di mana dan bila, sudah pasti makan adalah satu kemestian dalam kehidupan seharian. Seperti tidak ada perkara lain tidak penting lagi selain makan.
Saya masih ingat, ketika
kecil dahulu, kami sekeluarga akan makan apabila perlu dan mengikut waktu makan
sahaja. Tidak ada kudap-kudapan dikudap sesuka hati. Jika teringin makan
aiskrim kon yang dijaja rumah ke rumah oleh Uncle Ais Krim, sebulan
sekali atau dua bulan sekali sahaja tercapai. Ais krim dikategorikan dalam
senarai makanan berbahaya yang boleh membawa selesema ketika itu. Apabila ke pawagam,
kami dapat rasa jugalah sedikit kudap-kudapan.
Keadaan ini
berubah sejak saya sudah mula bekerja pada 1989. Walaupun gaji tidak seberapa, namun saya
dapat jugalah makan ais krim atau makanan kegemaran tanpa halangan. Itu bukan
bermaksud ibu bapa saya tidak beri makanan yang secukupnya.
Pada hari-hari
tertentu sahaja seperti hari Ahad dan pada hari Deepavali sahaja akan dapat
rasa nikmat kari ikan, kari ayam atau kari kambing. Pada hari-hari biasa,
makanan ala kadar sahaja dimasak tetapi tetap berkhasiat. Jika keadaan terdesak,
kami layan juga bubur kosong bersama oorukaai. Mungkin keadaan kami ini tidak
sama dengan anak-anak daripada keturunan lain atau keluarga ‘berada’ ketika
itu.
Kebelakangan ini
saya dapati kedai-kedai makan di negara kita dibuka di setiap penjuru. Warung
kecil, restoran kecil dan besar, kedai mamak, kedai makanan segera ala barat,
pasar raya dan mini mart boleh didapati
baik di bandar besar dan kecil. Kita dilimpahi dengan makanan. Ini cuma baik
dari segi pertumbuhan ekonomi untuk negara kita.
Walaupun keadaan
ekonomi negara akan maju dan peluang pekerjaan akan bertambah, itu bukan
bermaksud keadaan kehidupan dan kesihatan rakyat juga bertambah baik. Apa yang
berlaku adalah sebaliknya.
Kurangnya kawalan
dan teguran, malah ibu bapa sendiri menggalakkan anak-anak mereka mengambil
makanan ringan dan yang tidak berzat tanpa had mengundang risiko kesihatan pada
usia muda. Malas serta tidak aktif, lebih-lebih lagi dengan adanya telefon
pintar di tangan adalah antara punca obesiti dan penyakit kronik lain dalam
kalangan warga tua dan muda.
Rakyat Malysia dan
kerajaan Malaysia harus berwaspada. Operasi waktu kedai makan harus diubah.
Kita tidak perlukan kedai makan dibuka sehingga 24 jam. Cukuplah beroperasi
dari jam 7 pagi hingga 8 malam sahaja. Begitu juga dengan pasar raya dan mini mart. Pada masa pendamik Covid-19
melanda, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Rakyat boleh pula
ikut pada masa yang ditetapkan dan gejala sosial juga turut berkurang. Nafsu
untuk makan berlebihan boleh pula dikawal sendiri.
Satu lagi perkara
adalah berkenaan dengan pembaziran makanan. Rakyat kita amat tamak apabila
nampak makanan yang banyak dan pelbagai, terutamanya di majlis-majlis
perkahwinan dan di bazar. Rambang mata, semua makanan diambil seperti boleh
ditelan sekali gus. Akibatnya semua makanan itu akan menjadi santapan tong
sampah juga akhirnya.
Jika kita ingin
hidup sihat dan panjang umur, bukan disuruh ikat perut. Yang perlu dilakukan
adalah nafsu makan harus dikawal sepenuhnya. Makan makanan berkhasiat. Kurangkan
pengambilan makanan dan minuman manis. Begitu juga dengan pengambilan garam.
Senaman perlu ditingkatkan. Semoga kita menjadi contoh rakyat tersihat di mata
dunia.