Wawancara Khas – Anuradha Chelliah

Lima Sasterawan Kavyan masing-masing mengemukakan dua soalan yang kemudian dikumpul dan dijawab secara berasingan oleh kelima-lima individu terbabit. Berikut jawapan daripada Anuradha Chelliah.

 

1. Siapa yang menjadi inspirasi kepada anda menulis (selain mana-mana penulis)?

Ahli keluarga dan rakan-rakan menjadi inspirasi kepada saya untuk menulis. Kejayaan, kehebatan, kesungguhan, kekuatan, kesunyian, kesedihan, kepedihan, dan kegagalan mereka menjadi inspirasi saya untuk menulis. Tokoh-tokoh terkenal, terutamanya mereka yang terlibat dalam perdebatan dan perkongsian isu-isu hangat, turut menjadi inspirasi kepada saya untuk menulis.

 

2. Dari manakah datangnya idea atau inspirasi untuk anda menulis?

Idea untuk menulis datang daripada perbualan saya bersama rakan-rakan atau cerita-cerita yang saya pernah baca. Lagu-lagu atau tayangan filem juga dijadikan sumber penulisan. Kadang-kadang, satu perkataan yang disebut oleh rakan-rakan akan diolah menjadi puisi atau cerpen. Malah, perbualan melalui WhatsApp atau sembang santai di kantin sekolah juga pernah dijadikan cerita. Alam semula jadi yang berwarna-warni juga menjadi inspirasi kepada saya. Bunga-bunga, daun-daun, dan pokok-pokok sentiasa “bercerita” untuk menyampaikan sesuatu. Satu lagi sumber inspirasi ialah pengalaman merantau ke tempat orang. Menulis mengenai pengalaman di negeri orang sememangnya sesuatu yang menyeronokkan.

3. Apakah karya sulung/pertama yang tersiar/terbit? Bagaimana peluang menyiarkan karya itu muncul?

Karya pertama ialah puisi bertajuk “Pesta Cahaya” di majalah Dewan Budaya (Oktober 2017), diikuti puisi bertajuk “Ponggal” juga tersiar di majalah Dewan Budaya (Januari 2018). Selepas itu, karya-karya tersebut dibukukan dalam antologi Busana Bahasa (2019). Antologi Busana Bahasa memuatkan lima karya saya iaitu empat puisi dan satu esei. Peluang penyiaran karya dalam majalah Dewan Budaya muncul selepas mendapat dorongan daripada Uthaya Sankar SB. Kemudian, beberapa karya dimuatkan dalam antologi Busana Bahasa susulan Sesi Penulisan Intensif II anjuran Kavyan.

 

4. Berapa banyak tempoh waktu diperuntukkan untuk membaca dan membuat kajian sebelum menghasilkan karya?

Ia bergantung kepada apa yang sedang ditulis atau dihasilkan. Kalau karya itu berupa esei yang memerlukan fakta, biasanya akan mengambil masa yang agak lama. Namun, sebelum menulis, saya akan mencari sumber-sumber yang berkaitan dengan esei tersebut. Saya juga membuat pembacaan dan pencarian maklumat sebelum menulis cerpen atau puisi supaya tulisan itu mempunyai ketelusan maklumat dan tidak ditulis mengikut kehendak hati sahaja.

5. Pada waktu bilakah atau dalam suasana yang bagaimanakah anda ada “feeling/mood” untuk menulis?

Sebenarnya, saya akan menulis apabila ada idea. Ada kalanya, saya akan menaip dalam telefon pintar atau membuat catatan dalam buku nota. Kemudian, ditaip semula mengikut kehendak. Ada tulisan yang akan mengambil masa agak lama kerana tiada kepuasan. Ada pula yang ditulis dengan cepat mengikut citarasa saya. Sekiranya saya berasa tidak puas, saya akan tinggalkan sahaja tulisan tersebut dan melihatnya semula pada masa lain.

 

6. Apakah topik/tema/isu yang agak mudah untuk anda tulis dan apa pula yang agak sukar untuk anda tulis?

Topik yang dekat dengan hati sangat mudah untuk saya tulis. Kadang-kadang dalam masa beberapa minit saya dapat menghasilkan puisi yang sesuai dengan tajuk pilihan saya. Namun, ada topik yang saya ingin tulis tetapi mengambil masa yang agak lama kerana ketandusan idea atau kekurangan sumber yang sesuai untuk dimuatkan dalam karya. Karya yang bernas harus mempunyai isi atau fakta yang boleh mempengaruhi pembaca dan memberi cangkuk naratif (narrative hook) untuk pembaca terus tertarik dengan cerita yang ditulis. Agak sukar bagi saya untuk menghasilkan cangkuk naratif, tetapi ada kalanya pengakhiran cerita juga dapat memberi idea untuk cangkuk naratif.

7. Apabila anda mengetengahkan kebudayaan komuniti sendiri dalam karya, bagaimana ia mempengaruhi pembaca? Apakah reaksi yang diterima daripada pembaca?

Ya, saya sentiasa cuba mengetengahkan kebudayaan komuniti India dan Tamil dalam karya. Saya cuba selitkan sedikit sebanyak maklumat yang saya tahu dalam karya. Saya juga membuat rujukan dan kajian mengenai maklumat berkenaan sebelum dimasukkan dalam karya. Ramai pembaca memberi reaksi positif. Saya dapat tahu mengenai hal ini semasa berbual dengan beberapa pembaca yang pernah membaca karya saya. Mereka rasa ada perkara baharu yang diketahui setelah membaca karya-karya saya yang memuatkan kebudayaan komuniti India.

 

8. Apa yang mendorong anda untuk terus menulis walaupun tiada pendapatan lumayan melalui bidang penulisan?

Minat. Saya minat menulis dan saya rasa teruja melihat nama saya ditulis bersama karya saya. Saya cuba sampaikan isi hati melalui tulisan kerana bagi saya, ia lebih mudah. Saya juga rasa gembira apabila pembaca menyebut mengenai karya saya. Ada tulisan yang pernah menyentuh hati mereka. Ada tulisan yang memberi pengajaran kepada mereka. Ada tulisan yang seakan-akan ditulis khusus untuk mereka.

9. Apakah karya terkini anda yang sedang diusahakan? Berikan sedikit maklumat dan cabaran dalam menyiapkannya.

Saya dalam proses menulis dua buah cerpen. Kedua-dua cerpen ini masih dalam proses “bayi”. Sudah dirangka tetapi belum ditulis. Sebuah cerpen berkaitan seorang kanak-kanak di rumah anak yatim dan satu lagi mengenai seorang individu yang gemar makan. Saya seperti kesuntukan idea untuk terus menulis. Juga kekangan masa kerana saya bekerja sepenuh masa sebagai guru.

 

10. Ramai yang mempunyai aspirasi (cita-cita) untuk menjadi seorang penulis seperti anda. Apakah tips yang boleh anda kongsikan kepada mereka?

Untuk menulis, mulakan dengan membaca bahan bacaan yang anda minat. Tidak kira apa sahaja bahan bacaan, mulalah dengan membaca. Anda boleh mula dengan membaca dua muka surat dalam buku. Anda boleh membaca akhbar harian atau majalah. E-buku atau e-majalah juga boleh dibaca. Tulis apa sahaja yang terlintas dalam minda anda. Setiap hari, cuba tulis antara lima hingga sepuluh baris, kemudian gandakan usaha anda. Apa sahaja boleh ditulis. Setiap kali anda menulis, pastikan anda membaca semula apa yang ditulis.

[Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan seterusnya Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Anuradha aktif menulis sejak 2016 dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. Karya beliau termuat dalam pelbagai antologi seperti Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), dan Lakaran Diri (2022). Anuradha merupakan bendahari Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]