Wawancara Khas – Uthaya Sankar SB

Lima Sasterawan Kavyan masing-masing mengemukakan dua soalan yang kemudian dikumpul dan dijawab secara berasingan oleh kelima-lima individu terbabit. Berikut jawapan daripada Uthaya Sankar SB.

 

1. Siapa yang menjadi inspirasi kepada anda menulis (selain mana-mana penulis)?

Guru-guru saya di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong (1979-1984), Sekolah Menengah Darul Ridwan (1985-1989), dan Sekolah Menengah King Edward VII (1990-1991). Selaku pendidik dan pembimbing, mereka berjaya mencetuskan serta memupuk minat saya terhadap pembacaan dan penulisan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, dan Tamil. Tidak lupa juga mendiang ibu, Sarojeni Ramasami, yang selalu menyampaikan pelbagai cerita rakyat semasa saya kanak-kanak.

 

2. Dari manakah datangnya idea atau inspirasi untuk anda menulis?

Perihal dari mana dan bagaimana saya mendapat idea serta inspirasi untuk menulis ada dihuraikan pada bahagian “Prakata” beberapa kumpulan cerpen seperti Siru Kambam (1996), Surat Dari Madras (1999), Rudra Avatara (2008), dan Kisah Dari Siru Kambam (2013). Turut diterangkan dalam beberapa tulisan yang terkumpul di blog saya. Ringkasnya, saya mendapat idea dari pelbagai sumber—pembacaan, televisyen, perbualan, pengalaman, pengamatan. Kemudian diadun secara kreatif menjadi sebuah karya.

3. Apakah karya sulung/pertama yang tersiar/terbit? Bagaimana peluang menyiarkan karya itu muncul?

Karya awal saya tersiar di majalah Sekolah Menengah Darul Ridwan, Taiping. Karangan bahasa Inggeris bertajuk “My First Three Loves” yang ditulis sewaktu saya di Tingkatan Empat termuat dalam majalah tahun 1988. Pada tahun seterusnya (1989), karya saya di majalah sekolah yang sama ialah cerpen bertajuk “Secebis Kisah”, sajak bertajuk “Apologi Buat Panther” dan “Semalam, Hari Ini dan Esok II”, puisi bahasa Inggeris bertajuk “A Monologue to A Friend”, serta sajak bahasa Tamil bertajuk “Kaviteyin Kaadhal Kathanaayagi”.Cerpen bertajuk “Panther” pula dimuatkan dalam majalah tahun 1990 sempena ulang tahun ke-25 sekolah berkenaan. Guru Persatuan Bahasa Malaysia (Puan Hadebah Duseh), Inggeris (Cik Pragasam), dan Tamil (Encik Sivanesan) turut memberi galakan.

 

4. Berapa banyak tempoh waktu diperuntukkan untuk membaca dan membuat kajian sebelum menghasilkan karya?

Saya membaca setiap hari; sama ada bahan bacaan fizikal seperti buku, majalah, risalah, dan surat khabar, atau bahan digital termasuk e-buku di Internet. Bahan dan topik yang dibaca pula pelbagai. Setiap kali menemui sesuatu maklumat menarik, saya membuat catatan untuk memudahkan rujukan pada masa depan. Jika ada sesuatu topik yang mahu ditulis – sama ada fiksyen atau rencana – saya akan lakukan pembacaan mendalam sehingga ada bahan yang mencukupi sebelum mula menulis. Ada kalanya hanya sehari, tapi ada pula sehingga beberapa hari.

5. Pada waktu bilakah atau dalam suasana yang bagaimanakah anda ada “feeling/mood” untuk menulis?

Saya boleh menulis pada bila-bila masa. Saya tidak ada sebarang jadual khusus atau disiplin ketat tentang masa untuk menulis. Saya tidak pernah memaksa diri untuk menulis. Kalau terasa mahu berehat atau tidur, saya lakukan tanpa rasa bersalah memikirkan kerja penulisan yang belum beres. Sewaktu menulis, saya menyukai suasana tenang tanpa sebarang bunyi yang mengganggu tumpuan. Akan tetapi, jika tidak dapat dielakkan, saya memasang muzik perlahan pada fon telinga (earphone) dan meneruskan kerja dengan tenang.

 

6. Apakah topik/tema/isu yang agak mudah untuk anda tulis dan apa pula yang agak sukar untuk anda tulis?

Sejak lebih 30 tahun dahulu, saya sudah menulis cerpen, sajak, ulasan, dan rencana berkaitan pelbagai topik, tema, dan isu. Maka, saya merasakan tidak ada topik yang sukar. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Hal ini mungkin kerana saya memang suka meneroka pelbagai topik yang menarik perhatian saya. Apabila saya berminat untuk tahu tentang sesuatu topik, maka saya berminat juga untuk melakukan kajian dan pembacaan lanjut. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Kemudian, minat yang sama tetap ada semasa saya menulis untuk berkongsi maklumat baharu yang saya temui itu. Bagaimanapun, susulan saya ditangkap polis dan masuk lokap atas tuduhan “hina nabi”, saya berhenti menulis tentang Islam; sebaliknya mula mengkaji dan menulis tentang kultus ajaran sesat yang bijak memanipulasi orang.

7. Apabila anda mengetengahkan kebudayaan komuniti sendiri dalam karya, bagaimana ia mempengaruhi pembaca? Apakah reaksi yang diterima daripada pembaca?

Saya secara penuh sedar mengetengahkan budaya, cara hidup, dan pemikiran kaum India dalam karya. Selain watak dan budaya Tamil, saya tampilkan juga budaya Malayali, Telugu, dan minoriti lain yang kurang dikenali dalam Sastera Kebangsaan. Sejak awal – sejak menyertai Minggu Penulis Remaja pada Ogos 1991 – saya mendapat galakan daripada Dr. Othman Puteh, Datuk A. Samad Said, Dr. Anwar Ridhwan, Pak Ali Majod, dan ramai lagi tokoh yang menyokong langkah saya menampilkan budaya kaum India dalam karya. Rakan-rakan pembaca pelbagai kaum juga menyambut baik usaha saya kerana mereka juga mahukan sesuatu yang unik dan baharu dalam bahan bacaan Bahasa Malaysia.

 

8. Apa yang mendorong anda untuk terus menulis walaupun tiada pendapatan lumayan melalui bidang penulisan?

Pertama, sebagai seorang pengkaji dan penulis sepenuh masa, ia memberikan kepuasan jiwa dan mental kepada saya walaupun memang mustahil untuk menjadi kaya dengan menulis dan menerbitkan karya Bahasa Malaysia. Kedua, dorongan yang diterima daripada rakan-rakan dalam bentuk sumbangan modal sosial (social capital) apabila saya mahu menerbitkan karya dalam bentuk buku. Walaupun tidak membawa apa-apa keuntungan dalam bentuk kewangan, dua faktor ini – kepuasan jiwa dan mental, serta sokongan rakan-rakan – terus mendorong saya untuk menulis.

9. Apakah karya terkini anda yang sedang diusahakan? Berikan sedikit maklumat dan cabaran dalam menyiapkannya.

Sejak 1 November 2023, saya sedang mengusahakan sebuah kumpulan esei/rencana untuk diterbitkan pada Februari 2024 – maklumat di sini. Saya memilih esei-esei lama yang tersiar di pelbagai portal dalam talian (online portal) tetapi belum dibukukan. Memang banyak bahan, maka saya sedang memilih, menyunting, dan kemas kini sejumlah esei yang dirasakan masih segar dan sesuai untuk disajikan kepada rakan-rakan pembaca. Cabaran terbesar, seperti biasa, adalah usaha mendapatkan sokongan rakan-rakan dalam bentuk modal sosial.

 

10. Ramai yang mempunyai aspirasi (cita-cita) untuk menjadi seorang penulis seperti anda. Apakah tips yang boleh anda kongsikan kepada mereka?

Tips yang diberi amat klise tetapi amat penting: Membaca. Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan bengkel penulisan sejak tahun 1994, saya sering bertemu peserta yang mahu menjadi penulis tetapi mereka kurang membaca dalam mana-mana bahasa. Malah, ada pula individu yang mahu menjadi penulis karya Bahasa Malaysia tetapi mengaku tidak pernah dan tidak berminat membaca buku Bahasa Malaysia! Maka, sesiapa yang berminat atau bercita-cita mahu menjadi penulis, mulakan dengan perkara paling asas: Membaca.

[Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau berpengalaman mengendalikan program galakan membaca dan bengkel penulisan di seluruh negara sejak tahun 1994 – biodata penuh]