Putera Siam

Suara tangisan anak kucing memecah kesunyian pada suatu siang. Tangisan anak kucing yang berpanjangan rupa-rupanya datang dari belakang rumah. Anak kucing yang berbulu kelabu perak dan memiliki mata berwarna biru sedang mengiau di dalam longkang kecil di belakang bahagian dapur. Kelihatan air mata sedang mengalir dari mata biru yang berbentuk badam. 

Anak kucing berbaka Siam yang dijumpai di longkang pada hari itu telah diselamatkan oleh Manju. Kini, anak kucing itu bukan lagi kucing gelandangan. Aarya Mani ialah nama yang diberikan kepadanya. Anak kucing yang berumur enam bulan itu dijaga seperti anak sendiri oleh Manju.

Manju seorang wanita yang berumur 30-an dan bekerja sebagai seorang guru. Beliau duduk berseorangan di ibu kota. Suami dan anak lelakinya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya dua tahun lepas. Sejak itu, hidup Manju menjadi sunyi dan tidak ceria seperti dahulu. 

Kedatangan Aarya dalam hidup Manju bagaikan satu nikmat yang tidak boleh dilupakan. Kucing jantan berbaka Siam itu menjadi peneman hidup. Tiap kali dia menatap wajah Aarya, dia terbayang wajah anak lelakinya yang tiada bersama sekarang. 

Sudah hampir lapan bulan Aarya tinggal bersama Manju. Aku lihat Manju kerap mendukung Aarya seperti seorang bayi dan berjalan-jalan di halaman rumah. Anak kucing itu sudah pun besar dan cukup sihat. Bulu kelabu perak yang bersih dan mata biru yang terang menjadikan Aarya kelihatan sungguh comel dan menawan.  

“Apakah maksud Aarya Mani?” tanyaku pada Manju.

“Oh, dalam bahasa Sanskrit, Aarya bermaksud seorang yang berhati mulia dan Mani pula bermaksud permata,” balas Manju sambil membetulkan loceng pada leher Aarya. 

Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata Manju. Aku lihat terdapat beberapa bungkus makanan kucing tersusun rapi di sebuah rak di halaman rumahnya. Taste of the Wild, Carnilove dan Cindy’s Recipe antara nama yang tercatat atas beberapa bungkusan itu. 

Di sebelah kiri halaman rumah, terdapat sebuah almari kaca yang agak besar. Aku teruja melihat struktur almari itu kerana kelihatan begitu eksklusif. Rupa-rupanya, itu adalah sangkar kucing yang dipanggil banglo kucing.

Banglo kucing yang dilihat tadi  merupakan hasil idea Manju sendiri untuk Aarya Mani. Terdapat ruang untuk tidur dan bermain serta dilengkapi penyaman udara. Malah, banglo kucing itu juga mempunyai tangga mini dan tingkap kaca untuk melihat dari dalam dan luar. 

Aku berasa kagum melihat Manju. Kasih sayangnya untuk Aarya yang tidak berbelah bagi telah mengembalikan keceriaan dalam hidupnya. Aarya juga sangat bertuah dapat berkongsi hidup dengan seorang ibu seperti Manju. 

“Dia yang mengasihani haiwan tidak kira kucing atau apa-apa sahaja akan sentiasa dilindungi di dunia dan akhirat,” bisik hatiku. 

[Malini Lakshmi Bai lahir dan membesar di Kuala Lumpur. Pada tahun 2012, beliau menyambung pengajian tinggi dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak bangku sekolah. Pada tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar, pertandingan debat, dan syarahan. Kini, beliau berkerjaya sebagai guru bahasa Inggeris dan penyelia di sebuah pusat pembelajaran bahasa. Malini juga menggalas jawatan penolong setiausaha dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Hasil karya beliau termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022) dan di portal Sastera Kavyan. Karya bahasa Inggeris pula diterbitkan di laman Eksentrika. Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]