Kita dan Televisyen

Mungkin tajuk rencana ini agak ketinggalan dan perkataan televisyen atau tv itu sendiri sudah menjadi janggal dan jarang disebut sekarang. Kemajuan masa kini telah mengubah segala cara penggunaan alat komunikasi serta hiburan, termasuk televisyen.

Peti televisyen hitam putih mula diperkenalkan ke dunia pada tahun 1920-an di Amerika dan di Eropah, namun penggunaan secara domestik hanya bermula pada tahun 1950-an. Masyarakat dunia sebelum ini, yang hanya menikmati lagu melalui corong radio dan wayang gambar di pawagam, mula menikmati satu lagi alat hiburan yang dinamakan televisyen. Bunyi seiring dengan gambar bergerak boleh ditonton dengan mudah dari rumah dengan menggunakan antena di luar dan dalam rumah. 

Televisyen yang menyiarkan gambar bergerak dalam hitam putih, dikeluarkan dalam pelbagai bentuk dan jenama. Jenama National (Panasonic) dan Philips yang memulakan perniagaan televisyen mereka pada tahun 1950-an masih beroperasi hingga kini. Dari tahun ke tahun, reka bentuknya diubah suai dan cara penggunaannya diperbaiki untuk meneruskan jualan di pasaran.

Televisyen menjadi kesukaan ramai dan menjadi amat penting. Ia seperti menjadi salah satu anggota keluarga di setiap rumah. Walaupun harganya agak mahal dan bukan semua mampu membeli pada peringkat awal, namun ia dijadikan mampu milik dengan adanya sistem bayaran ansuran.

Di Malaysia, siaran televisyen dilancarkan pada 28 Disember 1963. Setelah beberapa tahun kemudian, siaran berwarna pula dilancarkan pada 28 Disember 1978. Siaran rancangan RTM menjadi warna sepenuhnya pada tahun 1982. Kita hanya mempunyai dua saluran ketika itu, sehingga TV3 muncul pada tahun 1984. Dengan dua saluran itu jugalah pelbagai rancangan ditonton, baik yang tempatan mahupun dari luar negara.

Televisyen hanya mendapat tempat di rumah kami pada tahun 1978. Philips 14 inci hitam putih itu dibeli oleh bapa di Singapura. Walaupun saiznya agak kecil, televisyen itu telah menemani kami sehingga tahun 1986; sebelum televisyen berwarna mendapat tempat di rumah.

Memiliki peti televisyen di rumah ketika itu merupakan kebanggaan setiap ahli keluarga. Setiap rancangan ke udara akan dijadikan topik perbincangan di sekolah atau di mana-mana sahaja.

Selain berita, siaran bersiri seperti Combat, Charlie’s Angels, ChiPs, Little House on the Prairie, Hawaii Five-O dan rancangan muzikal Donny and Marie menjadi kegemaran ramai. Rakyat Malaysia bersatu dalam menonton rancangan televisyen yang sama ketika itu.

Apabila siaran televisyen berbayar Astro muncul pada awal tahun 1996, secara perlahan-lahan rakyat Malaysia mula menikmati lebih banyak rancangan dari luar negara. Masing-masing kaum mula menonton rancangan  dalam bahasa kegemaran mereka yang didatangkan dari India, China, Hong Kong, Indonesia dan negara-negara lain.

Astro gigih menambah banyak saluran baharu dari luar negara dan juga tempatan, setiap tahun. Setiap pakej saluran dikenakan bayaran tertentu hingga boleh mencecah lebih daripada RM200 sebulan, kecuali pakej Njoy yang disiarkan tanpa dikenakan bayaran bulanan.

Menonton televisyen pada masa sekarang tidak menjadi suatu kemestian lagi. Walaupun televisyen masih ujud di ruang tamu di semua rumah, namun rakyat Malaysia dan dunia lebih gemar menonton siaran pilihan mereka di telefon bimbit. Media sosial seperti YouTube, Facebook dan TikTok menyajikan pelbagai hiburan dan didikan di hujung jari. Malah siaran berbayar seperti Astro, Netflix, Prime Amazon dan Disney hotstar, juga boleh dilayari di telefon pintar/android dan televisyen pintar/android.

Pelbagai usaha dilakukan oleh syarikat-syarikat pengeluar televisyen dengan mengubah suai televisyen mereka kepada LED, 4K, OLED dan CURVED OLED. Pembaharuan ini walaupun diterima oleh masyarakat dunia, namun ‘kegilaan’ untuk memiliki sebuah peti televisyen tidak akan sama seperti pada suatu waktu dahulu.

(Karya ini disiarkan tanpa suntingan sebagaimana diterangkan di sini]

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]