Dalam sejarah penerbitan Sastera Kebangsaan, ada usaha
yang lahir dengan sokongan institusi besar, dan ada pula yang terpaksa bergerak
secara mandiri demi mempertahankan prinsip.
Perjalanan Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) dalam mengusahakan penerbitan
antologi sejak lebih dua dekad lalu tergolong dalam kategori kedua.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, usaha ini
membuktikan bahawa kecintaan terhadap Bahasa Malaysia dan Sastera Kebangsaan mampu mengatasi
kekangan kewangan, birokrasi, dan keterbatasan sumber.
Perjalanan ini sebenarnya bermula lebih awal daripada
penerbitan antologi pertama oleh Kavyan. Pada tahun 1999, manuskrip antologi
cerpen Seutas Rantai Loceng Suasa yang memuatkan 15 cerpen Bahasa
Malaysia oleh enam penulis kaum India telah diluluskan untuk
diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Malangnya, projek berkenaan terpaksa dibatalkan
apabila istilah “Bahasa Malaysia” yang digunakan dalam Prakata tidak dibenarkan
oleh DBP. Prinsip yang dipegang lebih penting daripada melihat buku itu
diterbitkan dalam keadaan terpaksa mengorbankan pendirian. [Baca kisah penuh]
Peristiwa itu menjadi titik tolak kepada keyakinan
bahawa usaha memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan tidak semestinya bergantung
sepenuhnya kepada mana-mana institusi. Dengan semangat itu, Kavyan yang
diasaskan pada Ogos 1999 mula mengusahakan penerbitan antologi secara
berdikari.
Hasilnya, lahirlah Vanakam (2002), diikuti Busana
Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022), dan Seruling Malam (2024).
Setiap antologi bukan sekadar himpunan karya kreatif tetapi juga rekod penting
tentang penglibatan penulis kaum India dan penulis pelbagai kaum dalam
memperkaya Sastera Kebangsaan melalui karya Bahasa Malaysia.
Lebih menarik, projek-projek ini tidak bergantung
kepada geran kerajaan atau dana daripada institusi besar. Sebaliknya,
penerbitan dilakukan secara berdikari dengan semangat gotong-royong. Penulis
sendiri terlibat dalam proses penulisan, pembaikan manuskrip, penyuntingan,
promosi, pemasaran, malah pengedaran buku kepada pembaca. Model sebegini
menuntut komitmen yang jauh lebih besar berbanding sekadar menghasilkan karya.
Sebagai penyelenggara, saya bukan sahaja menyunting
manuskrip, malah membimbing penulis melalui sesi perbincangan dan bengkel
supaya setiap karya mencapai mutu yang lebih tinggi. Pendekatan ini membuka
ruang kepada penulis baharu untuk belajar secara langsung, sambil memberi peluang
kepada penulis mapan terus mengembangkan kreativiti mereka.
Kini, usaha Kavyan diteruskan menerusi projek antologi
Caritra.
Antologi ini bakal menghimpunkan 20 cerpen Bahasa Malaysia hasil karya lima
penulis kaum India yang terus aktif menghasilkan karya bermutu.
Lebih istimewa, projek ini menggunakan pendekatan modal sosial yang saya gunakan bagi
penerbitan buku-buku saya di mana
orang ramai tampil memberikan sumbangan bagi menampung sebahagian kos
penerbitan.
Sebagai tanda penghargaan, nama penyumbang
disenaraikan di blog dan dalam buku. Para
penyumbang akan menerima naskhah buku apabila antologi Caritra diterbitkan.
Pendekatan ini membolehkan masyarakat menjadi sebahagian daripada proses
memperkaya Sastera Kebangsaan, bukan sekadar menjadi pembaca.
Sudah tentu, mengusahakan penerbitan secara bebas
bukan tugas yang mudah. Kos penyuntingan, reka letak, reka bentuk kulit,
percetakan, ISBN, promosi, penghantaran buku, dan pelbagai urusan pentadbiran
perlu ditanggung tanpa jaminan pulangan kewangan.
Pada masa yang sama, usaha mencari penulis yang
benar-benar komited juga merupakan cabaran berterusan. Ada projek yang terpaksa
ditangguhkan atau diubah suai kerana jumlah peserta tidak mencukupi, manakala
setiap antologi memerlukan masa berbulan-bulan untuk disiapkan sehingga
mencapai mutu yang diharapkan.
Namun begitu, segala cabaran itu menjadi lebih ringan
apabila ada individu yang percaya dengan perjuangan Kavyan. Para penulis yang
sanggup menerima kritikan membina, penyumbang yang menghulurkan bantuan
kewangan, pembaca yang membeli buku, serta rakan-rakan yang membantu
mempromosikan antologi, semuanya memainkan peranan penting. Setiap bentuk
sokongan, sama ada besar atau kecil, menjadi pemangkin kepada kesinambungan
usaha yang telah berlangsung selama lebih dua puluh tahun.
Signifikan projek-projek penerbitan ini jauh
melangkaui penerbitan buku semata-mata. Antologi terbitan Kavyan memperlihatkan
bahawa Bahasa Malaysia ialah bahasa milik seluruh rakyat Malaysia.
Penulis daripada pelbagai latar budaya menggunakan
bahasa yang sama untuk merakam pengalaman, imaginasi, nilai, dan pandangan
hidup komuniti masing-masing. Kepelbagaian inilah yang menjadikan Sastera
Kebangsaan lebih kaya, lebih luas, dan lebih mencerminkan realiti masyarakat
Malaysia.
Pada masa sama, projek antologi seperti ini membina
ekosistem sastera yang sihat. Penulis baharu dibimbing sehingga mampu
menghasilkan karya yang lebih bermutu, manakala pembaca memperoleh bahan bacaan
yang menawarkan perspektif pelbagai budaya.
Dalam jangka panjang, usaha Kavyan membantu melahirkan
lebih ramai pengarang yang yakin berkarya dalam Bahasa Malaysia tanpa mengira
kaum atau bahasa ibunda.
Orang ramai juga boleh terus membantu dengan pelbagai
cara. Membeli dan membaca antologi ialah sokongan paling asas tetapi amat
bermakna. Selain itu, pembaca boleh memperkenalkan buku-buku terbitan Kavyan
kepada keluarga, rakan, dan perpustakaan, selain berkongsi maklumat melalui
media sosial, menghadiri program anjuran Kavyan, serta menyumbang kepada projek
penerbitan seperti Caritra.
Sokongan moral, sumbangan modal sosial (kewangan), dan
promosi daripada masyarakat akan memastikan lebih banyak karya bermutu dapat
diterbitkan oleh Kavyan pada masa hadapan.
Pengalaman dan sejarah penerbitan antologi Kavyan
membuktikan bahawa semangat tidak pernah bergantung kepada besar atau kecilnya
sesebuah organisasi.
Berbekalkan keazaman, kesungguhan, dan sokongan
masyarakat, penerbitan yang bermula daripada cita-cita segelintir individu
mampu berkembang menjadi satu gerakan yang memperkukuh Sastera Kebangsaan.
Setiap antologi yang diterbitkan oleh Kavyan bukan
sekadar sebuah buku, sebaliknya lambang keyakinan bahawa Bahasa Malaysia akan
terus hidup subur apabila diperkaya oleh suara, pengalaman, dan imaginasi
seluruh Bangsa Malaysia.
* * * * *
Mahu mengirim karya ke portal Sastera
Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK
Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward VII, Taiping sebelum
mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya.
Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991.
Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan blog peribadi. Baca biodata penuh]



Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.