Puisi: Sayang Wang Wang

Di hujung lorong kota Jieyang,
Seekor ibu menumpang kehidupan,
Tidak pernah meminta kemewahan,
Hanyasedikit ruang untuk terus bertahan.

Di celah lorong yang suram dan sepi,
Dibinanya kamar daripada harapan,
Tubuh kurus terus menjadi benteng,
Bagi permata yang baru mengenal dunia.

Dia percaya pada rasa empati manusia,
Pada tangan yang pernah menghulur makanan,
Gagal mengerti hakikat dunia ini,
Ada tangan lebih kejam daripada duri.

Lalu muncul bayang-bayang tanpa kemanusiaan,
Muda usianya namun sungguh dalam kebencian,
Andai syaitan mampu menitik air mata,
Hari itu syaitan sendiri menundukkan pandangan.

Tubuh yang lemah didera tanpa belas,
Mata yang jernih dipadamkan cahaya,
Apakah dosa seekor ibu anjing,
Yang hanya mengenal erti kasih dan setia?

Api dinyala pada tubuh bernyawa,
Genggam bara membakar bulu halus dan kulit,
Langit menjadi saksi kekejaman manusia,
Tanah bumi menyambut abu dengan pilu.

Namun dalam launtan kesengsaraan,
Ibu anjing tetap tidak mementingkan diri,
Dia merangkak ke arah permatanya,
Melawan setiap denyut kesakitan.

Setiap langkah yang digagahi,
Umpama jerit yang tidak terucap,
Setiap  nafas yang berbaki,
Adalah cinta seorang ibu yang tidak pernah pudar.

Di hadapan mata yang hampir terpadam,
Satu per satu nyawa permatanya diragut,
Tiada bahasa di dunia mampu menafsir ratapan itu,
 Seluruh dunia gegar mendengar bisunya.

Kami menjadi saksi dari kejauhan,
Terlambat seperti seringnya manusia,
Air mata merentas dunia dan sempadan,
Namun gagal memadam bara seekor ibu.

Undang-undang apakah yang mampu membelamu?
Mahkamah manakah yang mendengar suaramu?
Jika dunia gagal menghukum kezaliman,
Api karma pasti menyala akhirnya.

Wang Wang, namamu kini menjadi doa dunia,
Bersama permata kesayanganmu kembali kepada Pencipta,
Harap abumu membangkitkan nurani manusia,
Semoga tiada lagi nyawa dijilat oleh kezaliman.

* * * * *

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Malini Lakshmi Bai dilahirkan di Kuala Lumpur pada 31 Julai 1992. Minat beliau terhadap bahasa dan kesusasteraan bermula sejak persekolahan dan pernah meraih johan serta naib johan dalam pertandingan debat, syarahan, dan forum pelajar. Malini terlibat secara aktif dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sejak tahun 2021. Karya-karyanya boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Kini, beliau berkhidmat sebagai editor pengurusan di My Aviation Magazine. Baca: Biodata penuh]

Ulasan