Cerpen
“Dalam Kegelapan Malam” karya M. Mahendran disiarkan di portal Sastera Kavyan pada 3 dan 7 Julai
2026. Ia menampilkan sebuah kisah yang kelihatan sederhana tetapi dibangunkan
melalui teknik penceritaan yang cermat dan berlapis.
Pengarang
tidak bergantung kepada peristiwa sensasi, sebaliknya memanfaatkan konflik
psikologi seorang lelaki yang berhadapan dengan kesan daripada kesilapan
sendiri.
Pembaca
dibawa menyelami pergolakan batin watak “Aku” sebelum mengetahui punca sebenar
yang menyebabkan dia berada dalam keadaan cemas di hospital. Pendekatan ini
menjadikan cerpen lebih berkesan kerana tumpuan diberikan kepada proses
psikologi, bukannya semata-mata kepada kemalangan yang berlaku.
Keistimewaan
paling ketara ialah penggunaan struktur naratif yang tidak linear. Cerpen
dibuka pada penghujung kronologi iaitu ketika watak utama sedang menunggu di
luar bilik kecemasan hospital. Pembaca tidak mengetahui sebab dia berada di
situ, lalu timbul pelbagai persoalan.
Teknik
analepsis atau imbas kembali digunakan secara beransur-ansur untuk mendedahkan
peristiwa yang membawa kepada detik tersebut. Maklumat diberikan sedikit demi
sedikit sehingga pembaca akhirnya mengetahui bahawa watak utama memandu dalam
keadaan mabuk lalu melanggar seorang penunggang motosikal. Pendedahan yang
tertangguh ini berjaya mengekalkan unsur saspens sehingga penutup cerita.
Selain
itu, Mahendran turut memanfaatkan teknik monolog dalaman secara intensif.
Hampir keseluruhan bahagian awal cerpen “Dalam Kegelapan Malam” dipenuhi suara
hati watak utama yang silih berganti antara penafian, penyesalan, kemarahan
terhadap diri sendiri, dan usaha menyandarkan kesalahan kepada takdir.
Ucapan
seperti “Bukan salahku” berubah menjadi pengakuan bahawa dirinya sebenarnya
cuai. Pergelutan dalaman ini menggambarkan proses psikologi manusia yang lazim
berlaku apabila berhadapan dengan kesalahan besar. Pembaca bukan sekadar
mengetahui apa yang berlaku, malah turut merasai kekusutan emosi watak itu.
Pengarang
juga berjaya menggunakan unsur simbolik untuk memperkukuh kesan cerita. Cahaya
putih yang berulang kali muncul itu saya tafsirkan sebagai bukan sekadar cahaya
lampu hospital atau lampu kenderaan, tetapi melambangkan kekeliruan, rasa
bersalah, dan tekanan mental yang sedang dialami oleh watak utama.
Bayangan
manusia yang terapung, botol-botol arak yang seolah-olah hidup, serta
penglihatan yang kabur memperlihatkan kesan mabuk yang bercampur dengan rasa
cemas. Simbol-simbol ini menjadikan pengalaman psikologi watak “Aku” lebih
nyata tanpa memerlukan penerangan panjang.
Dialog
dalam cerpen pula ringkas tetapi berfungsi dengan baik untuk membentuk watak.
Perbualan antara Raj (“Aku”) dan isterinya, Nisha, memperlihatkan perbezaan
pandangan tentang budaya minum arak.
Nisha
bersikap berhati-hati dan cuba menghalang suaminya daripada menghadiri majlis
yang bakal diiringi minuman keras, manakala Raj terlalu yakin bahawa dia mampu
mengawal diri. Dialog tersebut menjadi petanda awal atau foreshadowing
terhadap tragedi yang bakal berlaku. Pembaca kemudian menyedari bahawa
kebimbangan Nisha memang berasas.
Aspek
budaya masyarakat India dipersembahkan secara organik tanpa kelihatan seperti dipaksa-paksa.
Identiti kaum dipaparkan melalui nama watak seperti Raj, Nisha, dan Ram, selain
Dewa Vinayagar sebagai tempat watak “Aku” memohon perlindungan.
Unsur-unsur
ini menunjukkan kehidupan keagamaan masyarakat India-Hindu sebagai sebahagian
daripada rutin harian, bukannya sekadar hiasan budaya. Kepercayaan kepada Tuhan
sebagai penentu nasib dan tempat memohon pertolongan muncul secara semula jadi
melalui monolog watak utama.
Pengarang
juga memperlihatkan budaya masyarakat India bandar yang bersifat majmuk.
Sambutan hari jadi berlangsung di restoran Cina dengan hidangan makanan Cina,
sementara para tetamu terdiri daripada rakan-rakan pelbagai latar belakang.
Gambaran ini mencerminkan realiti masyarakat Malaysia yang hidup dalam suasana
silang budaya.
Walaupun
Raj mengakui lidahnya lebih biasa dengan masakan India, dia tetap menikmati
majlis yang diadakan dalam ruang budaya masyarakat lain. Kehadiran pelbagai
budaya dalam satu latar cerita menjadi gambaran kehidupan masyarakat Malaysia
yang saling berinteraksi tanpa menghilangkan identiti masing-masing.
Pada
masa sama, cerpen ini turut mengetengahkan satu sisi budaya sosial yang semakin
biasa dalam sebahagian masyarakat India moden, iaitu pengambilan minuman
beralkohol ketika meraikan sesuatu majlis. Pengarang tidak menghukum budaya
tersebut secara langsung, sebaliknya menunjukkan kesan atau akibat apabila
seseorang gagal mengawal diri.
Watak
“Aku” pada mulanya menetapkan had untuk minum, namun akhirnya tunduk kepada
pujukan rakan-rakan. Tekanan rakan sebaya atau peer pressure menjadi
faktor penting yang membawa kepada kemalangan. Melalui pendekatan ini, cerpen
menyampaikan kritikan sosial secara halus tanpa bersifat mengajar.
Dari
sudut pemikiran, cerpen “Dalam Kegelapan Malam” mengangkat persoalan tentang
tanggungjawab individu terhadap pilihan sendiri. Pada awalnya, “Aku” (Raj)
berusaha menyalahkan keadaan, rakan-rakan, dan takdir. Namun, perkembangan
cerita menunjukkan bahawa setiap keputusan yang dibuat mempunyai akibat.
Pengarang
memperlihatkan bahawa manusia sering mencari alasan untuk mempertahankan maruah
diri sebelum akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa kesalahan itu berpunca
daripada diri sendiri. Pemikiran ini menjadikan cerpen lebih mendalam daripada
sekadar kisah kemalangan jalan raya.
Teknik
penceritaan turut diperkukuh melalui penggunaan pemerian yang ekonomis tetapi
berkesan. Pengarang tidak menghuraikan latar secara berlebihan. Sebaliknya,
beberapa perincian seperti hujan yang tidak berhenti, jalan yang gelap, cahaya
lampu yang menyilaukan, dan darah mangsa sudah cukup membina suasana tegang.
Penggunaan ayat pendek pada bahagian awal juga mempercepatkan rentak pembacaan
serta menggambarkan keadaan fikiran watak yang bercelaru.
Pada
pemerhatian saya, cerpen “Dalam Kegelapan Malam” berjaya menggabungkan struktur
naratif tidak kronologi, monolog dalaman, simbolisme, dan unsur saspens secara
berkesan. Budaya masyarakat India dipersembahkan melalui identiti agama,
hubungan kekeluargaan, pergaulan sosial, dan realiti kehidupan masyarakat
bandar yang berbilang budaya.
Selain
itu, Mahendran menerusi cerpen ini cuba mengemukakan renungan tentang
tanggungjawab, pilihan hidup, dan kesan kecuaian manusia. Gabungan teknik
penceritaan yang matang dengan persoalan kemanusiaan yang bersifat sejagat
menjadikan cerpen ini bukan sahaja menarik dari sudut estetik, malah
meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.
* * * * *
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Uthaya Sankar
SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan
SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan
sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan
Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan blog peribadi.
Baca biodata penuh]


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.