Cerpen: Dalam Kegelapan Malam (Bahagian 1)

Cahaya putih datang bertalu-talu. Silau. Mengganggu pergerakan. Selalunya tidak. Kali ini aku sendiri tidak faham bagaimana terjadi begini. Adakah ini adalah sebenar-benarnya diriku atau aku sudah menjadi orang lain?

Aku menunggu di luar. Jantungku berdegup kencang. Seluruh badanku basah. Aku tidak pasti itu peluhku atau air hujan. Aku tidak dibenarkan masuk lalu disuruh duduk di luar bilik dengan tenang. Tetapi aku tidak dapat berbuat demikian.

Hidupku akan berubah 360 darjah selepas ini. Sudah dapat dibayangkan apa akan terjadi nanti. Pandangan orang terhadapku akan berbeza.

Mataku berpinar-pinar. Cahaya di hadapan menusuk-nusuk mataku. Pandangan menjadi silau dan kabur. Tangan dilepaskan. Kemudian dipegang erat-erat. Tidak tahu ke mana aku sedang menghala; seolah-olah telah lupa.

Aku tidak sepatutnya rasa bersalah. Bukan salahku. Salah mereka yang melibatkan aku dengan tidak semena-menanya. Jika tidak, sudah tentu tidak terjadi perkara sebodoh dan sekutuk ini. Jika orang lain, pasti sudah melepaskan diri. Bukan salah aku?

Aku tahu akan risiko yang akan dihadapi nanti; aku redha sahaja. Tuhan yang menentukan segala-galanya. Dia tahu siapa baik dan siapa bukan. Malah, kejadian tadi sudah tentu adalah juga permainan-Nya untuk menguji kesabaran dan ketabahanku. Permainan Dia?

Ada sesuatu melintas di hadapan. Ia seakan-akan menyerupai manusia tetapi bukan manusia. Ia terawang-awang di udara. Tidak putih dan juga tidak hitam. Tidak tahu apa warna sebenarnya. Kepalaku menjadi berat. Cahaya putih silau mengganggu perjalanan.

Vinayagar yang aku sembah saban hari pasti tidak akan melepaskanku begitu sahaja. Sudah tentu ada jalan penyelesaian. Sedangkan anjing jalanan yang tidak bertuan tahu meneruskan kehidupan hariannya, inikan pula manusia seperti aku.

Muncul wajah Nisha. Kemudian menghilang. Kemudian muncul lagi Nisha berlari-lari dengan anak lelaki kami yang baru berusia tujuh bulan. Cahaya putih yang menyilaukan mata; bayangan berupa manusia terawang-awang di udara di tengah malam yang gelap pekat. Semua muncul di hadapan untuk menghalang perjalananku.

Tuhan yang mencipta masalah, sudah tentu telah menyediakan jalan penyelesaiannya juga. Aku tidak boleh mengalah. Di masa-masa  beginilah aku perlu buktikan betapa cekalnya diriku menghadapi ujian Tuhan. Ujian Tuhan?

Kejadian ini sudah tentu tidak terjadi jika aku tidak ke sana tadi. Memang aku perlu mengakui kebodohanku. Manalah aku tahu ia akan terjadi. Jika manusia tahu apa akan berlaku pada masa hadapan, sudah tentu segala kejadian buruk dapat dielakkan. Tuhan tidak sediakan kelebihan seperti itu untuk manusia.

Kini aku terbayangkan pula kumpulan botol-botol besar berlabel hijau, berlabel biru dan botol hitam. Kesemua botol dilonggokkan di atas meja bulat. Beratus-ratus botol terbuka sendiri muncungnya tanpa pertolongan manusia. Buih meluap-luap keluar dari setiap muncung. Baunya memanggil-manggil aku untuk meneguk setiap isi kandungan botol tanpa henti. Botol-botol penuh berisi itu turun dari meja lalu mengejar aku. Lintang-pukang aku berlari dari situ.

Aku berjalan ke hulu dan ke hilir. Mereka yang bertugas dan pengunjung di situ melihat aku dengan rasa pelik. Dan aku sendiri dapat melihat kelakuanku dari jauh. Seolah-olah yang berjalan mundar-mandir itu bukan diriku yang sebenar; mengalahkan kucing mahu beranak. Sesiapa yang dalam situasiku akan faham keadaan sebenar apa aku sedang mengalami sekarang.

“Saya malas mahu ikut, Raj. Awak sahajalah yang pergi.”

Sejak semalam Nisha berkata demikian ketika aku mengajaknya ke sambutan harijadi Ram.

“Bawa sajalah Boy tu. Dia bukannya masih kecil lagi.”

“Awak suruh saya bawa baby kecil kita ini ke tempat besar yang bising, tu?”

“Bukan lama pun. Dah siap makan, kita baliklah.”

Memang pelik perangai perempuan. Langsung tidak mahu memahami perasaan seorang suami. Ram bukan baru dikenali. Ram adalah rakan sekelas kami. Aku, Ram dan Nisha saling mengenali sejak tingkatan empat lagi.

“Saya tahu perangai awak. Cakap tak serupa bikin.”

“Apa yang awak merepek, ni?”

“Saya tahulah bagaimana cara  awak semua menyambut harijadi. Bukan baru saya lihat.”

“Dah tahu pun bagaimana cara kita akan raikan harijadi seorang kawan, apa yang mengganggu kamu sekarang, Nisha?”

“Awak akan minum. Awak mahu saya bawa baby ini ke tempat macam itu?”

“Saya mana pernah minum sampai mabuk. Tak payah risau.” – (Bersambung pada 7 Julai 2026)

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera KavyanEksentrika, Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]