Thaali yang diperbuat daripada tali kuning kunyit perlahan-lahan menghiasi leherku dan bergantung di bahagian hadapan sari berwarna hijau pada dadaku. Sungguh cantik. Kegembiraan aku tidak terkata pada saat itu. Air mata menuruni pipi hingga aku tidak mahu menyekanya. Aku sungguh gembira.
Ibu bapa, adik beradik, saudara mara serta semua sahabat
handai menaburkan beras kunyit dan bunga pelbagai jenis warna di atas kami.
Semua merestui perkahwinan kami. Hari yang sungguh gembira. Hari yang tidak
boleh aku lupai untuk seumur hidup.
Mana tidak gembiranya, umurku sudah melebihi usia
perkahwinan. Tahun ini umurku sudah pun mencecah 29 tahun. Tidak sangka, aku
akan berkahwin juga.
Malam ini adalah malam pertamaku – kami. Seperti suatu
adegan dalam filem, aku ditolak masuk ke dalam bilik tidur yang akan
berlangsung kegiatan malam pertama.
Jantungku berdebar, berbaur dengan perasaan takut dan
gembira.
Dia-suamiku kelihatan duduk di atas katil memakai jippa
kuning dan veshti putih. Kelihatan buah epal, oren, anggur dan beberapa
setanggi dicucuk pada dua biji pisang yang terletak di atas sebuah meja kecil
sebelah katil.
Aku masih menggigil memegang cawan keluli berisi susu
lembu.
Bunga melur di kepalaku sungguh mengharumkan. Ia
menimbulkan perasaan luar biasa dalam diriku. Adakah keghairahan menyelubungi
diriku? Suamiku sedang duduk di atas katil sederhana besar yang dihiasi dengan
bunga-bungaan pelbagai warna. Mahu sahaja aku melompat di atas katil empuk itu.
Kipas sedang berpusing dengan laju tepat
di atas kelambu. Bilik itu masih terasa panas.
Aku tidak tahu
bagaimana mahu memulakan perbualan dengan lelaki yang digelar suami ini. Aku
berasa ghairah, takut dan bersyukur. Tidak pasti apa sebenarnya sedang terjadi
dengan diriku.
Aku
masih berdiri di tengah-tengah bilik, menanti untuk dipanggil duduk di sebelahnya. Bolehkah aku terus pergi duduk di
sebelahnya? Bagaimana jika dia marah. Dan aku juga perlu tunduk dan sujud pada
kakinya seperti dalam wayang gambar.
Oh,
aku terlupa sesuatu. Aku berjalan ke
arah pintu dan menguncinya. Oh, kelihatan suamiku sedang membaca buku.
Tadi tidak dapat dilihat kerana dilindungi dengan kain veshti. Dia mendongak
memandang aku.
Dengan
memegang cawan keluli susu di tangan kanan, aku membetulkan sari dan blaus
dengan tangan kiri.
“Boleh
saya datang?”
“Hm
…”
Mengapa
suamiku kelihatan lain macam sahaja pada malam ini? Sepatutnya dia gembira.
Ketika dia datang ke rumah kami semasa merisik dan bertunang pun, dia tidak
banyak bercakap. Dia cuma menguntumkan senyuman sahaja.
Adakah
dia memang begini pada setiap kali?
Rupa
suamiku sungguh kacak, menyerupai wajah pelakon Tamil, Gemini Ganesan.
Tetapi, mengapa dia perlu malu dan segan
untuk bercakap denganku? Aku tidak faham.
“Athaan,
minumlah susu,” aku menghulurkan cawan kepadanya.
Aku
ingatkan dia akan menyambutnya dan akan minum separuh dan akan menyuruh aku
menghabiskan susu selebihnya. Dia hanya menyambut cawan daripada tanganku lalu
meletakkan di atas meja.
“Tak
minum?” tanyaku, masih berdiri.
Dia
langsung tidak menyuruhku duduk di sebelahnya. Aku pula tidak tahu mahu
bercakap apa lagi.
“Hm
… nak saya bawakan air?” tanyaku lagi seperti orang bodoh.
Dia
mendongak memandangku.
“Tak
mahu.”
Nasib
baik dia membuka juga mulut. Gembira juga aku. Dia meletakkan buku cerita
bahasa Tamil yang sedang dibacanya di atas meja kecil itu.
“Awak
suka baca buku?”
Dia
bertanya begitu, mungkin kerana aku memerhatikan kulit buku itu tadi.
“Tak
ada. Kalau nak baca pun, saya kena mengeja. Err … boleh saya sujud kaki athaan?”
“Tak
perlu.”
“Tak
perlu?”
“Hm
…”
“Boleh saya duduk sini? Sakit kaki.”
“Hm
…”
Aku
duduk di sebelahnya. Aku terbau suatu bau wangi pada badannya. Mungkin bau
minyak rambut atau krim rambut. Bau pada badannya dan bau bunga-bungaan
bercampur aduk menimbulkan suatu bau yang luar biasa menusuk hidungku.
Rambutnya disisir kemas dan sentiasa nampak basah.
Baru
aku perhatikan di suatu sudut di tepi pintu bilik terdapat sebuah rak kayu
sederhana yang dipenuhi dengan buku, majalah dan akhbar. Di sebelah rak itu terdapat sebuah kerusi dan
meja tulis. Di atas meja pula terdapat kertas-kertas tulis, pen, buku dan lampu
meja. Adakah suamiku menghabiskan gaji hasil daripada pekerjaan guru dengan
membeli buku sahaja?
“Saya
tak tahu nak cakap apa,” itu sahaja aku ucapkan. Dan aku rasa bersalah pula
kerana menyebut begitu.
“Baiklah,
tak payah cakap. Awak tidur sajalah. Saya pun mahu baca buku,” dia bercakap
dengan sungguh perlahan.
Angan-anganku
hendak menyanyi seperti Saroja Devi seperti dalam wayang gambar sebelum
menikmati malam pertama telah hancur musnah sama sekali. Mengapa dia menyuruh
aku tidur awal pada hari malam pertama. Aku tidak faham.
“Tak.
Saya tak rasa mengantuk.”
“Awak
tidur sajalah. Nanti saya pun akan tutup lampu dan tidur.”
Aku
ingat akan dapat tidur dalam dakapannya, nampaknya buku itu lebih beruntung.
Aku berasa sungguh sedih.
“Awak
pun sudah pasti letih hari ini. Baik awak tidur sahaja. Kita boleh bercakap
pagi esok,” jawabnya lalu mengambil semula buku dari meja. Dia membuka sebelah
tingkap dengan menolak keluar luas. Angin menerpa masuk. Harap nyamuk tidak
ikut masuk sama. Dia duduk bersandar dengan selesa kepala katil dan mula
membaca buku itu.
Untuk
inikah aku menangis dengan gembira ketika thali diikat pada leherku
dengan tiga simpulan? Aku berbaring di hujung katil memandang ke arah dinding.
Kali ini air mataku mengalir deras membasahi pipi. Cepat-cepat aku menyekanya.
Pagi
pukul 6.30 baru aku bangun daripada tidur. Suamiku kelihatan sedang membaca
buku di meja tulis dengan memasang lampu meja. Pelik betul perangai dia ini.
Dia tidak tidur malam tadi?
***
”Sunthari,
kamu perlu membaca. Walaupun awak tak dapat baca seminggu sebuah buku seperti
saya pun takpa, tapi kamu perlu menaruh minat untuk membaca perlahan demi
perlahan.”
Ketika
bersarapan pun suamiku bercakap pasal membaca.
“Dalam
keluarga kami, kakak dua orang dan adik perempuan seorang, semua tahu membaca
dan menulis. Mendiang bapa saya juga boleh membaca, begitu juga dengan ibu
saya. Jadi, sebagai seorang muda, awak juga perlu tahu membaca dan menulis.”
Aku
tergelak dalam hati. Rupanya aku masih muda. Tetapi itu bukan boleh
menggembirakan aku.
“Tapi,
kalau saya baca buku dengan mengeja perlahan demi perlahan, mahu satu tahun
untuk menghabiskannya!”
Tosai
minyak sapi yang dibuat oleh ibu mertuaku, bersama chutney kelapa, sungguh
sedap. Apa yang suami aku cakap tadi, langsung tidak masuk ke dalam kepalaku.
“Kalau
awak membaca setiap hari, secara semula jadi, tanpa disedari, awak tidak akan
membaca dengan mengeja lagi. Awak akan dapat membaca dengan lancar.”
Walaupun
sedang mencubit-cubit tosai dan memasukkannya ke dalam mulut, dia tetap membaca
buku di atas meja. Dan boleh menasihati aku lagi. Manusia jenis apakah dia ini?
Dengan
perasaan ragu-ragu dan bimbang sama ada malam pertama yang tidak berlaku
semalam akan berlaku atau tidak pada malam ini, aku menghabiskan hari itu
dengan melakukan kerja-kerja rumah. (Bersambung pada 9 Oktober 2026)
*
* * * *
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan?
Baca panduan dan syarat [di sini].


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.