Berita mengenai warga emas yang dibaca di laman
Facebook membuatkan Anand segera menghubungi emaknya melalui panggilan
WhatsApp.
***
Kicauan burung semakin kuat. Mereka mungkin
menari-nari atau mereka gembira melihat kemunculan matahari. Sinaran matahari
mula mewarnai daun-daun pokok bunga melur di hadapan rumah. Warna kehijauan
daun-daun itu mula menyerlah seakan-akan seorang bayi menguntum senyuman.
Jirannya, Puan Chong sedang membasuh halaman
rumah. Seorang lagi, Puan Malathi sedang bersedia menunggu van sekolah untuk
menghantar anak ke sekolah. Ada sepasang suami isteri yang sedang bersedia
untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi. Deruman motosikal itu membingit
suasa di pagi hari hampir setiap hari.
Yasotha pula keluar rumah untuk memetik
bunga-bunga melur. Setiap pagi itulah kebiasaan Yasotha. Dihadapan rumah
Yasotha ada dua batang pokok melur, sebatang pokok bunga raya berwarna merah
dan sebatang pokok semambu yang dahannya patut dicantas. Apabila hujan lebat
dahan pokok semambu menghentam sengkuap dan mengganggu suasana.
Pokok semambu jarang diberi perhatian oleh
Yasotha kecuali bila ada jiran-jiran yang menekan loceng rumah dan meminta
untuk mengambil daun semambu. Kini, ramai juga jiran-jiran dan penduduk setaman
yang sentiasa ingin mendapatkan daun semambu kerana mengetahui kebaikannya
melalui pelbagai perkongsian di YouTube dan TikTok.
Bunga raya yang mekar kelihatan cantik pada
pokoknya. Namun, Yasotha sentiasa memetik bunga-bunga itu untuk digunakan dalam
upacara sembayang hariannya. Jarang Yasotha membeli bunga untuk sembahyang
kerana halaman rumah sentiasa menyediakan pelbagai jenis bunga untuk upacara
sembahyang di rumah. Bunga-bunga itu juga dibawa ke kuil setiap pagi Jumaat.
Pada hari Jumaat, Yasotha akan ke kuil berhampiran untuk sembahyang dan membuat
archanai.
Yasotha juga kerap memberi makanan kepada
burung-burung merpati yang sentiasa menanti taburan beras di hadapan rumahnya.
Apa lagi yang boleh dilakukan oleh seorang warga emas yang tinggal berseorangan
setelah kematian suami dua tahun lepas. Ini bukan rutin baharu bagi Yasotha,
malah Yasotha sudah bertahun-tahun melakukannya.
Cuma secara kebetulan kini Yasotha menjadi
perhatian Raman, jiran yang baru berpindah ke rumah bertentangan dengan
rumahnya. Raman juga seorang yang bangun awal dan akan berjoging setiap pagi.
Bukanlah berjoging tetapi berjalan di kawasan perumahan sahaja.
Raman hanya berjalan kerana dia baru menjalani
pembedahan lutut dua bulan lepas. Apabila pulang daripada berjoging, dia akan
membeli surat khabar. Pada masa itulah, Yasotha dan Raman akan bertegur satu
sama lain.
“Apakah berita utama hari ini?” tanya Yasotha
sambil menaburkan beras untuk dimakan burung merpati.
“Macam biasa. Peperangan, isu politik,
belanjawan dan macam-macam lagi,” jawab Raman yang kelihatan masih berpeluh.
Baju T yang dipakai basah dan melekat pada badannya.
“Bukan macam dahulu, ya. Kejayaan negara sudah
tidak penting. Kalau dahulu, mesti pencapaian negara dalam sukan antarabangsa
akan dimuatkan pada muka hadapan.”
“Betul tu. Sekarang ada juga berita-berita
seperti itu tetapi di bahagian dalam. Kejayaan sukan hanya di bahagian sukan.
Malah pencapaian anak-anak muda jarang menjadi pilihan berita utama. Kes-kes
negatif seperti pembunuhan dan kecurian diberi keutamaan. Malah kes pengedaran
dadah juga menjadi tumpuan.”
“Bila anak kamu akan pulang?” Yasotha
mengutarakan pertanyaan kerana dia tahu anak Raman, Nanthan dan keluarganya
sudah pergi bercuti sempena cuti hujung minggu yang panjang. Raman jarang
mengikut mereka. Raman juga lebih selesa tinggal di rumah.
“Pada petang ini. Esok dia sudah mula bekerja.
Cucu-cucu saya pun perlu ke sekolah esok.”
“Baiklah, saya nak masuk. Nak sembahyang dan
bersarapan. Jumpa nanti. Jangan lupa minggu ini kita ada juadah bawaan di rumah
Puan Chong.”
“Oh ya. Pada hari Rabu ‘kan?”
“Ya.”
Anak-anak Yasotha sudah dewasa dan bekerja di
luar. Mereka hanya pulang pada hujung minggu atau sebulan sekali untuk berjumpa
emak mereka. Lagipun, Yasotha sudah biasa dengan kehidupan ini kerana pada satu
ketika dia merupakan seorang wanita berkerjaya yang sangat aktif. Dia sentiasa
ada urusan di luar dan anak-anaknya dijaga oleh mak mentua.
Pada masa ini juga, Yasotha terlibat dengan
pelbagai aktiviti di kawasan perumahan dan juga aktif dalam persatuan pesara.
Dia bersama ahli-ahli persatuan sentiasa menganjurkan aktiviti seperti lawatan
dan ceramah untuk warga emas. Jiran-jiran sederetnya pula kerap mengadakan
perjumpaan sebulan sekali untuk berbual-bual. Mereka akan bermain catur, dam
dan pelbagai permainan lain. Selepas itu, mereka menikmati juadah bawaan.
“Amma, janganlah duduk bersendirian di
sini. Dulu Appa tinggal bersama, sekarang Amma seorang sahaja.
Ikutlah kami ke rumah kami,” ajak anak sulungnya Anand yang bekerja sebagai
doktor dan tinggal di Bangsar.
“Betul kata Anne. Amma boleh
tinggal di rumah saya untuk sebulan dan kemudian ke rumah Anne untuk
sebulan,” sambung Divya pula.
Mereka berdua memang sentiasa mengajak Yasotha
untuk tinggal bersama, tetapi Yasotha tidak pernah berganjak. Dia tetap dengan
pendiriannya. Dia lebih selesa tinggal di rumah sendiri. Kadang-kadang, Anand
dan Divya tidak memberi kebenaran kepada emak mereka untuk ke mana-mana kerana
mereka risau. Yasotha jarang mendengar kata-kata mereka.
Yasotha
seorang wanita berani dan tidak pernah mengalah. Dia juga seorang yang degil.
Suaminya pun pernah berkata Yasotha ialah seorang berpendirian tegas dan sukar
untuk dipujuk untuk mengubah keputusan yang sudah diambil. Sebab itulah Yasotha
dapat menjadi pengurus di sebuah kilang pengeluran barangan elektronik dan
bekerja dengan kaum Adam.
Anand juga pernah memberitahu emaknya yang
ramai warga emas meninggal dunia tanpa sesiapa bersama mereka kerana mereka
tinggal bersendirian. Yasotha hanya mendengar. Ayat itu seperti masuk ke
telinga kanan dan keluar telinga kiri. (Bersambung pada 13 November 2026)
* * * * *
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan?
Baca panduan dan syarat [di sini].


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.