Satu gelas berubah menjadi dua gelas. Dua gelas berubah menjadi tiga. Tiga gelas berubah menjadi empat. Kemudian ia bertambah lagi dan bertambah.
Sepuluh gelas. Dua puluh gelas. Lima puluh.
Seratus. Beratus-ratus lagi gelas teh panas, teh ais, kopi ais, Milo ais, botol
Coca-Cola ais, botol Fanta oren ais bertimbun di atas meja makan, di meja
tulis, di atas sofa dan di lantai ruang tamu hingga ke dapur.
Air teh, air kopi, air Milo, air Coca-Cola dan air
Fanta oren tumpah merata-rata di atas meja, di atas sofa dan di lantai.
Pelbagai jenis bau naik ke ruang udara dan membentuk suatu bau yang tengit dan
sungguh busuk di dalam rumah menusuk masuk ke dalam rongga hidungku.
Aku terkejut. Ya, aku terkejut. Badanku sudah basah
dek peluh. Telefon bimbit di bawah bantal dicari; menunjukkan pukul tiga pagi.
Isteri di sebelah sedang nyenyak tidur. Terdengar dengkuran halus.
Bau tadi perlahan-lahan hilang dari ruang
pernafasan.
Aku bangun menuju ke sudut dapur, membuka peti
sejuk. Terdapat dua botol Fanta oren dan sebotol air kosong. Hendak minum air
oren atau air sejuk? Aku masih tidak dapat membuat keputusan pada waktu
dinihari. Bingung.
Aku teringat semula tentang pesanan Moorthy. Aku
biasa memanggilnya Moorthy thambi yang baru buka kedai runcit di
kawasan perumahan ini.
Aku pernah mengajaknya datang ke Centre kami
untuk mendengar satsang Mahaguru dan bermeditasi. Setelah datang
beberapa bulan, dia seperti tidak suka dan terus berhenti.
Aku pun tidak faham mengapa dia perlu berfikiran
negatif terhadap Mahaguru. Katanya, Mahaguru kami adalah serigala bertopengkan
wajah lembu. Itu tidak penting. Yang
penting, kita dengar satsangnya, bermeditasi dan mengikut ajarannya.
Perkara senang begitu pun susah nak faham?
Manusia zaman sekarang hanya tahu mencari wang dan
berfikir tentang kebendaan sahaja. Langsung tidak mementingkan kesejahteraan
hidup.
Tetapi mimpi tadi dan pesanan budak Moorthy
sentiasa mengganggu fikiran aku. Isteri aku pula selalu menyokong kata-kata
budak itu. Hmm …
Buat apa aku peduli tentang mereka? Aku ada
Mahaguru. Mahagurulah segala-galanya. Perlu apa aku mendengar nasihat budak
hingusan itu? Dia sendiri pun tidak mahu dengar kata orang tua. Jadi, aku juga
tidak perlu mendengar nasihatnya.
Aku jauh
lebih banyak makan garam. Sepatutnya dialah yang mendengar kata-kataku dan
kata-kata Mahaguru. Ini tidak. Isteriku pun menyebelahinya pula.
“Mr. Linggam!”
Budak Moorthy suka sangat bermister-mister dengan
aku. Tidak bolehkah dia memanggil aku dengan panggilan anne sahaja?
Nasib baik dia tidak berpeluang bertemu dengan Mahaguru. Sudah tentu dia akan
memanggil beliau dengan panggilan Mister, diiringi dengan nama beliau. Tidak
beretika langsung!
“Mr. Linggam!”
Aku tersentak. Panggilan itu sentiasa
terngiang-ngiang di telinga.
Aku teringat semula pesanan budak Moorthy itu.
“Mr. Linggam tak boleh begini selalu.”
Semalam kebetulan aku ke kedainya untuk membeli
A&W Root Beer. Kebiasaannya aku akan menghantar anak-anak sahaja ke kedai.
Malas aku mahu bersemuka dengan dia. Apabila aku mengajaknya semula ke Centre,
dia masih enggan.
“Tak faham,” kataku.
Tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan “tak boleh
begini selalu”. Bukan aku ambil barang dari kedainya secara percuma.
“Saya selalu lihat anak-anak Mr. Linggam beli air
botol berkarbonat dan susu pekat.”
Apa pula dengan dia ini. Suka akulah hendak beli
apa pun. Takkan dia mahu halang. Tetapi tidak ditunjukkan kemarahan aku. Aku
masih patuh kepada Mahaguru. Mahagurulah segalanya. (Bersambung pada 18 November 2025)
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.